sebuah cerpen oleh K.Z. Iskandar Zulfaqar
Dalam keadaan samar-samar bertemankan segaris cahaya yang masuk melalui lubang celah pintu, aku dapat melihat ayah sedang bersiap untuk pergi ke kerja. Ayah sengaja tidak menghidupkan suis lampu kerana dia tidak mahu aku terjaga dari lelapku. Perlahan-lahan aku menarik jam yang terdapat di kepala katilku. Baru pukul 4.50 pagi. Inilah rutin harian ayah. Tepat jam 5 pagi, ayah akan keluar dari rumah menaiki basikal tuanya ke tempat kerja.
Ayah bekerja di sebuah pusat perlombongan. Walaupun ayah bekerja dalam kadar masa yang sangat lama dan kerjanya juga berat serta berbahaya, namun gaji yang dibayar kepada ayah hanya cukup untuk kami sekeluarga makan. Walaupun telah beberapa kali disuarakan tentang isu gaji pekerja, majikan ayah hanya membisu. Lebih teruk, tiada langsung tindakan daripada kerajaan yang dikenakan kepada majikan ayah kerana membayar gaji sedikit.
Pernah beberapa kali aku menyuarakan pendapat kepada ayah supaya ayah berhenti sahaja kerja di tapak perlombongan itu, tetapi ayah dengan tegas menolak. Ayah kata kalau dia tidak bekerja siapa nak sara kami sekeluarga. Pernah juga aku bersuara untuk berhenti sekolah dan bekerja bagi membantu keluarga. Namun, ayah dengan lantang membantah cadanganku itu.
Aku ingin berhenti sekolah bukan kerana malas, tetapi kerana aku kesian melihat ayah yang kudratnya semakin hari semakin pudar. Aku ingin sekali dia berehat dan biar aku sahaja yang bekerja. Tambahan pula, aku anak sulung. Tanggungjawab menyara adik-adik semuanya terpikul di atas bahuku. Namun, apakan dayaku. Ayah menolak awal-awal lagi cadanganku itu. Keadaan kesihatan ayah yang kurang baik juga tidak mengizinkan dia bekerja di tapak perlombongan itu, tetapi dia tidak pernah menghiraukan perkara itu.
Aku terjaga sepenuhnya dari tidurku pada jam 6 pagi. Ayah sudah pergi bekerja. Memang setiap hari begitu. Sukar sekali untuk aku meluangkan masa bersama ayah. Ayah akan pergi kerja sebelum aku bangun tidur dan akan pulang pada jam 10 malam. Ayah selalu akan tidur sebaik sahaja sampai di rumah dan solat, kerana keletihan kerja yang teramat. Begitulah kerahan tenaga kerja yang tidak berbaloi bayaran dengan gajinya. Ayah terpaksa melaluinya setiap hari.
Hatiku berasa tidak sedap sepanjang hari. Sepanjang di sekolah, aku hanya terfikirkan ayah. Bayangan wajah ayah tidak henti-henti bermain di dalam fikiranku. Aku dapat merasakan seolah-olah sesuatu yang tidak baik terjadi kepada ayah. Demi menyedapkan hati, aku mengabaikan sahaja perasaanku itu. Di dalam hatiku, aku tidak putus-putus berdoa supaya ayah sentiasa di bawah perlindungan Tuhan.
Usai waktu sekolah, aku pulang ke rumah seperti biasa. Selalunya mak tidak ada di rumah pada waktu ini, kerana mak akan pergi ke tempat kerja ayah untuk menghantar makanan tengah hari kepadanya, tetapi hari ini mak tidak pergi kerana dia kurang sihat. Mak meminta aku untuk menghantar makanan kepada ayah.
Tanpa melengahkan sebarang waktu, aku terus mengayuh basikalku menuju ke pusat perlombongan tempat ayah bekerja. Ayah mesti sudah lapar. Selalunya dia sudah makan pada waktu ini. Aku mengayuh laju supaya cepat sampai kerana kasihankan ayah.
Sebaik tiba di tapak perlombongan itu, aku tidak nampak langsung kelibat ayah. Perasaan bimbangku kini bertambah. Aku hanya memikirkan perkara tidak baik sahaja pada waktu ini. Risiko bekerja di tapak perlombongan ini memang sangat tinggi. Semoga sahaja ayah tidak apa-apa.
“Ahmad! Kamu datang cari ayah kamu ke?”
Aku menoleh ke belakang setelah dilontarkan dengan pertanyaan itu. Pak Hamid, kawan ayah berdiri di belakangku sambil memegang sebatang cangkul.
“Ya Pak Hamid. Saya datang nak bagi makanan kepada ayah. Pak Hamid tahu tak di mana ayah?”
“Ayah kamu dalam pejabat bos. Bos panggil dia dari tadi.”
Lega hatiku mendengarkan kata-kata Pak Hamid itu. Aku sangat bersyukur ayah tidak apa-apa. Aku mengucapkan terima kasih kepada Pak Hamid dan segera bergegas ke pejabat bos ayah untuk memberikan makanan kepadanya.
Sebaik tiba di hadapan pintu pejabat itu, aku terdengar suara ayah meraung kesakitan di samping bunyi sepakan serta tumbukan. Tanpa berlengah aku segera menolak pintu pejabat itu.
“Ya Allah! ayah!”
Kelihatan tiga orang lelaki berbadan gempal sedang asyik membelasah ayah sambil diperhatikan oleh bos yang sedang duduk di atas kerusi. Aku segera menghampiri ayah walaupun dihalang oleh salah seorang daripada lelaki-lelaki berbadan gempal itu. Dengan segala kudrat yang ada aku menolaknya ke tepi dan terus berlari mendapatkan ayah. Darah mengalir keluar daripada hidung dan mulut ayah.
“Kau nak tahu sebab apa ayah kau kena pukul? Ayah kau ni malas. Asyik nak berehat saja,” kata bos ayah sambil duduk bersilang kaki di atas kerusinya.
“Kau kejam! Majikan jenis apa kau ni?”
Tanpa sempat aku mengeluarkan lebih banyak kata-kata, ketiga-tiga lelaki berbadan gempal itu menarik aku dan ayah dan menolak kami keluar daripada pejabat itu. Aku mengangkat ayah dan membantunya untuk berjalan.
“Kamu dah nampak sekarang, Ahmad. Ayah selalu dilayan macam ni, tapi ayah tak bagitahu kamu dan adik-adik. Cuma mak sahaja tahu. Tapi hari ni sebab kamu yang datang hantar makanan, jadi kamu dah tahu,” jelas ayah.
“Ini tak boleh jadi ayah. Mereka kejam. Pekerja pun manusia juga.”
“Sudah lah Ahmad. Kita tak boleh buat apa-apa. Pekerja tiada hak bagi mereka. Mereka lah yang berkuasa. Hak pekerja tidak diendahkan oleh kerajaan, sebab itulah mereka bermaharajalela.”
Berjurai air mata ayah mengalir sambil menerangkan perkara itu. Aku hanya mampu tunduk mendengar segala rintihan ayah. Begitulah nasib buruh yang sememangnya diabaikan oleh kerajaan. Inilah jadinya apabila orang yang tidak pandai memimpin diangkat menjadi pemimpin. Aku memeluk erat ayah sambil berjanji aku sendiri yang akan perjuangkan hak ayah dan buruh lain.