(foto: Grig C. Montegrande / Inquirer)

Kunjungan Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat (AS), ke Filipina pada 17 November 2026 telah disambut oleh aksi protes besar-besaran yang menentang kuasa imperialis AS dan projek imperialis Pax Silica. 

Pax Silica ialah inisiatif kerajaan AS yang dilancarkan pada bulan Disember 2025 dengan memperkukuhkan penguasaan imperialisme AS ke atas rantaian bekalan global bagi teknologi kecerdasan buatan, daripada bahan galian unsur nadir bumi, tenaga dan logistik ke semikonduktor dan infrastruktur AI. Filipina merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara yang menyertai inisiatif imperialis AS ini, dan projek pertamanya ialah membina sebuah hab perindustrian AI seluas 4,000 ekar di Koridor Ekonomi Luzon.

Aksi protes menentang Pax Silica sudah pun mula diadakan di Manila, ibu negara Filipina, sebelum Sidang Kemuncak Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara pada 15 November 2026. Ribuan orang membanjiri jalanan Manila untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap projek imperialis yang mengancam kedaulatan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat. Sekurang-kurangnya 300 orang demonstran ditahan oleh pihak berkuasa Filipina pada 15 November 2026. Protes juga diadakan di bandar-bandar lain di seluruh Filipina.


Protes di Bandar Davao, Mindanao, pada 16 November 2026. (foto: Manman Dejeto / Minda News)

Mereka yang berprotes di jalanan Manila untuk menentang Pax Silica termasuklah pekerja, petani, nelayan, pelajar dan masyarakat orang asal. Bagi golongan petani dan masyarakat orang asal, rancangan kerajaan Filipina untuk mengubah status guna tanah kawasan pertanian kepada pembangunan perindustrian boleh menjejaskan kehidupan mereka, kerana tanah yang menjadi sumber pencarian petani bakal dirampas sementara keterjaminan makanan turut diancam.

Organisasi-organisasi alam sekitar pula bimbang tentang kesan infrastruktur semikonduktor dan AI terhadap alam sekitar, kerana penggunaan elektrik dan air yang banyak, peningkatan dalam permintaan untuk mineral kritikal dan cabaran pengurusan sisa perindustrian yang berkaitan dengan kemudahan pembuatan termaju.

Penglibatan Israel dalam projek Pax Silica juga dianggap oleh ramai orang bahawa projek imperialis ini hanya memperkukuhkan kekuasaan rejim Zionis Israel yang sedang melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin.

Protes di hadapan Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur.

Organisasi-organisasi di Malaysia turut menyuarakan solidariti bersama rakyat Filipina yang menentang Pax Silica. Sebuah aksi protes diadakan di hadapan Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur pada 16 November 2026.

“Negara-negara kita tidak akan menjadi pangkalan hadapan bagi jentera perang AS dan Zionis,” begitu katanya kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh organisasi-organisasi di Malaysia untuk bersolidariti bersama rakyat Filipina. “Tanah, air dan sumber-sumber milik rakyat tidak akan digunakan untuk menggerakkan pusat data, AI atau senjata yang digunakan untuk membunuh dan merompak.” Kenyataan bersama ini disokong oleh GEGAR (Gerakan Gabungan Anti-Imperialis), Malaysian Protest 4 Palestine (MP4P), Basirah, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sekolah Merdeka, Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI) dan BDS Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *