
oleh Gandipan Nantha Gopalan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini diberikan autonomi penuh daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menguruskan dan mengagihkan sendiri perjawatan serta pelaksanaan elaun perpindahan.
Pelaksanaan elaun perpindahan untuk pegawai perubatan yang beralih ke jawatan tetap adalah langkah yang telah lama dinantikan. Ini akan membantu dalam meringankan beban kewangan berat yang ditanggung oleh pekerja barisan hadapan kita. Perkembangan ini membuktikan bahawa advokasi berterusan daripada petugas kesihatan dan masyarakat sivil membuahkan hasil ke arah perubahan positif untuk menangani halangan pentadbiran yang telah lama wujud dalam sistem kesihatan awam kita.
Namun, kemajuan pentadbiran mesti seiring dengan keadilan yang menyeluruh bagi seluruh tenaga kerja perkhidmatan kesihatan awam. Walaupun elaun perpindahan untuk doktor yang ditawarkan perjawatan merupakan langkah yang wajar dipuji, pengecualian petugas kesihatan kontrak yang turut menghadapi perpindahan ke lokasi baharu mewujudkan satu bentuk ketidakadilan yang tidak boleh diterima.
Semua pekerja kesihatan kontrak menghadapi kerentanan kewangan yang lebih besar dan ketidakjaminan pekerjaan. Namun, mereka juga sering dipindahkan ke negeri lain demi memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan kesihatan. Berdasarkan prinsip kerja yang sama berhak mendapat sokongan yang sama, PSM menyeru Kementerian Kesihatan untuk segera melanjutkan manfaat elaun perpindahan ini kepada semua kakitangan kontrak tanpa sebarang pengecualian.
Autonomi operasi Kementerian dalam menguruskan dan mengagihkan perjawatannya sendiri harus dijadikan batu loncatan ke arah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang bebas. Penubuhan suruhanjaya ini akan memberikan sektor kesihatan awam kebebasan struktur untuk menentukan hala tuju sendiri, melaksanakan struktur gaji yang lebih adil dan mewujudkan laluan kemajuan kerjaya yang telus.
Bagi mengelakkan suruhanjaya ini daripada sekadar menjadi satu lagi lapisan pentadbiran yang bersifat dari atas ke bawah, suruhanjaya ini mesti memastikan demokrasi tempat kerja yang aktif, dengan memberi tempat kepada doktor muda, jururawat dan kesatuan pekerja perkhidmatan kesihatan untuk terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan. Ini adalah untuk memastikan dasar yang digubal mencerminkan realiti di lapangan dan bukannya pengawasan birokrasi.
Ujung pangkalnya reformasi pentadbiran memerlukan komitmen fiskal yang besar. Bagi menghapuskan sistem kontrak yang bersifat eksploitatif secara menyeluruh, menangani masalah kekurangan tenaga kerja yang kritikal serta merapatkan jurang perkhidmatan kesihatan antara wilayah, Malaysia perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada sektor kesihatan awam melalui peruntukan yang dijamin oleh undang-undang.
Kesihatan ialah hak asasi dan bukannya sekadar beban kewangan. Pembiayaan awam yang kukuh amat diperlukan untuk menghentikan penghijrahan bakat dan menghalang keuntungan sektor swasta daripada terus menghakis keupayaan hospital-hospital awam.
PSM kekal komited untuk terus bekerjasama secara konstruktif dengan Kementerian Kesihatan dalam merealisasikan reformasi penting ini demi kesejahteraan pekerja perkhidmatan kesihatan awam kita dan rakyat jelata.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Kempen Selamatkan Sistem Perkhidmatan Awam.
Kempen Selamatkan Sistem Perkhidmatan Awam ialah sebuah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM). Tandatangani petisyen dalam talian untuk kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” di sini.
