
PETALING JAYA, SELANGOR – 30 OKTOBER 2026: 15 buah keluarga peneroka asal PJS 1 Petaling Jaya yang tercicir daripada pemberimilikan rumah sendiri berprotes di hadapan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada hari ini untuk mengetengahkan isu yang dihadapi mereka kepada perhatian Mohd Yazid bin Sairi selaku Datuk Bandar Petaling Jaya yang baharu.
Walaupun kebanyakan daripada pembeli asal rumah kos rendah (RKR) Blok E di PJS 1 memperoleh kunci rumah untuk tinggal di Pangsapuri Rima Riang mulai bulan Oktober 2025, masih terdapat 15 orang peneroka asal Petaling Jaya yang dinafikan untuk memiliki sebuah rumah kos rendah yang telah dijanjikan.
Pada sekitar tahun 2000, golongan peneroka asal Petaling Jaya ini telah menjadi mangsa kepada pengusiran paksa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui penguatkuasaan dasar “Setinggan Sifar” di bawah arahan Menteri Besar Selangor pada masa itu, Khir Toyo. Pada ketika itu, bancian dibuat oleh pihak MBPJ agar semua peneroka yang dipindahkan dari kampung-kampung yang dirobohkan akan ditawarkan sebuah rumah dalam pembangunan RKR di sekitar kawasan Petaling Jaya Selatan (PJS). Beberapa buah projek perumahan kos rendah dibangunkan untuk peneroka asal seperti pembangunan PJS1 Blok A, B, C, D dan E. Oleh kerana berada dalam situasi menghadapi pengusiran dan kekurangan pendapatan, 15 orang peneroka asal yang diperakukan melalui banci MBPJ gagal memetarai Perjanjian Jual Beli RKR Blok E pada ketika itu.
Oleh sebab projek RKR Blok E itu juga terbengkalai kerana kecuaian MBPJ yang menyebabkan penduduk taman bersebelahan mengambil perintah mahkamah untuk menghentikan projek RKR Blok E PJS 1 pada tahun 2004, 15 orang peneroka asal yang dibanci oleh MBPJ bersama pembeli Blok E yang lain telah diberikan penempatan sementara sama ada di Rumah Panjang PJS1/52 ataupun rumah PPR Lembah Subang untuk diduduki sehingga projek Blok E dimajukan semula.
Setiap kali Jawatankuasa Bertindak Rumah dan Kedai (Blok E) PJS 1 membangkitkan isu mengenai tawaran perumahan kepada 15 orang peneroka asal yang tercicir ini, Kerajaan Negeri Selangor dan MBPJ memaklumkan bahawa mereka masih layak dan akan ditawarkan rumah. Namun, surat daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang bertarikh 6 Oktober 2026 menyatakan bahawa “seramai 15 orang penama tidak dapat diproses selanjutnya kerana tidak mendapat perakuan daripada pihak MBPJ dan Radikal Kirana (pemaju)”.
Oleh itu, Jawatankuasa Bertindak Rumah dan Kedai (Blok E) PJS 1 bersama-sama 15 buah keluarga peneroka asal Petaling Jaya yang dinafikan hak untuk memiliki rumah Pangsapuri Rima Riang menuntut tindakan segera daripada MBPJ supaya menawarkan rumah Pangsapuri Rima Riang kepada 15 orang peneroka asal tersebut untuk dibeli dan bukan sebagai penyewa Skim Smart Sewa.
Turut hadir dalam aksi protes hari ini untuk bersolidariti bersama peneroka asal Petaling Jaya ialah Gandipan Nantha Gopalan selaku Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sivarajan Arumugam selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Pengerusi PSM Selangor dan Cheong Huei Ting selaku Setiausaha PSM Cawangan Petaling Jaya.
Sebelum turun berprotes di hadapan ibu pejabat MBPJ pada hari ini, pihak Jawatankuasa Bertindak Rumah dan Kedai (Blok E) PJS 1 telah menghantar mesej kepada semua Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya agar mereka tampil ke hadapan untuk menerima memorandum daripada keluarga yang tercicir. Namun, apabila para peneroka asal Petaling Jaya berkumpul di hadapan ibu pejabat MBPJ pada hari ini, tiada seorang pun yang bersedia di situ untuk menerima memorandum daripada mereka, malah penduduk-penduduk juga tidak dibenarkan untuk memasuki bangunan MBPJ dengan alasan mesyuarat sedang berlangsung di dalam.
Walau bagaimanapun, penduduk-penduduk yang berhimpun di situ berpendirian teguh bahawa mereka hanya akan menyampaikan memorandum kepada Datuk Bandar, kerana penduduk-penduduk telah menghantar banyak surat sebelum ini tetapi masih tidak memperoleh jawapan yang wajar. Hasil daripada desakan penduduk-penduduk yang berhimpun di hadapan bangunan MBPJ, tambahan pula dengan tekanan daripada mesej-mesej melalui WhatsApp, akhirnya 4 orang Ahli Majlis keluar untuk menerima memorandum dan bersetuju untuk menyampaikan memorandum ini kepada Datuk Bandar. Penduduk-penduduk juga agak terkejut apabila diberitahu oleh Ahli-ahli Majlis di situ bahawa isu ini tidak pernah dibincangkan semasa Ahli-ahli Majlis dan Datuk Bandar.
“Tindakan MBPJ yang menafikan hak 15 orang peneroka asal Petaling Jaya untuk memiliki rumah ini merupakan satu tindakan yang memungkiri janji,” kata Sivarajan Arumugam, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM yang hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk. “Para penduduk berasa diri mereka telah ditipu dan mereka secara sebulat suara tidak bersetuju dengan keputusan MBPJ yang tidak memperakukan hak mereka untuk memiliki rumah baharu di Pangsapuri Rima Riang, yang dibina sebagai ganti kepada pembangunan Blok E PJS 1 yang terbengkalai.”
