oleh Sharan Raj

Ketika Barisan Nasional digantikan dengan Pakatan Harapan, rakyat Malaysia berasa cukup gembira untuk “Malaysia Baru” di bawah Pakatan Harapan, dan seolah-olah dijanjikan sebuah revolusi akan berlaku. Namun selepas lebih 100 hari, Pakatan Harapan telah menjadi sekadar parti yang tinggal harapan seperti Barisan Nasional yang sekadar menaburkan janji pilihanraya. Alasan yang digunakan oleh Kabinet Dr. Mahathir sejak mendapat mandat adalah “semuanya salah Najib” dan “Malaysia akan bankrap”. Namun, pelbagai perubahan sistem yang patut dilakukan itu tidak memerlukan dana, tetapi sekadar kesungguhan politik.

Pelantikan Dr. Maszlee bin Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan satu penghinaan kepada komuniti akademik serta kebebasan akademik. Dr. Maszlee memegang ijazah sarjana dalam bidang pengajian Islam dan Doktor Falsafah dalam bidang pentadbiran. Dr. Maszlee tidak pernah diberikan pangkat Profesor Akademik. Presiden sesebuah universiti sewajarnya daripada kalangan komuniti akademik yang bertauliah yang memiliki pangkat Profesor.

Umumnya diketahui bahawa UIAM tidak mungkin akan mengangkat Dr. Maszlee sebagai Presiden UIAM tanpa jawatannya sebagai ahli Kabinet. Pakatan Harapan sedang memberi mesej yang salah bahawa seorang ahli politik berjawatan lebih arif berbanding sebarang pentauliahan akademik di Malaysia, di mana terdapat ribuan ahli akademik telah mengendalikan ratusan penyelidikan dalam pelbagai bidang yang jauh lebih layak untuk memegang jawatan pentadbiran universiti.

Pelantikan Dr. Maszlee merupakan satu penghinaan kepada golongan ahli akademik negara serta menunjukkan bagaimana ahli politik aliran kanan masih mencemari dunia akademik dengan agenda politik peribadi. Sistem seperti inilah apabila yang lebih layak tidak diberikan pengiktirafan atau ruang untuk perkembangan diri, menjadi punca ramai golongan cerdik pandai kita tidak kira kaum atau agama berhijrah ke luar negara atau wujudnya fenomena yang dikenali sebagai “brain drain”.

Pakatan Harapan pernah memberikan harapan bahawa sistem regresif yang dipelopori BN sebelum ini akan dimansuhkan dan dunia akademik akan diberikan kebebasan. Namun, kini ia masih menjadi sebuah harapan sahaja kepada rakyat Malaysia. Lebih-lebih lagi, Dr. Mahathir mempertahankan pelantikan Dr. Maszlee serta memujuk rakyat menerima pelantikan ahli politik memegang jawatan pentadbiran di luar alam politik. Pakatan Harapan sekadar menukar lantikan BN dengan ahli politik Pakatan Harapan sahaja, serta enggan memenuhi aspirasi rakyat. Maka, harapan rakyat agar Pakatan Harapan akan menamatkan kronisme di Malaysia masih menjadi harapan yang belum dicapai.

Pakatan Harapan seharusnya menepati janjinya dengan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta memberikan kebebasan akademik penuh kepada dunia akademik. Hubungan antara kerajaan dan universiti hanya dari segi bantuan kewangan dan infrastruktur penyelidikan. Hal ehwal pendidikan dan pentadbiran perlu diserahkan sepenuhnya kepada ahli akademik dan dikawalselia oleh Senat Universiti. Kebebasan akademik adalah prasyarat utama perkembangan ilmu.

==========

Sharan Raj ialah Timbalan Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *