PUTRAJAYA – 17 JULAI 2020: Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama dengan beberapa lagi organisasi masyarakat sivil telah menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada hari ini dengan seruan kepada Kerajaan untuk menggubal dasar yang berperikemanusiaan terhadap golongan pelarian yang berada di Malaysia.
Memorandum yang ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah bin Zainuddin tersebut disokong oleh organisasi-organisasi termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), North South Initiative, Beyond Borders, SUARAM, Ammpo-Sentro, ALTSEAN-Burma, Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Penang Stop Human Trafficking Campaign, Al-Hasan Volunteer Network, Women’s Aid Organisation (WAO), MISI: Solidariti, Tenaganita, Malaysian Care, Empower Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Organisasi-organisasi yang menyokong memorandum ini mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam Parlimen baru-baru ini berkenaan dengan membenarkan pelarian untuk bekerja secara sah. Menurut Perdana Menteri, Kementerian Sumber Manusia telah ditugaskan untuk mengetuai satu jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk meneliti isu-isu mengenai membenarkan pelarian bekerja. Pengumuman oleh Perdana Menteri tersebut amat tepat pada masanya memandangkan masyarakat pelarian di negara kita menghadapi cabaran yang hebat untuk tinggal di sini dan mencari nafkah sementara mereka menunggu untuk penempatan semula ke negara ketiga.
Masyarakat pelarian merupakan golongan yang mudah terdedah kepada pemangsaan. Negara kita perlu menggubal dasar yang berperikemanusiaan berkaitan dengan pelarian.
Pelarian menjadi mangsa penyasaran negatif
Sejak kebelakangan ini, wujudnya fenomena “tindakan keras” yang diambil oleh Jabatan Imigresen terhadap pelarian. Pelarian digolongkan oleh Kerajaan Malaysia dalam kategori “Pendatang Asing Tanpa Izin” (PATI) dan diberi layanan yang sama dengan mereka yang tergolong dalam kategori tersebut. Ratusan orang pelarian telah ditangkap dan ditahan di dalam kem tahanan yang sudah pun penuh sesak, di mana risiko pendedahan kepada jangkitan virus SARS-CoV-2 adalah tinggi. Penyasaran negatif terhadap pelarian ini menimbulkan perasaan benci dan xenofobia terhadap pelarian dalam kalangan rakyat Malaysia. Di samping itu, pelarian yang diselubungi perasaan ketakutan menjadi teragak-agak untuk tampil ke hadapan bagi menjalani ujian COVID-19.
Pendekatan tindakan keras terhadap pelarian oleh pihak Imigresen merupakan sesuatu yang tidak masuk akal, kerana pada hakikatnya masyarakat pelarian tidak boleh pergi ke mana-mana. Mereka tidak boleh pulang ke tanahair mereka dan terpaksa menunggu penempatan di negara lain, satu proses yang mengambil masa. Maka apakah manfaat penyasaran negatif terhadap pelarian kepada negara kita? Apakah peranannya dalam rancangan nasional untuk melawan wabak COVID-19?
Laporan Jawatankuasa Nasional terhadap Pengurusan Pekerja Asing mengesyorkan hak untuk bekerja dan perlindungan bagi pelarian. Bukankah pendekatan ini lebih sesuai dan berkesan berbanding dengan menjadikan mereka sasaran xenofobia?
Penyasaran negatif terhadap pelarian khususnya ketika negara kita dan dunia sedang dilanda wabak COVID-19 serta kegawatan ekonomi, memberi impak besar kepada komuniti pelarian. Antara masalah yang dihadapi oleh masyarakat pelarian di negara kita termasuk:
Kehilangan pekerjaan
Pihak majikan bertindak balas terhadap desas-desus bahawa tidak lagi “sah di sisi undang-undang” untuk mengupah pelarian, maka enggan memberi kerja kepada pelarian. Ramai orang pelarian diberhentikan kerja atau tidak diambil kerja semula setelah habis tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, menjadikan mereka tidak mempunyai pendapatan.
Pelarian tanpa pendapatan menghadapi pelbagai kesusahan, misalnya pemakanan berkurangan, anak-anak dihantar untuk mengemis, penjagaan kesihatan semakin merosot, terpaksa meminjam wang daripada sindiket pemerdagangan manusia, dan sebagainya.
Bagaimanakah pelarian dan keluarga mereka dapat hidup tanpa bekerja? Pelarian yang kehilangan pendapatan bukan sahaja tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada negara kita, malah mengundang lebih banyak masalah lagi.
Kehilangan tempat tinggal
Pelarian turut kehilangan tempat tinggal kerana kehilangan sumber pendapatan. Pelarian semakin sukar untuk membayar sewa rumah. Tambahan pula dengan khabar angin yang menyatakan bahawa pemilik rumah tidak boleh menyewa rumah kepada golongan pelarian. Apakah manfaat kepada masyarakat kita dengan kewujudan masalah ketiadaan rumah dalam kalangan pelarian di Malaysia?
Penahanan pelarian di kem tahanan
Tempat-tempat yang digunakan untuk menahan PATI ini sudah terlalu sesak. Kemungkinan penularan COVID-19 sangat nyata di tempat tahanan, dan ini akan juga mempengaruhi sama ada kakitangan kem tahanan ataupun orang tahanan tempatan. Ini akan meningkatkan lagi kos yang perlu ditanggung oleh Kerajaan.
Latar belakang isu pelarian di Malaysia
Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menjadi tempat perlindungan yang untuk pelarian di Asia Tenggara, dengan lebih 180,000 orang pencari suaka dan pelarian berada di negara kita pada masa kini. Pelarian tidak dapat pergi ke mana-mana. Mereka tidak dapat kembali ke tanah air kecuali ia sudah selamat atau mempunyai tempat penempatan semula. Dalam keadaan ini, penyasaran negatife dan melayan pelarian sebagai PATI tidak dapat memberi satu solusi kepada isu pelarian di negara kita.
Daripada pemerhatian kumpulan-kumpulan yang prihatin pada isu pelarian, sejak tahun 2010, pihak Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah yang positif untuk berbincang dengan pihak Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur untuk menerima proses pendaftaran rasmi pelarian bagi membolehkan pelaksanaan program hak bekerja dan kos yang berkaitan dengannya.
Pada bulan November 2019, kerajaan menjanjikan bahawa akan membuat satu pengumuman mengenai hak bekerja untuk komuniti Pelarian, namun belum apa-apa lagi perkembangan sehingga kini.
Walaupun, Malaysia belum menandatangani Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 dan Protokol Berkaitan Status Pelarian 1967 serta tidak mempunyai kerangka undang-undang atau pentadbiran untuk menangani pelarian, namun bantuan kemanusian telah diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada pelarian untuk sekian lama. Kerajaan Malaysia pernah mengeluarkan permit kerja sementara, yang juga dikenali sebagai IMM-13 kepada golongan pelarian berikut:
- Komuniti Muslim dari Mindanao dan Kemboja pada tahun 1980-an. Lebih kurang 50,000 orang pelarian Muslim ini dibenarkan untuk tinggal di Malaysia secara sah.
- Pada tahun 2004-2006, lebih kurang 30,000 orang pelarian Aceh menerima permit tersebut yang membenarkan mereka bekerja dan ia boleh diperbaharui setahun sekali.
- Pada tahun 2015-2019, 3,000 orang pelarian dari Syria juga diberi permit ini, namun mereka menghadapi masalah dari segi pengiktirafan imigresen untuk mereka bekerja.
Malah, Kerajaan Malaysia juga memperkenalkan MyRC bagi pelarian pada tahun 2017 untuk melindungi pelarian dan mengelakkan daripada penangkapan atas kesalahan imigresen. Mereka dikenakan bayaran RM500 seorang setiap tahun untuk kad tersebut. Dalam laman web https://myrc.my/, dinyatakan bahawa Skim Pendaftaran TRIS, yang dimulakan oleh Kerajaan Malaysia, adalah wajib bagi setiap pelarian dan pencari suaka, yang tinggal di Malaysia. Semua pelarian yang berdaftar di bawah skim ini akan diberi kad pengenalan khas (MyRC) mengandungi data peribadi dan ia juga diperakui oleh Kerajaan Malaysia.
Oleh itu, mengapakah perlindungan dan bantuan kemanusiaan ini tidak dipanjangkan kepada pelarian pada masa kini?
Cadangan PSM dan masyarakat sivil kepada Kerajaan Malaysia
Organisasi-organisasi mengemukakan cadangan berikut dalam memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri:
Laksanakan dasar pelarian yang berperikemanusiaan bukannya penyasaran negatif
Pelarian dan pencari suaka harus dibezakan daripada PATI, dan diberi layanan yang dapat membantu mereka sementara mereka menunggu untuk ditempatkan di negara ketiga. Tindakan seperti ini akan membantu dalam mengurangkan sentimen xenofobia dalam kalangan rakyat Malaysia.
Hak untuk bekerja secara sah
Mengiktiraf hak pelarian untuk bekerja secara sah di sisi undang-undang akan membolehkan majikan mengupah pelarian dalam pekerjaan yang kurang mendapat sambutan rakyat Malaysia. Masalah kekurangan tenaga pekerja dalam beberapa sektor memang diakui oleh pihak golongan majikan seperti Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF). Ini juga akan membolehkan majikan melabur untuk meningkatkan kemahiran pekerja dan memberikan perlindungan yang lebih baik kepada semua orang, termasuk pekerja tempatan.
Hak untuk berada di Malaysia secara sementara
Ini akan mengurangkan pengusiran paksa dan masalah gelandangan. Tiada faedah bagi negara Malaysia untuk mendorong tuan tanah mengusir penyewa daripada golongan pelarian atau enggan menyewa rumah kepada pelarian. Tiada apa-apa faedah kepada masyarakat Malaysia keseluruhannya untuk mewujudkan 200,000 orang pelarian tanpa tempat tinggal.
Pastikan pemegang dokumen UNHCR selamat daripada penahanan
Kurangkan jumlah tahanan di dalam kem tahanan. Kerajaan mungkin boleh kembali kepada sistem di mana pelarian dengan kad UNHCR dijamin selamat daripada penahanan. Kad UNHCR dapat disahkan segera dengan aplikasi yang dikongsi antara UNHCR dan agensi penguatkuasaan.
Wakil-wakil organisasi yang menyerahkan memorandum pada hari ini telah memohon pada Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan satu temujanji dengan Menteri Dalam Negeri supaya dapat mengadakan dialog mengenai isu-isu yang dibangkitkan ini.