oleh Ahmad Yasin Bin Basri
Perletakan jawatan Dr. Maszlee Malik daripada posisi Menteri Pendidikan pada 2 Januari yang lepas atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir telah membuahkan spekulasi akan sebab serta nasib posisi tersebut. Keengganan Mahathir memberi ulasan untuk memunasabahkan perletakan jawatan tersebut juga tidak memberi sebarang keringanan dalam keresahan orang ramai atas kekeruhan keadaan yang tercetus semenjak penguaran keputusan tersebut.
Sepanjang 20 bulan memegang jawatan, Dr. Maszlee Malik tidak lari daripada sebarang tohmahan akan keputusan yang disuarakan. Ketidakpuasan hati rakyat akan isu sarapan pagi dan internet percuma di sekolah serta yang paling hangat – isu jawi, tidak berjaya diredakan meskipun sudah melewati beberapa bulan. Harapan rakyat terhadap kerajaan akan masa depan dan hala tuju sektor pendidikan serta anak didik se-Malaysia semakin memudar berikutan ketidakacuhan serta ketidakcekapan pemegang posisi dalam Kementerian Pendidikan dalam menghadapi krisis yang terbina dan terbatu. Kini, krisis yang masih tidak mampu diperbicarakan dengan manisnya telah menjadi legasi Dr. Maszlee Malik dan perungkaiannya tidak terlihat terupaya sesiapa.
Seakan-akan bangkit menjadi penyelamat keadaan, dengan persetujuan pihak Kabinet, Mahathir kini memangku portfolio Menteri Pendidikan untuk “sementara waktu’. Keinginan Mahathir untuk memegang jawatan Menteri Pendidikan pada awal tampuk pemerintahan Pakatan Harapan tidak terasing dari pengetahuan orang ramai, namun terkubur akan ketetapan dalam Manifesto Pakatan Harapan yang memerihalkan akan ketunggalan portfolio Perdana Menteri.
Namun, portfolio Menteri Pendidikan tidak terasing daripada kerjaya politik Mahathir berikutan pemegangan jawatan tersebut dari 1974 sehingga 1978. Dalam tempoh pemegangan jawatan tersebut, perlaksanaan yang paling menonjol adalah penambahan Seksyen 15 dan Seksyen 16 dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang telah menyekat penyertaan mahasiswa dalam gerakan politik serta kesatuan mahasiswa.
Usainya, sekatan tersebut dilihat mengkuburkan aktivisme mahasiswa pasca penetapan tersebut sehinggalah pemansuhan peruntukan Seksyen 15(2)(c) dalam pindaan terhadap AUKU yang terlaksana pada bulan Disember 2018. Namun, pindaan terhadap AUKU tersebut tidak dilihat berlaku semata-mata untuk mensirnakan pengekangan aktivisme mahasiswa dalam penujuan kepada pengukuhan institusi demokrasi berikutan pengasaan penggantian AUKU dengan penggubalan satu akta baharu bagi pendidikan tinggi pada tahun 2020.
Susun atur perilaku portfolio Menteri Pendidikan terlihat tidak murni dan tercemar dengan anasir belakang tabir. Ianya terbit seakan-akan sebuah pengaturan licik Mahathir. Keinginan yang terkubur diberikan kepada pemegang jawatan yang tidak cekap dan kini telah meletakkan jawatan. Menjelang penggubalan sebuah akta pendidikan tinggi yang baharu, Mahathir telah mengambil keputusan untuk memangku jawatan Menteri Pendidikan bagi “sementara waktu” dengan persetujuan Kabinet biarpun mengkhianati Manifesto olahan Pakatan Harapan sendiri. Seperti bulan jatuh ke riba, Mahathir sebagai Menteri Pendidikan mendapat apa yang diinginkan pada awalannya serta mendapat imej penyelamat keadaan.
Pemuda PSM membangkang sekeras-kerasnya keputusan yang telah terealisasi setakat ini dan berharap akan tindakan yang mampu menjernihkan keadaan tanpa sebarang keputusan yang tiada ketelusan bagi rakyat yang hanya mampu akur akan penghikayatan keadaan.
Mahathir tidak dilihat sebagai pemegang portfolio sementara yang sesuai berikutan campurtangannya dalam AUKU yang telah mengekang aktivisme mahasiswa serta pendirian pro-keuntungan korporat Mahathir sendiri yang dikhuatiri akan mencacatkan sektor Pendidikan dengan tindakan untuk keuntungan semata – mata.
Perkembangan yang diterajui Dr. Maszlee Malik yang mengembangkan demokratisasi universiti melingkungi pindaan AUKU serta keterbukaan kepada kesatuan mahasiswa juga hendaklah dipertahankan daripada dipadamkan sekiranya Mahathir terus memangku jawatan. Sekiranya benar pemegangan jawatan ini adalah hanya untuk sementara waktu, ketelusan Mahathir juga kami tuntut dalam memberikan tarikh yang muktamad dalam pemindahan portfolio Menteri Pendidikan kepada pemegang jawatan yang baru. Pertanyaan juga berbangkit akan alternatif bagi keputusan sedia ada; Teo Nie Ching selaku Timbalan Menteri Pendidikan sewajarnya menjadi Menteri Pendidikan sementara secara de facto sepanjang tempoh pemilihan Menteri Pendidikan yang seterusnya namun mengapa tidak terlaksana?
Semoga sektor pendidikan Malaysia Baharu tidak terhumban ke dalam kancah kemerosotan hasil lanskap politik yang masih dilihat diwarnai kecelaan perilaku ahli politik. Memetik lirik lagu “Kami Belum Tentu” gubahan kugiran Indonesia .Feast, “Pemimpin di esok hari, adakah yang cukup mampu? Mewakilkan suara kami, jelas tak ada yang tahu”, sesungguhnya sektor pendidikan buat masa kini masih tidak mampu mewakili kepentingan anak didik se-Malaysia mahupun mengatur kebajikan setiap penggiat ilmu.
==========
Ahmad Yasin Bin Basri ialah Penyelaras Biro Pendidikan Pemuda Parti Sosialis Malaysia.