oleh S. Arutchelvan

Ramai orang berpendapat bahawa melawan sistem itu bererti melawan korupsi. Melawan korupsi tidak semestinya membawa kepada perubahan sistem.

Di Malaysia, pada satu ketika dahulu, adanya gerakan melawan Mahathir. Tuduhan ke atas Mahathir ialah dia menghancurkan institusi negara seperti sistem kehakiman, polis dan lain-lain. Di samping itu, Mahathir juga mengamalkan kronisme dan rasuah, dengan terlibat dalam isu-isu skandal seperti Perwaja, BMF, Maminco dan sebagainya. Dia ditentang oleh Anwar Ibrahim dengan slogan Reformasi dan naratif “selamatkan Malaysia daripada kronisme dan rasuah”.

Mahathir membawa masuk Najib Razak, yang kemudiannya dituduh oleh Mahathir sendiri sebagai kleptokrat – tuduhan berkaitan 1MDB dan “Cash is King”. Najib dijatuhkan oleh Mahathir dan Pakatan Harapan, dan kemudian dipenjarakan. Pelbagai tuduhan dikenakan ke atas orang UMNO, termasuk Zahid Hamidi, Ku Nan, Isa Samad, Musa Aman dan Bung Moktar.

Mahathir pula dijatuhkan oleh Langkah Sheraton, yang membawa Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, dan kemudiannya Ismail Sabri. Kedua-dua kerajaan PN dan BN ini pula tidak mahu menyimpan mereka yang dituduh rasuah dalam kabinet mereka.

Namun, semuanya berubah apabila Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Beliau menjadi Perdana Menteri atas matlamat untuk menguburkan rasuah, tetapi Zahid Hamidi pula diambil menjadi Timbalan Perdana Menteri dan semua tuduhan ke atasnya di-DNAA-kan (dilepaskan tanpa dibebaskan). Begitu juga satu persatu pemimpin UMNO dibebaskan.

Kini, tiba masa Rafizi pula. Beliau turut membawa isu “mafia korporat”, dan berkata bahawa orang-orang Anwar terlibat dalam rasuah. Beliau sekali lagi membawa naratif tentang membebaskan negara daripada cengkaman rasuah. “RR” (Real Reform), cakap Rafizi. Adakah ia real?

Adakah setiap perubahan Perdana Menteri ini membawa kepada perubahan sistem? Dalam konteks orang sosialis pula, perubahan sistem itu berlaku apabila faktor pengeluaran seperti modal, teknologi dan tanah dimiliki oleh rakyat terbanyak, dan bukan segelintir kecil kapitalis mahakaya 1%. Ini kerana selagi golongan teratas 1% itu memiliki segalanya, maka majoriti rakyat tidak akan menikmati kehidupan yang adil dan saksama.

Adakah perubahan kerajaan dan Perdana Menteri selama ini membawa kepada perubahan sistem? Apa pandangan anda?

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *