
oleh K. Kunasekaran
Keputusan kerajaan menetapkan premium tanah nominal sebanyak RM1,000 bagi urusan pemberimilikan semula tanah kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), dengan tempoh pajakan sehingga 99 tahun, merupakan langkah yang wajar, bertanggungjawab, berlandaskan peruntukan undang-undang tanah sedia ada dan mengambil kira kepentingan pemeliharaan warisan negara.
Penjelasan rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menunjukkan bahawa pengurangan premium daripada anggaran awal sekitar RM4.67 juta kepada RM1,000 bukanlah keputusan yang dibuat tanpa pertimbangan. Keputusan tersebut dicapai melalui proses pentadbiran tanah dan telah diluluskan oleh Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan pada 14 September 2026.
Dari sudut perundangan, urusan tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tertakluk kepada Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 828) serta kaedah-kaedah tanah yang berkuat kuasa. Berdasarkan penjelasan kerajaan, urusan KLSCAH dilaksanakan melalui mekanisme penyerahan balik dan pemberimilikan semula tanah, dengan perubahan syarat kegunaan daripada komersial kepada institusi.
Perubahan syarat kegunaan ini membawa sekatan terhadap pembangunan tanah tersebut. Tanah berkenaan tidak lagi boleh digunakan untuk pembangunan komersial seperti kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya perlu dikekalkan bagi tujuan institusi dan pemeliharaan warisan.
Pihak berkuasa tanah mempunyai kuasa untuk menentukan premium berdasarkan peruntukan undang-undang dan keadaan sesuatu permohonan. Dalam kes ini, faktor seperti sekatan kegunaan tanah, status bangunan warisan dan kedudukan KLSCAH sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan wajar diambil kira dalam penilaian.
Bangunan KLSCAH yang siap dibina pada tahun 1923 telah diiktiraf sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan sejak tahun 2007. Institusi ini bukan sekadar sebuah bangunan bersejarah, malah menjadi tempat pelbagai aktiviti sosial, kebudayaan dan kemasyarakatan.
Pemeliharaan bangunan bersejarah dan institusi masyarakat merupakan kepentingan awam yang perlu diberikan perhatian. Undang-undang tanah tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai alat untuk memaksimumkan kutipan hasil kerajaan melalui kadar premium standard. Pentadbiran tanah juga perlu mengambil kira kepentingan masyarakat, pemeliharaan aset warisan dan manfaat sosial yang berterusan.
Sehubungan itu, semua pihak wajar menghormati keputusan yang dibuat melalui proses pentadbiran tanah dan tidak menjadikan usaha pemeliharaan warisan negara sebagai isu politik atau bahan untuk mencetuskan sentimen perkauman.
Pada masa yang sama, kerajaan wajar menjelaskan kriteria yang digunakan supaya pendekatan yang sama dapat dipertimbangkan secara telus dan konsisten bagi institusi warisan serta pertubuhan masyarakat lain yang memenuhi syarat setara. Ini bukan bermaksud semua institusi mesti diberikan kadar premium yang sama secara automatik, tetapi setiap permohonan hendaklah dinilai secara adil berdasarkan keadaan dan peruntukan undang-undang yang terpakai.
Pemeliharaan warisan negara dan kepentingan masyarakat tidak sepatutnya dikorbankan atas nama kutipan hasil atau dijadikan modal politik.
==========
K. Kunasekaran ialah Ahli Jawatankuasa PSM Perak merangkap Penyelaras PSM Parlimen Batu Gajah.
