Marxisme merupakan salah satu aliran pemikiran yang penting dalam gerakan sosialis.
Ideologi atau fahaman seseorang itu dibentuk oleh keadaan persekitaran yang berhubung rapat dengan kehidupannya, pergolakan zaman yang dialaminya, pengalaman hidup yang dilaluinya, dan juga pemikiran pada zaman itu yang terdedah kepadanya. Begitu jugalah dengan Karl Marx (1818-1883) dan idea-ideanya, bukannya sesuatu yang tertimbul secara tiba-tiba tanpa sebab.
Marx bukannya seorang nabi yang menerima wahyu, ataupun seorang Buddha yang mendapat pencerahan melalui meditasi di bawah pokok Bodhi. Maka, pemikirannya dibentuk oleh faktor-faktor yang disebut di atas, iaitu persekitaran, peredaran zaman, pengalaman hidup dan pemikiran pada masa itu yang memberi pengaruh kepadanya.
Karl Marx dilahirkan, dibesarkan dan mendapat pendidikannya di negara Jerman. Universiti di Jerman merupakan pusat penyebaran pemikiran falsafah barat yang penting di dunia pada masa itu. Marx kemudiannya hidup dalam pembuangan kerana penulisannya yang kritikal terhadap kekuasaan pemerintahan Kerajaan Prusia, Jerman, dan berpindah-pindah ke banyak tempat di benua Eropah, termasuklah bandar-bandar utama seperti Paris, Brussels dan London. Beliau meninggal dunia di London. Marx telah melalui zaman yang bergelora di Eropah khususnya apabila benua Eropah dilanda gelombang revolusi pada tahun 1848. Marx juga menyaksikan perkembangan ekonomi kapitalis yang pesat di bawah Revolusi Industri, di mana kekayaan yang hebat telah diwujudkan dengan adanya perkembangan teknologi yang pesat tetapi majoriti rakyat yang menyumbangkan tenaga kerja pula hidup dalam kemiskinan dan kesengsaraan yang amat teruk. Semua ini telah menjadi latar belakang dan “sumber” kepada pembentukan pemikiran Marx yang kemudiannya mendatangkan pengaruh yang hebat kepada seluruh dunia untuk tahun-tahun selepas peninggalannya.
Gambarajah 1 menunjukkan asal usul ideologi Marxisme dan juga komponen-komponen penting dalam ideologi Marxisme.
Karl Marx dipengaruhi oleh falsafah klasikal Jerman, khususnya pemikiran ahli falsafah seperti:
- Friedrich Hegel (1770-1831): Hegel membangunkan idea bahawa perkembangan realiti adalah mengikut hukum dialektik. Dialektik merupakan satu konsep dinamik yang merangkumi kecerunan (perubahan secara beransur-ansur) dan mutasi (perubahan secara tiba-tiba), serta melibatkan gerakan secara sendiri dalam percanggahan.
- Ludwig Feuerbach (1804-1872): Feuerbach merupakan seorang “materialis” dan menolak unsur-unsur “idealis” dalam falsafah Hegel. Feuerbach tidak setuju bahawa “realiti itu adalah bayangan kepada konsep yang wujud terlebih dahulu”, tetapi beliau berpandangan bahawa “realiti kebendaan (material) itu yang wujud terlebih dahulu, dan segala konsep atau kesedaran manusia timbul daripada itu.”
(Dalam falsafah, idealisme merujuk pada sistem pemikiran metafizikal yang menganggap bahawa realiti kebendaan yang diketahui oleh manusia adalah secara dasarnya dibentuk oleh aktiviti minda manusia. Sebaliknya, materialisme pula menganggap bahawa jirim adalah bahan asas dalam alam semulajadi dan segala perkara termasuk aspek minda dan kesedaran manusia adalah hasil daripada interaksi jirim-jirim.)
Namun, Marx mengkritik kedua-dua Hegel dan Feuerbach. Dalam proses itu, lahirnya pemikiran falsafah penting Marx, iaitu Materialisme Dialektik. Marx yang memegang pada idea materialis, mengkritik dialektik Hegel yang bersifat idealis. Marx juga mengkritik pemikiran materialis Feuerbach yang bersifat mekanikal, kerana Marx berpandangan bahawa walaupun realiti material yang membentuk kesedaran manusia, tetapi kesedaran manusia itu adanya hubungan dialektik dengan realiti material dan kedua-duanya boleh bertindakbalas (atau saling mempengaruhi) sesama sendiri.
Dari segi pemerhatian terhadap sistem sosio-ekonomi kapitalis, Karl Marx dipengaruhi oleh pemikiran ahli ekonomi politik di Britain, khususnya tokoh bidang ekonomi yang melakukan tinjauan yang mendalam dan teliti ke atas ekonomi kapitalis yang baru membangun pada zaman itu, termasuklah Adam Smith (1723-1790) dan David Ricardo (1772-1823). Tokoh-tokoh ekonomi British tersebut menganggap “tenaga kerja” atau “perburuhan” itu adalah asas kepada penciptaan kekayaan. Ini telah membentuk “Teori Nilai Buruh”.
Karl Marx juga dipengaruhi oleh pemikiran politik yang revolusioner di Perancis pada zamannya. Misalnya:
- Pemikiran demokratik yang radikal semasa Revolusi Perancis, seperti pemikiran yang dibawa oleh Kelab Jakobin (Club des Jacobins, satu kumpulan politik yang radikal semasa Revolusi Perancis). Maximilien de Robespierre, salah seorang anggota Jakobin, cuba membina sebuah “Republik yang bersifat baik”, di mana hak asasi manusia itu bukan sahaja sesuatu yang menjadi milik kelas atasan tetapi milik semua rakyat bawahan yang tertindas.
- François-Noël Babeuf (1760-1797), yang memimpin pemberontakan untuk menuntut kesamarataan. Beliau menyokong “konspirasi untuk mencapai kesamarataan”. Babeuf berpandangan bahawa kesamarataan kuasa adalah perlu untuk mewujudkan pemerintahan rakyat; ketidaksamarataan secara ekonomi boleh menjejaskan kewujudan demokrasi yang sebenar. Babeuf juga menyeru bahawa harta kekayaan dikongsi bersama oleh seluruh masyarakat, iaitu komunisme.
Karl Marx turut dipengaruhi hebat oleh pemikir Sosialis Utopia pada zamannya, yang mengilhamkan pembentukan sesuatu sistem ekonomi masyarakat yang mendatangkan faedah untuk semua orang. Mereka ini termasuklah:
- Henri de Saint-Simon (1760-1825): mengajukan idea sebuah masyarakat baru di mana “tiada pemerasan dan penindasan; setiap orang perlu bekerja, tiada orang boleh memperoleh sesuatu tanpa bekerja.”
- Robert Owen (1771-1858): merupakan pengasas gerakan koperasi. Beliau mengilhamkan satu masyarakat sosialis dan merancang eksperimen untuk membina satu komuniti bersifat utopia yang digelar “New Harmony”, di Indiana, Amerika Syarikat.
- Charles Fourier (1772-1837): berpandangan bahawa rahsia untuk kejayaan masyarakat adalah keprihatinan dan kerjasama. Beliau juga menganggap bahawa tahap pembebasan wanita adalah kayu pengukur kepada pembebasan umat manusia.
Selain itu, Karl Marx juga dipengaruhi oleh gerakan pekerja yang semakin memuncak pada zamannya. Terdapat beberapa perjuangan kelas pekerja yang penting pada masa itu, termasuklah:
- Pemberontakan pekerja tekstil di Lyon, Perancis, pada tahun 1831 dan 1834;
- Gerakan Piagam Rakyat (Chartism) di Britain (1838-1848);
- Pemberontakan pekerja penenun kapas di Silesia, Jerman, pada tahun 1844;
- Marx sendiri telah melibatkan diri dalam Liga Komunis (1847-1852), salah satu parti politik kelas proletariat yang paling awal.
Adanya 2 fenomena revolusi yang amat hebat pada zaman itu yang memberi impak besar kepada Marx, iaitu:
- Revolusi Demokratik
- Revolusi Industri
Gelombang Revolusi Demokratik yang disertai oleh massa rakyat telah melanda benua Eropah pada abad ke-19. Semasa zaman muda Marx, beliau telah menyaksikan kehebatan gelombang kebangkitan rakyat dalam Revolusi 1848 yang menular ke seluruh benua Eropah. Gelombang revolusi tersebut boleh dijejak asal usulnya sehingga ke Revolusi England pada abad ke-17, Perang Revolusi Amerika Syarikat pada tahun 1775-1783, Revolusi Perancis pada tahun 1789-1794 dan kebangkitan massa yang hebat berikutan itu, dengan tuntutan demokrasi seperti kebebasan akhbar, hak samarata, dan yang paling penting, pemerintahan rakyat menggantikan pemerintahan autokratik.
Revolusi Industri yang hebat berlaku di Eropah, telah menyaksikan mesin menggantikan tenaga manusia dalam pengeluaran kilang, menyebabkan produktiviti, produk lebihan ekonomi dan kekayaan masyarakat bertambah secara mendadak, sehingga ke tahap yang belum pernah dicapai oleh mana-mana masyarakat sebelum ini. Revolusi Industri tercetus kerana wujudnya satu sistem ekonomi yang baru, iaitu sistem kapitalis, dan penularan sistem ini ke seluruh dunia.
Namun, apa yang disaksikan dan diperhatikan oleh Marx serta pemikir radikal pada zamannya (dan juga selepas itu) adalah, walaupun sistem ekonomi kapitalis mendatangkan kekayaan masyarakat yang begitu hebatnya, tetapi ia juga mendatangkan terlampau banyak akibat teruk, seperti kemiskinan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh rakyat bawahan yang menyumbangkan tenaga kerja mereka untuk penghasilan kekayaan itu.
Marx dan ramai pemikir radikal bertanya, “Mengapa masih begitu ramai orang miskin dan susah, sedangkan masyarakat itu semakin kaya?” Persoalan inilah yang mendorong Marx dan golongan Marxis selepasnya untuk membangunkan kritikan terhadap sistem kapitalis dan mencari jalan keluar untuk membebaskan diri massa kelas pekerja daripada malapetaka yang disebabkan oleh sistem yang sentiasa membiak ketidakadilan ini.
Antara tulisan penting Karl Marx adalah:
- Kritikan terhadap Falsafah Undang-undang Hegel, 1843
- Manuskrip Ekonomi dan Falsafah 1844, 1844
- Tesis Mengenai Feuerbach, 1845
- Ideologi Jerman, 1845
- Kemiskinan Falsafah, 1847
- Buruh Upah dan Modal, 1847
- Manifesto Komunis, 1848 (ditulis bersama dengan Friedrich Engels)
- Perjuangan Kelas di Perancis 1848-1850, 1850
- 18 Brumaire daripada Loius Bonarparte, 1852
- Grundrisse, 1857
- Nilai, Harga dan Keuntungan, 1865
- Das Kapital Jilid I, 1867
- Perang Saudara di Perancis, 1871
- Kritikan terhadap Program Gotha, 1875
- Das Kapital Jilid II, 1885 (diterbitkan oleh Engels selepas Marx meninggal dunia)
- Das Kapital Jilid III, 1894 (diterbitkan oleh Engels selepas Marx meninggal dunia)
Intipati pemikiran Marxis, ataupun pemikiran yang diasaskan oleh Marx, meliputi 5 aspek utama:
- Falsafah dan metodologi
- Teori sejarah
- Analisis tentang sistem kapitalis
- Program perjuangan kelas proletariat / pekerja
- Pelan induk untuk masa depan Sosialis
Pemikiran Marxisme telah mempengaruhi banyak gerakan perjuangan rakyat di seluruh dunia, dan melalui pelbagai cabaran. Terdapat juga banyak aliran pemikiran tumbuh hasil daripada perkembangan pemikiran Marxisme.