Mahkamah Persekutuan memutuskan pada hari ini (19 Februari 2021) untuk mendenda Malaysiakini sebanyak RM500,000 kerana komen pembacanya dalam rencana yang diterbitkan oleh portal berita tersebut yang dikatakan menghina mahkamah. Keputusan mahkamah ini menimbulkan kerisauan bahawa kebebasan media di negara kita akan dihakis dengan lebih lanjut lagi.

Keputusan mendenda Malaysiakini atas pertuduhan menghina mahkamah ini dibuat oleh panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Rohana Yusuf, dengan majoriti 6-1.

Ketua Peguam Negara, Idrus Harun, telah memfailkan satu permohonan ex parte pada 15 Jun 2020 untuk memulakan prosiding terhadap Malaysiakini dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan, atas pertuduhan menghina mahkamah berkenaan dengan komen-komen pembaca yang dibuat dalam sebuah rencana yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” yang diterbitkan pada 9 Jun 2020.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Malaysiakini bertanggungjawab ke atas komen-komen pembacanya yang dikatakan menghina mahkamah, dan menjatuhkan hukuman denda RM500,000 walaupun pihak Jabatan Peguam Negara hanya meminta denda RM200,000. Steven Gan, Ketua Pengarang Malaysiakini, pula didapati tidak bersalah atas tuduhan menghina mahkamah.

Keputusan mahkamah ini menimbulkan kebimbangan daripada pelbagai pihak bahawa ia akan memberi kesan negatif kepada kebebasan media di negara kita. Ia telah mewujudkan duluan bahawa komen yang dibuat oleh pembaca yang tidak bertanggungjawab boleh menyebabkan media yang tiada kaitan dengan komen berkenaan secara langsung juga dikenakan hukuman. Ia juga boleh digunakan oleh pihak tertentu untuk menyekat kebebasan bersuara dengan lebih lanjut lagi.

Walaupun Malaysiakini dikenakan denda RM500,000, satu jumlah wang yang agak besar, tetapi organisasi media tersebut berjaya mengutip jumlah wang itu dalam tempoh kurang daripada 5 jam selepas ia meminta sumbangan masyarakat umum. Ini menunjukkan bahawa ramai dalam kalangan rakyat Malaysia agak prihatin pada kebebasan media yang menghadapi ancaman.

Ketika memberi komen mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan kes Malaysiakini, S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), berkata, “Keputusan ini agak keterlaluan kerana Malaysiakini dihukum untuk sesuatu yang tidak dilaporkan oleh mereka secara langsung, sebaliknya hanya komen pembaca. Lebih-lebih lagi, mahkamah mendenda Malaysiakini dengan jumlah wang yang lebih daripada dua kali ganda yang diminta oleh Jabatan Peguam Negara.”

“Keputusan ini telah dilihat sebagai serangan ke atas kebebasan bersuara. Ia merupakan tamparan kepada kebebasan asasi. Ini ialah hari yang menyedihkan apabila enam orang hakim dalam mahkamah tertinggi di negara kita membuat keputusan sebegini,” kata Arutchelvan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *