
GEORGE TOWN, PULAU PINANG – 30 OKTOBER 2026: Masyarakat sivil di Pulau Pinang menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Negeri (SCI) dengan segera bagi menyiasat tragedi tanah runtuh di Paya Terubong baru-baru ini. Seruan ini dibuat dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di hadapan Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada hari ini.
Sebuah kejadian tanah runtuh yang membawa maut berlaku baru-baru ini pada 25 Oktober 2026 di kawasan Taman Seri Rambai, Paya Terubong, yang meragut nyawa seorang doktor bersara yang berusia 73 tahun. Pada hari yang sama, banyak tempat di sekitar Pulau Pinang telah dilanda banjir kilat selepas hujan lebat semalaman. Mendiang Dr. Wong Kar Lin yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh itu sebenarnya merupakan salah seorang yang pernah berprotes 10 tahun dahulu untuk menyuarakan bantahan penduduk setempat terhadap pembangunan di lereng bukit yang berdekatan dengan Taman Seri Rambai, dan kini beliau sendiri menjadi mangsa kejadian tanah runtuh di kawasan cerun yang sedang dibangunkan.
“Penubuhan SCI ini amat diperlukan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi tersebut, termasuk faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian berkenaan; pihak yang terlibat serta bentuk kelulusan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa; langkah-langkah yang telah diambil atau gagal dilaksanakan serta pihak yang bertanggungjawab; sama ada wujud unsur kecuaian dan pihak yang perlu dipertanggungjawabkan; serta tahap pematuhan terhadap undang-undang dan garis panduan yang berkaitan,” kata Meenakshi Raman, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), yang hadir dalam sidang akhbar hari ini. “Siasatan ini juga penting bagi mengenal pasti langkah-langkah pencegahan yang berkesan untuk mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang pada masa hadapan.”
“SCI seumpama ini pernah ditubuhkan susulan tragedi Granito di Tanjung Bungah yang meragut 11 nyawa pada 21 Oktober 2017,” ulas Meenakshi Raman. “Hasil siasatan SCI berhubung tragedi tersebut telah membawa kepada beberapa perakuan yang dikemukakan kepada pihak berkuasa Pulau Pinang berkaitan pembangunan di kawasan cerun bukit serta aspek pemantauan dan pengawalannya, termasuk cadangan supaya tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab secara langsung atas perbuatan cuai dan pelanggaran undang-undang yang berlaku.”
“Berdasarkan pengajaran yang diperoleh daripada tragedi Granito, kami menjangkakan bahawa kejadian tanah runtuh seumpama ini tidak akan berulang,” tegas kata Meenakshi ketika menyatakan kekecewaannya terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang. “Namun begitu, amat mendukacitakan dan dikesali apabila tragedi tanah runtuh di Paya Terubong tetap berlaku. Justeru, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Negeri (SCI) yang telus dan terbuka kepada orang awam amat diperlukan bagi mengenal pasti kelemahan serta kegagalan yang menyebabkan tragedi ini berlaku, di samping menentukan langkah-langkah pencegahan yang berkesan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang. Jelas sekali, selepas sembilan tahun, masih terdapat kelemahan yang belum ditangani sepenuhnya dan keadaan ini menuntut tindakan pembetulan yang segera serta menyeluruh.”
“Adakah pihak berkuasa benar-benar mengambil iktibar daripada tragedi yang lalu, atau adakah mereka akan terus saling menuding jari dan melepaskan tanggungjawab, seperti yang sedang berlaku ketika ini?” tanya Meenakshi.

Turut hadir dalam sidang akhbar ialah Dr. Kam Suan Pheng daripada Penang Hills Watch, Dr. Chee Heng Leng daripada Penang Forum, AD Chandrasekaran daripada Jawatankuasa Bertindak Protect Karpal Singh Drive, Henry Loh daripada Aliran, Andrew Han daripada Jaringan Ekologi Dan Iklim (JEDI), Dr. Jayabalan Thambyappa daripada Persatuan Kejiranan Gelugor, wakil Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan ramai lagi. Choo Chon Kai dan Muhammad Syafiq Mohd Fadli daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang turut hadir bersolidariti bersama masyarakat sivil Pulau Pinang yang menuntut siasatan bebas terhadap tragedi tanah runtuh maut yang berulang ini.
Dr. Kam Suan Pheng daripada Penang Hills Watch, yang juga merupakan seorang pakar geoinformatik, menunjukkan bahawa berdasarkan imej satelit Google Earth, kawasan lereng bukit yang terletak di belakang deretan rumah sepanjang Lebuh Rambai 13 (yang berlakunya kejadian tanah runtuh terbaru ini) adalah tidak stabil, dan langkah-langkah sementara pernah diambil untuk membaiki ketidakstabilan cerun di situ seawal tahun 2018. Namun, kerja-kerja pembinaan masih diteruskan di kawasan lereng bukit di atasnya, dan sekarang ini berlaku pula tanah runtuh yang meragut nyawa.
Muhammad Fauzi Yusoff, Ketua Pembangkang Pulau Pinang daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), juga hadir mendengar kenyataan yang disampaikan oleh masyarakat sivil dan berkata bahawa dia akan membangkitkan isu ini dalam ucapannya dalam persidangan DUN.

“Kami juga amat kesal dan berang apabila mendapati bahawa Draf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 yang sedang dalam proses kajian semula mengandungi cadangan untuk membenarkan pembangunan di kawasan bukit dan cerun yang melebihi ketinggian 76 meter atau mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah,” kata Dr. Chee Heng Leng daripada Penang Forum. “Pertubuhan-pertubuhan kami telah menyatakan bantahan terhadap cadangan tersebut melalui maklum balas yang dikemukakan kepada PLANMalaysia. Kami berharap agar kebimbangan yang dibangkitkan ini diberikan perhatian serius dan tragedi tanah runtuh di Paya Terubong dijadikan pengajaran penting supaya kawasan bukit dan cerun bukit yang sensitif dari segi alam sekitar tidak diganggu atau diteroka untuk tujuan pembangunan.”
“Tindakan pihak berkuasa negeri mencadangkan pelonggaran sekatan terhadap pembangunan di kawasan bukit selepas tragedi tanah runtuh di tiga lokasi berasingan, iaitu Granito, Bukit Kukus dan kini Paya Terubong, yang telah meragut nyawa, merupakan suatu tindakan yang sama sekali tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima,” tambah Dr. Chee Heng Leng. “Jelas sekali, pengajaran daripada tragedi terdahulu tidak dijadikan iktibar, manakala pihak yang bertanggungjawab tidak dikenakan hukuman sewajarnya.”
Wakil-wakil masyarakat sivil Pulau Pinang mendesak agar semua pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi yang sebenarnya boleh dielakkan ini dikenakan hukuman yang setimpal dan seberat-beratnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Masyarakat sivil Pulau Pinang juga mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya membatalkan cadangannya untuk membenarkan pembangunan di kawasan yang melebihi ketinggian 76 meter atau mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah.
