KUALA LUMPUR: Penduduk-penduduk dari Jinjang Selatan Tambahan mengadakan satu protes di hadapan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 23 Oktober 2026 dengan gesaan kepada pihak berkuasa supaya menghentikan pengusiran di situ dan menyelesaikan masalah yang telah merunsingkan penduduk-penduduk asal di kawasan itu sejak tahun 1990-an.

Aksi protes ini dianjurkan oleh Gabungan Isu Perumahan dan Pampasan Lot 9714 Jinjang Selatan Tambahan untuk menyerahkan memorandum penduduk-penduduk tempatan yang ditujukan kepada Hannah Yeoh selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Fadlun Mak Ujud selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur. Turut hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk Jinjang Selatan Tambahan ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Soh Sook Hwa selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan Lee Hoi Eng daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Baru-baru ini, penduduk-penduduk di kawasan Lot 9714, Jinjang Selatan Tambahan, telah menerima Notis Peringatan Pematuhan daripada DBKL yang bertarikh 9 Oktober 2026, dengan notis itu mengarahkan para penduduk untuk mengosongkan tapak dan merobohkan struktur yang berada di kawasan berkenaan sebelum atau pada 31 Oktober 2026. Gabungan Isu Perumahan dan Pampasan Lot 9714 terkejut dengan tindakan itu, dan bimbang bahawa pengosongan dan perobohan rumah terus dilaksanakan tanpa menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan dengan lot tanah tersebut, termasuk perkara yang melibatkan pemilik lot kedai dan bekas pemilik Lesen Pendudukan Sementara (TOL), di samping isu pampasan yang memerlukan penjelasan dan penyelesaian yang mengejut.

Oleh itu, Gabungan Isu Perumahan dan Pampasan Lot 9714 menggesa pihak berkuasa untuk membatalkan notis pengusiran dan menangguhkan pelaksanaan tindakan pengosongan serta perobohan pada masa ini sehingga semua isu yang berkaitan dapat diselesaikan secara adil.

Gabungan Isu Perumahan dan Pampasan Lot 9714 menegaskan bahawa janji asal daripada Kementerian/Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL patut ditepati dan langkah-langkah penyelesaian perlu diambil segera terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk-penduduk tempatan, terutamanya perkara-perkara berikut:

  • Isu lot kedai: Pemilik lot kedai hanya ditawarkan RM5,000 pampasan sahaja. Tindakan ini adalah bercanggah dengan janji asal semua bekas pemegang TOL akan diberikan rumah percuma. Janji asal perlu ditepati dan hak mereka tidak patut dinafikan.
  • Isu bekas pemegang TOL: Walaupun telah diberikan tawaran sebelum ini oleh DBKL, bekas pemegang TOL dan waris mereka telah dinafikan hak dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Gabungan Isu Perumahan dan Pampasan Lot 9714 membantah tindakan tersebut dan menuntut supaya semua rayuan diteliti secara adil dan telus oleh jawatankuasa khas yang melibatkan pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersama Gabungan.  
  • Tuntutan rumah berharga RM42,000 bagi pemilik rumah yang bukan bekas pemegang TOL: Mengikut janji asal, pemilik rumah yang bukan bekas pemegang TOL akan ditawarkan untuk membeli rumah 700 kaki persegi dengan harga RM42,000. Ramai penduduk asal telah tercicir daripada tawaran tanpa penjelasan daripada pihak berkuasa. Hak rumah golongan ini perlu dipertahankan.

“Ketiga-tiga tuntutan yang dikemukakan oleh penduduk perlu diberikan jawapan yang jelas dan bertulis,” kata S. Arutchelvan yang hadir bersolidariti bersama penduduk Jinjang Selatan Tambahan. “Penduduk tidak seharusnya dibiarkan terus berada dalam keadaan ketidakpastian mengenai kedudukan rumah, premis dan tuntutan mereka.”

Gabungan Isu Perumahan dan Pampasan Lot 9714 menggesa Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mencampur tangan dalam isu ini supaya menghentikan ancaman pengusiran paksa terhadap penduduk-penduduk di kawasan Lot 9714, Jinjang Selatan Tambahan. Tuntutannya kepada Menteri dan Datuk Bandar ialah:

  • Menangguhkan tindakan pengosongan dan perobohan oleh DBKL sementara isu-isu penduduk diteliti dan dibincangkan;
  • Memberikan satu temu janji rasmi dengan wakil Gabungan dan penduduk yang terlibat dalam kadar segera;
  • Memastikan janji asal Kementerian dan DBKL ditepati.

“Penangguhan pengosongan dan perobohan akan memberi ruang kepada semua pihak untuk mencari penyelesaian secara teratur, tanpa menjejaskan hak dan kebajikan penduduk yang masih mempunyai isu tertunggak,” ulas Soh Sook Hwa yang turut hadir bersolidariti bersama penduduk Jinjang Selatan Tambahan. “Memandangkan tarikh akhir notis DBKL sudah semakin menghampiri, pihak Menteri harus memberi perhatian dan mempertimbangkan permohonan temu janji dengan segera!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *