j1-48

Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan kronisme dalam ucapannya ketika merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada hujung minggu lalu.

Dr. Mahathir berkata, “Kita senang hati, untuk menuduhkan bahawa ini disebabkan oleh kronisme, orang lain menuduh dan kita turut menuduh bahawa ini disebabkan kronisme yang memberi pertolongan hanya kepada yang berjaya tetapi sebenarnya semua diberi peluang yang sama.”

“Ada yang berjaya, ada yang tidak, yang tidak itu lebih ramai daripada yang berjaya kerana melihat yang berjaya ini menjadi millionaire, billionaire dan sebagainya, maka timbul rasa iri hati kepada mereka dan kita juga turut mengecam orang-orang ini sebagai kroni kerajaan dan menuduh kerajaan mengamalkan sistem kronisme,” ulas Mahathir.

Nampaknya Perdana Menteri sekarang ini cuba menafikan segala masalah yang berpunca daripada kapitalisme kroni yang dibangunkannya semasa dia menjadi Perdana Menteri ke-4 untuk 22 tahun (1981-2003). Mereka yang menuduh kronisme itu adalah disebabkan rasa iri hati, menurut Mahathir.

Mahathir bukan sahaja tidak pernah memohon maaf atas tindakan dahulunya yang mengundang pelbagai masalah kepada negara kita, malah berulang kali cuba mempertahankan dirinya daripada dakwaan kronisme. Ucapan Mahathir terbaru ini menyangkal kritikan terhadap Dasar Ekonomi Baru yang telah disalahgunakan untuk membantu golongan korporat Bumiputera yang rapat dengan kerajaan untuk mengaut keuntungan lumayan, dan cuba mempertahankan tindakannya yang mendukung kronisme dengan mengatakan mereka yang dikatakan kroni itu adalah orang yang berjaya.

Mahathir menganggap mereka yang berjaya itu atas usaha sendiri, bukannya kronisme. Memang adanya usahawan yang berjaya atas daya usaha sendiri, termasuk usahawan Bumiputra, tetapi amalan kronisme telah digunakan selama ini untuk memperkayakan golongan pencari sewa yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin parti pemerintah.

Semasa Mahathir menyandang jawatan Perdana Menteri ke-4 sebelum ini, telah bermulanya pelbagai masalah yang menghantui negara kita sehinggalah zaman Najib, termasuk gejala rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa dalam institusi berkuasa di negara kita. Di bawah samaran pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang kononnya membantu usahawan Bumiputra, berjuta-juta saham di Bursa Malaysia telah diagihkan oleh pentadbiran di bawah Mahathir sebelum ini kepada kroni-kroni. Mereka yang “berjaya” dengan pengagihan saham-saham ini tidak akan berjaya tanpa bantuan atau tongkat daripada kerajaan.

Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri ke-4 amat jelas sekali ingin membangunkan sistem ekonomi kapitalis Malaysia yang moden dengan memindahkan kekayaan negara ke dalam tangan kapitalis swasta Bumiputera (baca kroni Mahathir). Antara “tokoh perniagaan” yang “berjaya” dengan sokongan kerajaan semasa Mahathir menjadi PM ke-4 termasuk Tajudin Ramli (pernah jadi Pengerusi syarikat Technology Resources Industries yang diberi monopoli perkhidmatan telefon selular, dan juga pernah menjadi Pengerusi MAS), Abdul Rashid Hussain (Pengasas Bank RHB) Halim Saad (pernah menjadi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif  Renong Bhd yang satu ketika mengendalikan Projek Lebuh raya Utara-Selatan), Yahaya Ahmad (pernah jadi Pengerusi DRB-HICOM) dan Mirzan Mahathir (anak Mahathir sendiri). Kesemua “usahawan Bumiputera” yang dikatakan “berjaya” ini berkait rapat dengan parti pemerintah UMNO pada masa itu.

Mungkin Mahathir sudah lupa bagaimana dia menyelamatkan kroni-kroninya yang disebut di atas ini semasa krisis kewangan pada tahun 1998.

Penswastaan perkhidmatan awam termasuk projek mega yang memakan berbilion ringgit, telah menguntungkan kapitalis Bumiputera yang rapat dengan rejim pemerintah. Mahathir sekarang ini ingin menswastakan pula Khazanah kepada “usahawan Bumiputera”, satu lagi lanjutan fahamannya untuk membangunkan golongan kapitalis Bumiputera. Kekayaan negara sepatutnya milik semua, termasuk Bumiputera sama ada yang kaya atau miskin, bukannya milik seorang dua kapitalis Bumiputera atau mereka yang rapat dengan pemegang kuasa pemerintahan.

Usaha untuk membangunkan dan mengkayakan kapitalis Bumiputera, tidak semestinya akan mendatangkan faedah kepada semua Bumiputera. Misalnya, penyumberan luar (outsourcing) perkhidmatan seperti kawalan keselamatan dan pembersihan di premis kerajaan kepada syarikat kontraktor Bumiputera, mungkin ia akan membolehkan segelintir kontraktor Bumiputera itu “berjaya”, tetapi pekerja yang diupah kontraktor Bumiputera ini, yang juga kebanyakannya Bumiputera, dibayar dengan gaji yang rendah dan tiadanya jaminan kerja. Amat jelas dasar membangunkan kapitalis Bumiputera sebegini memburukkan lagi masalah ketidakadilan sosial.

Untuk mencapai sebuah masyarakat yang lebih adil, Dasar Tindakan Afirmatif memang diperlukan, tetapi harus berasaskan keperluan atau sektor, bukan lagi berasaskan kaum, seperti yang digunakan untuk menjustifikasikan politik perkauman sebelum ini. Dasar yang bersifat diskriminasi kaum hanya akan memecah-belahkan rakyat berasaskan kaum dan terus menjadi punca penyebaran fahaman politik perkauman. Politik perkauman telah membolehkan UMNO bermaharajarela untuk 61 tahun sebelum dijatuhkan dalam PRU-14, takkan pula kita hendak meneruskan politik sebegini dalam era “Malaysia Baru”?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s