
oleh Cecilia Anthonysamy
Pada 17 November 2026, Malaysia telah menandatangani perjanjian kerjasama melombong, memproses dan membekalkan sumber unsur nadir bumi (REE) dengan negara Perancis. Menurut kata Perdana Menteri kita, ini membolehkan perpindahan teknologi dan pewujudan peluang pekerjaan di Malaysia selepas mempelajari kemahiran memproses bahan REE daripada REE mentah.
Walaupun ini membawa keuntungan ekonomi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah pembangunan industri REE yang akan meningkatkan lagi aktiviti pelombongan REE di negara kita.
Ini disebabkan 80% daripada endapan Unsur Nadir Bumi (REE) di Malaysia terdapat di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di 5 buah negeri, iaitu Terengganu, Pahang, Kedah, Perak dan Kelantan.
Di Semenanjung Malaysia, hanya 45% daripada keluasan tanah adalah berhutan, iaitu 5.92 juta daripada 13.25 juta hektar keseluruhan tanah Semenanjung. 4.84 juta hektar daripada 5.92 juta hektar ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, iaitu kira-kira 82% daripada 45% kawasan berhutan.
Pada tahun 1992, Perdana Menteri pada masa itu, Mahathir Mohamad, telah berjanji untuk mengekalkan 50% hutan Malaysia dalam ucapannya semasa mesyuarat persediaan ke Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro. Namun, hutan di Malaysia berkemungkinan hanya tinggal 47.4 – 49.4% sekiranya 4.4 juta hektar tanah yang sudah dirancang terus diusahakan.
Dasar kerajaan Malaysia bahawa Hutan Simpanan Kekal boleh dinyahwartakan untuk kawasan di mana pelombongan REE dilakukan dan harus digantikan dengan hutan simpanan kekal yang lain ataupun tanah itu kemudian dipulihkan semula oleh kerajaan negeri masing-masing, seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Arthur Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, di Parlimen, tidak masuk akal kerana:
1. Kawasan hutan adalah terhad. Hanya 45% tanah di Semenanjung adalah hutan.
2. Daripada 45% itu, 82% telah pun diisytihar sebagai Hutan Simpanan Kekal. Di mana kita hendak cari hutan ganti yang secukupnya?
3. Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Perak tidak memasukkan Seksyen 11 dan 12 pindaan Akta Hutan Negara 2022 ke dalam enakmen negeri masing-masing, di mana seksyen-seksyen tersebut menyatakan bahawa perlunya siasatan awam (public enquiry) dan tanah gantian diwartakan apabila tanah Hutan Simpanan Kekal di 4 buah negeri ini dinyahwartakan.
Mengikut statistik Jabatan Hutan pada tahun 2024, Hutan Simpanan Kekal di keempat-empat buah negeri ini merangkumi 69.3% daripada keseluruhan Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia. Jadi, jika hutan-hutan ini dinyahwartakan, kita akan terus kehilangan Hutan Simpanan Kekal.
4. Kerajaan dan pengusaha REE tidak mempunyai kemampuan mahupun rekod kejayaan sebelum ini untuk memulihkan suatu kawasan hutan yang diterokai dengan secukupnya tanpa pencemaran.
5. Hutan Simpanan Kekal berfungsi sebagai Hutan Perlindungan. Ia adalah sumber air dan memainkan peranan dalam mengurangkan kerosakan daripada banjir serta hakisan sungai. Sekarang pun, musim kemarau mengganggu kemampuan pesawah untuk menanam padi sebanyak dua kali setahun di Kedah. Banjir semakin teruk. Lihat sahaja banjir di Shah Alam, Kampung Subang dan Kelantan setiap tahun. Apa lagi jika Hutan Simpanan Kekal dinyahwartakan dan diterokai lagi untuk REE.
6. Hutan Simpanan Kekal berkepentingan dan bernilai tinggi dari segi kepelbagaian biologi. Kawasan ini merupakan habitat fauna dan flora khas. Walaupun tanah lain dijadikan tanah gantian, tidak mungkin kepelbagaian biologi fauna dan flora yang sama yang hidup sejak beribu-ribu tahun di hutan asal dapat ditanam, ditumbuh atau dipindah dan dipulihkan semula seperti keadaan semula jadi:
- Badak Sumbu Sumatera sudah pupus sejak tahun 2019 dan Badak Sumbu Jawa tidak lagi kelihatan. Tembadau Banteng (bos javanicus) direkodkan pupus. Mungus Kelabu India adalah mamalia direkodkan pupus. Siput Darat Plectostoma Sciaphilum direkod pupus dan disenarai merah oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) bagi Malaysia.
- Begonia Batang Berbulu dan pokok shorea cuspidata adalah antara flora yang disenarai pupus. Kedua-duanya dalam senarai merah IUCN.
- Harimau Malaya, Tenuk Malaysia, Tenggiling, Gajah dan Orang Utan berada pada tahap terancam sekarang.
- Penyawartaan dan penerokaan Hutan Simpanan Kekal demi REE akan memusnahkan lebih banyak lagi spesies flora dan fauna yang menjadi semakin terancam dan pupus. Ini satu ancaman yang sangat serius dan tidak boleh digantikan.
7. Hutan Simpanan Kekal adalah Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS):
- Hutan Simpanan Bukit Cherakah seluas 1298.86 hektar adalah KSAS Tahap Satu di bawah Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam 2035. Ia diberikan status perlindungan ketat di mana sebarang pembangunan adalah tidak dibenarkan. Namun, sebahagian hutan simpanan seluas 406.22 hektar telah dinyahwartakan pada tahun 2022 dan ditarah, sehingga mengundang banjir kilat sekitar kawasan Shah Alam dan Puncak Alam. Rakyat menderita apabila Hutan Simpanan Kekal dinyahwartakan.
- Dokumen Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) mengenai pelombongan REE di Perak menunjukkan bahawa kawasan seluas 2,161 hektar di Mukim Kenering, Ulu Perak, dikategorikan sebagai KSAS Tahap 1 dan terletak berhampiran rangkaian ekologi Central Forest Spine (CFS) serta hulu Sungai Rui.
8. Proses melombong REE menghasilkan sisa. Setiap tan REE yang dilombong menghasilkan 2,000 tan sisa toksik, termasuk sisa radioaktif. Ia juga menghasilkan beberapa juta tan sisa air.
Pada bulan November 2025, projek melombong REE di Perak dihentikan sementara kerana sebahagian Sungai Perak telah bertukar warna ke biru terang. Didapati sisa lombong REE di sana juga berwarna biru terang. Bacaan radioaktif kawasan REE itu pula didapati sebanyak 13 becquerel, jauh lebih tinggi daripada 1 becquerel yang dibenarkan mengikut laporan EIA .
9. Pendedahan kepada REE boleh membawa risiko kesihatan, seperti penyakit paru-paru, penyakit neurologi, penyakit kardiovaskular, masalah reproduksi, kanser dan penyakit genetik. Perhatian dan langkah-langkah persediaan perlindungan amat diperlukan untuk pekerja REE.
10. Pelombongan REE menyebabkan pencemaran alam. Di wilayah Mongolia Dalam di negara China, sisa lombong REE (tailings) di Bayan Obo telah mencemarkan Empangan Weikuang. Sisa toksik telah menyerap masuk ke tanah di sekitar, termasuk tanah pertanian.
11. Proses mitigasi dan persediaan pengurusan kumbah sisa lombong (tailings) REE mesti bermula jauh lebih terdahulu sebelum melombong. Malaysia belum lagi bersedia dan jauh daripada mematuhi kerangka keselamatan Global Industry Standard on Tailings Management. Penilaian ESG Benchmark 2024 mendapati bahawa ia hanya dipatuhi oleh 17% daripada pengusaha REE di seluruh dunia.
- Pahang, Kedah dan Perak mempunyai enakmen dan SOP untuk mentadbir urusan REE. Eksplorasi pelombongan REE dilakukan pula oleh entiti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masing-masing. Ini bagaikan tikus membaiki labu.
- Lagipun dasar komprehensif pembangunan industri REE peringkat negara. yang termasuk aktiviti melombong, memproses, memisah, dan pengurusan pencemaran alam sekitar, masih dalam peringkat persediaan dan akan dibawa untuk pertimbangan di Parlimen, menurut kata Syed Ibrahim Syed Noh, Timbalan Menteri Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES). Sepatutnya analisis dan dasar, termasuk perlindungan alam, dimuktamadkan dan didahului sekiranya rakyat diberi kepentingan dan bukannya keuntungan semata-mata.
- Para pakar akademik bidang REE dan organisasi masyarakat sivil harus diberi peluang untuk meneliti dokumen dasar ini dan input mereka diambil berat atas kepentingan perlindungan alam sekitar dan kesihatan. PSM menuntut agar dokumen ini disiarkan secara umum untuk mendapat maklum balas daripada rakyat supaya kepentingan kita bersama dipelihara.
13. Teknik pelombongan REE larut lesap, in-situ leaching (ISL), yang dilaporkan mesra alam tetapi terhad kepada kawasan berbukit, masih berpotensi mencemari air bawah tanah (groundwater) dan menyebabkan ketidakkestabilan cerun. Ini memerlukan penyelidikan yang sangat teliti sebelum melombong.
14. Sebelum ini, dilaporkan bahawa pelombongan REE tidak akan dibenarkan di Hutan Simpanan Kekal sehingga penyiasatan impak alam sekitar dan keselamatan selesai dilakukan secara berfasa selama 5 tahun, iaitu pra pelombongan (2024-2025), pelombongan (2026-2027) dan selepas pelombongan (2028-2029), mengikut pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada masa itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Tetapi perjanjian pembekalan sudah ditandatangani. Dedahkan dahulu penyelidikan ini sepenuhnya kepada masyarakat umum. Biar kita pastikan bahawa pelombongan REE itu selamat.
Dasar bahawa Hutan Simpanan Kekal boleh dinyahwartakan untuk pelombongan REE telah pun ditentang oleh organisasi-organisasi alam sekitar.
Namun, kerajaan masih menekankan bahawa dasar ini terus digunakan untuk membolehkan pelombongan REE. Undang-undang di 5 buah negeri, iaitu Selangor, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Perak, menyatakan bahawa tidak memerlukan Hutan Simpanan Kekal itu digantikan sekiranya ia dinyahwartakan.
Ini menggambarkan bahawa kerajaan kurang mengambil berat akan kepentingan Hutan Simpanan Kekal dan lebih cenderung kepada mengutamakan keuntungan daripada pelombongan REE.
Hutan Simpanan Kekal tidak boleh digantikan dengan hutan lain. Ia harus dikekalkan untuk menjamin perlindungan bagi pelbagai flora dan fauna khas di Malaysia. Hutan Simpanan Kekal mengurangkan impak krisis iklim dengan fungsi penyerapan karbon, yang umum ketahui bahawa ia telah bertambah teruk berapa tahun kebelakangan ini.
PSM menggesa kerajaan supaya menunjukkan bahawa ia benar-benar komited untuk melindungi Hutan Simpanan Kekal demi kepentingan rakyat dan menangani krisis iklim.
PSM menuntut pemindaan Akta Hutan Negara 1984 supaya ia melarang penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal untuk tujuan perlombongan REE.
PSM juga menuntut pemindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya ia memperketatkan pengurusan sisa pelombongan REE (tailings) dan perlindungan terhadap pencemaran alam sekitar supaya lebih selari dengan Global Industry Standard on Tailings Management (GISTM).
Utamakan perlindungan alam sekitar! Jangan nyahwartakan Hutan Simpanan Kekal semata-mata untuk keuntungan daripada pelombongan REE.
==========
Cecilia Anthonysamy ialah ahli Biro Alam Sekitar Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) Parti Sosialis Malaysia (PSM).
