“Negara kaya seharusnya mempunyai rakyat yang punya kuasa beli yang meningkat, bukan hanya kadar gaji atau upah yang tinggi.” Ini adalah yang dikatakan oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad pada 13 Ogos 2018 semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri.
(rujukan berita: Negara kaya punya daya beli tinggi, bukan upah – Dr Mahathir )
Kenyataan ini boleh disangkal kerana penghujahannya yang bercanggah dan bermasalah. Mungkin PM berkata begini menunjukkan bahawa kerajaan tiada niat untuk meningkatkan gaji minimum pekerja ke paras yang sewajarnya dan menjamin pendapatan rakyat supaya mampu sara hidup?
Kuasa beli rakyat ditentukan oleh pendapatan rakyat. Untuk majoriti rakyat yang bekerja sebagai pekerja upahan, sama ada di sektor awam atau sektor swasta, gaji yang diterima mereka adalah satu-satunya pendapatan mereka. Kebanyakan rakyat tiada wang berlebihan seperti golongan mahakaya untuk “melabur” dalam pasaran saham, hartanah dan kewangan untuk mendapatkan pulangan yang lebih lumayan. Gaji pekerja yang menentukan kuasa beli pekerja. Jika gaji atau upah yang diperoleh pekerja tidak dinaikkan, bagaimana hendak meningkatkan kuasa beli rakyat?
Mahathir adanya satu lagi hujah, iaitu “daya keluaran kurang atau masih pada tahap lama walaupun gaji meningkat, kos sara hidup akan terus meningkat kerana barangan lama yang dahulunya murah akan menjadi mahal akibat dihasilkan oleh pekerja bergaji tinggi”. Tetapi hujah ini juga bermasalah. Pekerja diupah oleh syarikat korporat atau kilang untuk menghasilkan barangan kegunaan semua, termasuk pekerja sendiri. Dalam proses pengeluaran, gaji pekerja adalah sebahagian daripada “kos”, dan sememangnya kos akan meningkat tetapi tidak bermakna harga jualan barangan itu akan terus meningkat. Syarikat pengeluar barangan masih akan mendapat keuntungan daripada hasil jualan barangan walaupun upah dibayar kepada pekerja meningkat, hanya kadar keuntungan daripada satu unit barangan yang dijual itu berkurangan. Namun, jika syarikat pengeluar barangan dapat menjual barangannya dengan lebih banyak, berikutan peningkatan kuasa beli rakyat (kerana gaji pekerja dinaikkan termasuk pekerjanya sendiri sekarang dapat lebih mudah membeli barangan dikeluarkan syarikatnya), maka syarikat masih mendapat keuntungan malah lebih banyak walaupun kadar keuntungan satu unit barangan itu sudah kurang. Jadi, hujah kenaikan gaji akan meningkatkan harga barang atau kos sara hidup itu adalah tidak kukuh asasnya.
Mahathir juga menyebut tentang daya keluaran atau produktiviti. Majikan yang kaya-raya hasil daripada sumbangan tenaga pekerja sering berhujah bahawa produktiviti perlu ditingkatkan sebelum menaikkan gaji pekerja. Kita juga sering dengar hujah daripada pihak majikan, institusi kewangan antarabangsa (seperti Bank Dunia dan IMF) bahawa pendapatan rakyat rendah adalah disebabkan “produktiviti” kita yang rendah. Namun, wujudnya masalah yang besar dalam cara mengira produktiviti pekerja di negara kita. Misalnya, harga jualan satu cip elektronik yang dikeluarkan di Malaysia adalah lebih kurang satu per lima daripada harga jualan cip yang serupa tetapi dikeluarkan di Amerika Syarikat. Namun, jika berdasarkan formula yang ada sekarang, “produktiviti” pekerja di Amerika Syarikat adalah 5 kali ganda lebih tinggi berbanding pekerja Malaysia, untuk produk yang sama, dan jumlah output yang sama! Syarikat multinasional gergasi yang bersifat oligarki pada masa kini memiliki kekuasaan yang hebat sehingga mereka dapat menekan harga barangan yang disumberkan luar atau disubkontrak keluar oleh mereka kepada negara kita dan juga negara-negara dunia ketiga yang lain. Gaji pekerja di negara kita ditekan pada paras yang rendah untuk membolehkan syarikat multinasional gergasi terus mengaut keuntungan lumayan sedangkan produktiviti pekerja kita sudah meningkat. Jangan lupa, penggunaan teknologi (seperti automasi) sebenarnya juga telah meningkatkan produktiviti buruh pekerja, tetapi gaji pekerja tidak dinaikkan setara dengan peningkatan produktiviti sebegini.
Masalah pokoknya memang bukan produktiviti, tetapi kekuasaan pasaran yang terlalu banyak dipegang dalam tangan syarikat gergasi multinasional. Nampaknya PM Dr. Mahathir tidak memberi perhatian kepada ketidakseimbangan kuasa yang wujud dalam ekonomi politik sedunia ini, sebaliknya masih mendesak pada pekerja di negara kita untuk bekerja kuat untuk korporat gergasi terus mengaut keuntungan, dan tidak meminta upah yang lebih. Seperti majikan yang kaya-raya, nampaknya PM Mahathir suka pada pekerja yang murah, kuat kerja untuk majikan tanpa menuntut hak asasinya, jinak dan sudi diperas selama-lamanya!
Pekerja terus dibelenggu masalah gaji rendah, beban kos sara hidup yang tinggi, masa kerja yang panjang, jaminan kerja yang tidak menentu, dan pemerasan yang berlarutan… adakah realiti masalah lama ini akan terus wujud dalam “Malaysia Baru”?