
SEREMBAN – 18 JULAI 2026: Tinagaran Subramaniam, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Tina, calon daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), menghadapi pertandingan empat penjuru untuk kerusi DUN N22 Rahang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026.
Proses penamaan calon untuk kerusi DUN Rahang dan beberapa buah lagi kerusi DUN berdekatan berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Seremban pada hari ini. Cikgu Tina hadir ke pusat penamaan calon dengan iringan penyokong-penyokong Blok Progresif yang terdiri daripada PSM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Penyokong-penyokong Blok Progresif PSM-MUDA melaungkan slogan dan menyanyikan lagu perjuangan dengan penuh semangat.
Turut hadir bersolidariti bersama Cikgu Tina semasa penamaan calon ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Sivaranjani Manickam selaku Setiausaha Agung PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari PSM, Nik Aziz Afiq selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Amira Aisya Abdul Aziz selaku Presiden MUDA dan ramai lagi.
Cikgu Tina, selaku calon tunggal PSM dalam PRN Negeri Sembilan 2026, berdepan dengan calon-calon daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam pertembungan empat penjuru.

4 orang calon yang bertanding untuk kerusi DUN N22 Rahang ialah: (mengikut urutan dalam kertas undi)
- Siau Meow Kong (DAP-PH) – Penyandang jawatan ADUN Rahang
- Tinagaran Subramaniam @ Cikgu Tina (PSM)
- Yap Siok Moy (MCA-BN)
- Tang Jay Son (BERSATU)
“Marilah kita gunakan tempoh kempen pilihan raya selama tempoh dua minggu ini untuk sebarkan idea-idea perjuangan sosialis kepada penduduk-penduduk di kawasan Rahang,” kata Cikgu Tina selepas menyelesaikan proses penamaan calon. “Kita harus berusaha untuk menyedarkan rakyat secara politik.”















Dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, seramai 103 orang calon bertanding untuk 36 kerusi DUN Negeri Sembilan. PH bertanding untuk semua 36 kerusi; BN bertanding untuk 25 kerusi; Perikatan Nasional (PN) pula bertanding untuk 11 kerusi yang tidal ditandingi BN. Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang diterajui oleh BERSATU bertanding untuk 24 kerusi; sementara Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) bertanding untuk satu kerusi sahaja. Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) yang bekerjasama dengan Blok Progresif juga meletakkan seorang calon di kawasan DUN N07 Jeram Padang. PSM juga bertanding untuk satu kerusi sahaja. Terdapat 4 orang calon bebas yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan 2026.
Sebanyak 11 kerusi DUN Negeri Sembilan menyaksikan pertandingan satu lawan satu; 21 kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru; 2 kerusi menyaksikan pertandingan empat penjuru; 2 kerusi lagi berlakunya pertandinfan lima penjuru.
Hari mengundi bagi PRN Negeri Sembilan kali ini jatuh pada 1 Ogos 2026. Seramai 889,490 orang layak untuk mengundi dalam PRN Negeri Sembilan 2026.
