
oleh Sachin Nair dan Sivarajan Arumugam
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis yang menahan 5 orang warga Orang Asli (4 orang wanita dan 1 orang lelaki) dari Kampung Pathir di Bera, Pahang, pada 15 September 2026, yang mempertahankan hak tanah adat mereka daripada dicerobohi. Kami difahamkan bahawa suatu ‘operasi’ oleh pegawai-pegawai penguatkuasa daripada beberapa jabatan persekutuan dan negeri Pahang telah dilaksanakan di Hutan Simpan Tasek Bera, Pahang. Dalam kenyataan media Ketua Polis Daerah Bera, Pahang, pihak polis menyatakan bahawa 5 orang daripada komuniti Orang Asli tersebut ditahan kerana mendirikan halangan dan melakukan “provokasi” terhadap pasukan penguatkuasa daripada menjalankan tugas yang sah di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
Tetapi dalam paparan rakaman video, jelas kelihatan bahawa pihak penguatkuasa yang “melakukan provokasi” dengan menyepak bekas kemenyan komuniti Orang Asli Semelai tersebut. Berikutan insiden tersebut, kami difahamkan bahawa wakil komuniti telah membuat satu laporan polis terhadap pihak penguatkuasa kerana telah ‘menghina’ adat dan kepercayaan masyarakat Orang Asli suku kaum Semelai.
Menurut pihak penguatkuasa, “operasi” tersebut telah dilaksanakan untuk menyasarkan kawasan Tasek Bera yang diklasifikasikan oleh mereka sebagai “pencerobohan haram ke dalam hutan simpan”. Ini bukanlah kali pertama komuniti Orang Asli yang mempertahankan wilayah adat mereka ditahan dan diintimidasi oleh pihak penguatkuasa. Pada 23 Disember 2025, seramai 12 Orang Asli daripada suku kaum Jakun di Kampung Orang Asli Tanam ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan. Pada bulan Februari 2026, 21 Orang Asli suku kaum Jakun ditahan di Kampung Jemeri Rompin, Pahang.
Keberadaan komuniti Orang Asli dan hak mereka ke atas wilayah tanah adat mereka sudah pasti diketahui dan direkodkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan jabatan-jabatan negeri. Pihak SUHAKAM melaporkan dalam laporan “Report of the National Inquiry Into the Land Rights of Indigenous Peoples” (2013) bahawa wujudnya kegagalan koordinasi antara agensi-agensi kerajaan dalam mengenal pasti wilayah tanah adat Orang Asli yang belum atau dalam proses pewartaan. Maka tuntutan hak atas wilayah tanah adat ini kerap dianggap “tidak wujud” bagi Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Jabatan Perhutanan kerana kegagalan JAKOA untuk melaksanakan tanggungjawabnya mengenal pasti dan mewartakan tanah ini.
Kenapakah apabila hendak mengenal pasti dan mewartakan tanah adat, kerajaan begitu “lembap” sekali, tetapi apabila hendak merampas tanah yang dituntut oleh komuniti Orang Asli, puluhan anggota penguatkuasa dapat dikerahkan?
Hakikatnya, kawasan yang disasarkan oleh pihak penguatkuasa adalah sebahagian daripada wilayah adat masyarakat Semelai. Mereka telah menetap dan bergantung pada hasil tanah di kawasan tersebut sejak turun-temurun. Kawasan tersebut merupakan tanah adat mereka. Penguatkuasa kerajaan haruslah memahami status warga Orang Asli dan kegagalan agensi-agensi kerajaan dalam menandakan dan mengiktiraf tanah wilayah adat Orang Asli. Pihak penguatkuasa tidak boleh mengambil posisi bahawa Orang Asli bukanlah pemilik berdaftar tanah adat, maka dianggap “penceroboh”. Kegagalan pewartaan tanah tersebut sebagai Rizab Orang Asli merupakan kecuaian JAKOA melaksanakan tanggungjawab “fiduciary”. Maka kenapa Orang Asli pula ditahan apabila mempertahankan tanah adat daripada dicerobohi oleh pihak luar?
Justeru, PSM mendesak agar pihak berkuasa berhenti menahan dan mengintimidasi komuniti Orang Asli, sebaliknya mengerahkan jentera Kerajaan untuk membantu komuniti supaya memeta dan mewartakan tanah wilayah adat mereka yang sah, agar ia terjaga daripada dirampas oleh pihak ketiga.
==========
Sachin Nair ialah anggota Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM. Sivarajan Arumugam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.
