20200223 - coronavirus-2

oleh S. Arutchelvan

PSM ingin menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada para jururawat, doktor, pekerja makmal, pekerja pembersihan, pngawal keselamatan dan semua insan lain yang bekerja di dalam sektor kesihatan di seluruh negara atas dedikasi, pengorbanan dan ketabahan anda semua dalam memerangi wabak virus COVID-19. Terima kasih kepada semua.

Wabak COVID-19 melanda seluruh dunia tanpa mengira negara, kaum dan agama. Pada awalnya, apabila virus ini merebak di negara China, ada orang di Negaraku yang menyindir dan berkata padan muka kepada warga China. Hari ini, virus yang sama melanda orang yang bersolat di Masjid di Sri Petaling. Mesti juga ada orang yang gembira di NegaraKu apabila ia kena kepada sesuatu kaum atau agama. Namun, “kebesaran” dan “keagungan” virus ini adalah, ia tidak mengenal sama ada orang putih, orang hitam atau orang kuning. Virus ini “buta warna” (color-blind) dan bersikap adil kepada semua.

Walaupun virus ini tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi kesannya digeruni oleh setiap orang hari ini. Mereka yang hidup kaya mewah, melancong ke sana sini, semuanya hari ini tidak terlepas dan terpaksa berendah diri dan membuat realisasi diri mengenai kekebalan dan keangkuhan mereka. Virus ini berjaya mencabar kekebalan dan keegoan manusia.

Di negara kita, dulunya kita mahu pekerja asing ini yang membuat kerja-kerja 3D (bahaya, kotor dan sukar) tetapi mengenakan caj kesihatan 3 kali ganda di hospital awam apabila mereka sakit. Apabila PSM menegur amalan ini, ramai yang tidak setuju. Hari ini disebabkan COVID-19, Kerajaan mempelawa pekerja asing yang ada petanda sindrom penyakit COVID-19 untuk datang merawat tanpa bayaran di hospital kerajaan, kerana hari ini mereka akhirnya sedar bahawa dalam isu mengutamakan kesihatan awam, kita tidak boleh mendiskriminasi pesakit. Hari ini, COVID-19  berjaya memberikan kesedaran kepada pembuat polisi untuk mengutamakan kesihatan awam lebih daripada pertimbangan kos.

Di NegaraKu, kepada semua ahli politik yang begitu ghairah memainkan isu perkauman 24/7 setiap masa, padan muka. Kepada mereka yang asyik fikir bagaimana hendak berkuasa, melompat parti, meletak jawatan, melobi di sana sini, hari ini COVID-19 berjaya membendung semua perhimpunan dan majlis keramaian. Maka kepada golongan ini – tolong bertaubat dan sedar diri.

COVID-19 mengajar kita bahawa kita kena memerangi ini sebagai manusia dan sebagai satu kaum. Negara Dunia Pertama seperti Itali pun kena belajar dari negara lain bagaimana menangani masalah ini.

Maka sebagai analisis utama, hanya apabila semua orang memainkan peranan masing-masing sebagai individu dalam satu kolektif besar, maka masalah ini dapat dibendung. Hari ini, kita disuruh untuk bekerja dari rumah. Ini dialu-alukan tetapi bukan semua jenis pekerjaan di mana pekerja itu boleh bekerja dari rumah atau mengambil cuti tanpa kerja. Maka, ini juga adalah masanya untuk kita memastikan golongan paling kaya yang mempunyai simpanan wang surplus itu menyalurkan wang berlebihan untuk membantu golongan pekerja lain dalam menghadapi masalah semasa krisis ini. Ini dipanggil pengagihan semula kekayaan. Tindakan Kerajaan mencukai golongan paling kaya semestinya tindakan yang jauh lebih bijak daripada mewujudkan Tabung COVID-19.

Semogo kalian selamat menghadapi krisis ini dengan tenang dan secara bersama.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *