sebuah cerpen oleh K.Z. Iskandar Zulfaqar

Haiza terkedu membaca surat yang baru saja diterimanya itu. Hatinya seolah-olah hancur meneliti setiap bait-bait kata yang terkandung dalam surat itu. Setiap isi dalam surat itu seolah-olah membunuhnya. Mimpi ngeri yang selalu menerpanya kini menjadi kenyataan. Haiza akan ditukarkan ke sebuah sekolah pedalaman di negeri Sarawak. Keputusan pertukaran ini adalah sebagai tindakan yang dikenakan kepadanya kerana menyalahi etika perguruan. Dia masih kabur sebenarnya. Apakah kesalahan yang dilakukannya?

Haiza menerima surat amaran dua minggu lepas setelah dia menghadiri ceramah anjuran sebuah parti politik berhaluan kiri. Kehadirannya dapat dihidu oleh pihak Kementerian dan sejak itulah musibah yang tiada noktah menimpanya. Musibah paling besar adalah yang berlaku sekarang di mana dia akan ditukarkan ke sekolah pedalaman. Haiza berfikir sejenak. Adakah mampu untuk dia bertahan di kawasan pedalaman itu? Pernah sekali dulu rakannya Akmal terpaksa dihantar pulang ke Semenanjung kerana terlalu tertekan mengajar di pedalaman. Sedangkan Akmal yang lelaki pun boleh berputus asa mengajar di pedalaman, apatah lagi Haiza yang merupakan seorang perempuan lemah-lembut.

Haiza terduduk di bilik guru sambil mendaratkan kepalanya di atas meja guru miliknya kerana terlalu tertekan memikirkan dugaan baru yang menimpanya itu. Mungkin dengan berbuat begitu dia mampu bertemu ketenangan. Melihatkan tiada sesiapa di dalam bilik guru melainkan dirinya, Haiza mengambil kesempatan ini untuk melepaskan semua tekanannya melalui air mata. Dia menangis sepuas hatinya. Menangis bukan bermakna dia lemah tetapi untuk mencari sinar bagi mencari semangat untuk meneruskan hidup yang sangat susah di pedalaman nanti. Dia akan berada tersangat jauh malah akan terputus hubungan dengan keluarganya.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama Haiza menjadi mangsa keadaan. Namun, ketabahan serta kecekalan diri yang tinggi merupakan sebab utama Haiza masih bertahan dengan segala cabaran dan dugaan yang tidak putus-putus menimpanya. Walaupun kadangkala dia tidak kuat dan seakan-akan mahu berputus asa, dia masih berdiri memperjuangkan kerjaya mulianya sebagai seorang guru. Itulah cita-cita Haiza sejak kecil. Dia mahu mendidik anak bangsanya supaya menjadi seorang yang berguna pada masa hadapan. Dugaan mendakap erat Haiza sehingga kini dan hari ini iman dan kekuatannya terlalu tercabar. Tidak kuat untuk dia menerimanya. Jauh di sudut hatinya ingin sekali Haiza berputus asa dan meninggalkan kerjayanya itu hari ini.

Kedengaran bunyi tapak kaki menghampiri bilik guru. Ini terpaksa memberhentikan tangisan Haiza. Belum sempat dia mengesatkan air mata, Cikgu Nurin sudah terpacak berdiri di hadapannya.

“Kenapa ni Haiza? Saya tahu awak menangis. Awak ada masalah ke?”

Soalan Cikgu Nurin itu tidak dijawab oleh Haiza, sebaliknya dia terus merapatkan tubuhnya dan terus memeluk erat Nurin sambil menyambung tangisannya. Dalam keadaan teresak-esak menangis, Haiza menceritakan segala-galanya kepada Nurin. Haiza kemudiannya mengambil surat pertukarannya itu dan memberikannya kepada Nurin. Nurin mengamati setiap isi surat itu. Terkejutnya bukan kepalang. Ini bermakna dia akan kehilangan Haiza yang bukan sahaja rakan sekerjanya tetapi juga sahabat karibnya.

“Saya yakin kita mesti ada cara untuk selesaikan masalah ni.” Nurin cuba untuk menyakinkan Haiza.

“Tidak mengapa Nurin. Sukar untuk kita menentang keputusan kerajaan. Kesudahannya kita tidak akan berjaya. Saya yakin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ini. InsyaAllah saya boleh berdikari di sana. Jangan risaukan saya ye.”

Nurin hanya mampu menundukkan kepalanya mendengarkan jawapan Haiza itu. Kesedihan turut menyelubungi hatinya. Dia akan kehilangan sahabat karibnya itu hari ini.

“Saya bersimpati dengan nasib awak Haiza. Inilah yang selalu terjadi. Pemerintahan kuku besi yang tak habis-habis mencengkam hidup kita. Guru pun manusia juga. Kita pun ada hak untuk berpolitik. Mungkin mereka ingat kita ni robot perlu ikut sahaja kata mereka. Kami di sini akan rindukan awak, Haiza. Kami akan sentiasa doakan yang terbaik untuk awak.” Nurin sekali lagi memeluk Haiza erat, kali ini seperti tidak mahu melepaskan pelukannya itu.

“Jangan risau Nurin. Bila ada cuti saya akan balik dan melawat awak di sini.”

Sambil mengesatkan air mata dengan sapu tangan, Haiza berjalan lemah keluar daripada pintu bilik guru untuk ke kelas 5 Dinamik yang akan menjadi kelas terakhirnya di sekolah itu sebelum dia berpindah.

Haiza cepat-cepat mengeringkan air matanya kerana dia tidak mahu murid-murid di kelas 5 Dinamik bertanya sebab dia menangis. Sesi pembelajaran kelas 5 Dinamik berjalan lancar seperti yang telah dirancangkan oleh Haiza. Dia berjaya menyembunyikan kesedihannya sepanjang satu jam kelas berlangsung. Loceng balik akhirnya berbunyi. Haiza masih serba salah sama ada ingin memberitahu perkara sebenar bahawa dia akan berpindah atau tidak. Dia tidak kuat jika anak-anak murid kesayangannya turut bersedih atas pemergiannya selepas ini.

“Terima kasih semua. Cikgu sangat menghargai kerjasama yang telah kamu berikan selama ini. Jadi orang yang berguna ya.” Itu sahaja yang mampu Haiza ucapkan kepada murid-murid kelas itu.

“Kenapa cikgu cakap begitu? Cikgu nak pergi mana?” Ikram, ketua kelas 5 Dinamik mempersoalkan kata-kata Haiza itu.

“Cikgu tak pergi mana-mana. Kita akan jumpa lagi nanti ye.” Tanpa bercakap banyak, Haiza segera mengemaskan barang-barangnya dan keluar daripada kelas itu sambil air matanya tidak henti-henti mengalir.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s