Berikut ialah manifesto pilihan raya yang dikemukakan oleh Amir Syafiq Ameer Soekre, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi kawasan DUN N48 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.

1.Perumahan rakyat yang mampu milik

      Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan menuntut agar harga rumah adalah mampu milik dan bukan hanya mampu tengok, di samping mengawal kos sewa rumah supaya sekata dengan pendapatan orang biasa. 

        PSM juga akan membawa agenda menyediakan lebih banyak rumah transit bandar bagi keluarga muda dan golongan marhaen.

        Adalah dianggarkan bahawa terdapat 23,000 perkahwinan yang berlangsung di negeri Johor setiap tahun. Ini bererti Johor memerlukan 23,000 buah rumah mampu milik setiap tahun untuk keluarga-keluarga muda yang biasanya berpendapatan sederhana. Malangnya stok rumah murah di bandar semakin berkurangan oleh kerana pembaharuan bandar yang sedang berlangsung memusnahkan banyak rumah kos rendah yang sedia ada dan menggantikannya dengan pangsapuri mewah yang berharga tinggi.

        Syor-syor PSM berkaitan isu perumahan ialah:

        • Pembinaan lebih banyak rumah pangsa PPR untuk disewa kepada keluarga muda dan lapisan golongan marhaen;
        • Pengubahsuaian bangunan komersial yang tidak lagi dipakai, untuk mewujudkan pangsapuri yang boleh disewa kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah/sederhana;
        • Membaiki sistem penawaran rumah PPR dan rumah transit supaya proses ini lebih telus dan melibatkan masyarakat setempat untuk memastikan unit-unit rumah kos rendah tidak dibolot oleh mereka yang tidak layak tetapi berhubungan rapat dengan pihak berkuasa;
        • Penyelenggaraan rumah-rumah pangsa kos rendah, di mana JMB (Joint Management Body) gagal mengutip yuran yang mencukupi, harus diletak di bawah Majlis Perbandaran. Kerajaan Negeri harus memperuntukkan dana yang mencukupi untuk membolehkan majlis perbandaran melaksanakan tanggungjawab ini.

        2. Pembangunan seimbang dengan alam sekitar dan rakyat

        PSM menuntut agar tatacara pengendalian piawai (SOP) pengawalseliaan yang lebih kuat untuk kilang-kilang dan pusat-pusat data (data centre) supaya mereka tidak menyebabkan pencemaran alam sekitar. 

        PSM juga akan memastikan bahawa sungai di sekitar Skudai dijaga dengan rapi agar tidak mengakibatkan banjir.

        Malaysia memang mempunyai undang-undang yang mewajibkan penilaian impak projek pembangunan (Environmental Impact Assessment ataupun EIA) terhadap alam sekitar dan rakyat setempat. Laporan EIA perlu diterima oleh pihak berkuasa sebelum projek pembangunan tersebut diluluskan. Tetapi masalahnya adalah undang-undang yang sedia ada mempertanggungjawabkan pemaju projek untuk mengaturkan kajian EIA – iaitu pemaju sendiri yang melantik dan membayar pakar perunding EIA. Ini membawa kepada situasi di mana laporan EIA sangat berpihak kepada pemaju kerana matlamat pemaju dan pakar EIA adalah untuk mendapatkan kelulusan projek yang dicadangkan.

        Syor-syor PSM untuk mengatasi masalah ini ialah:

        • Kerajaan Negeri mesti mengambil alih pelantikan pakar perunding EIA. Kerajaan Negeri boleh mengenakan bayaran terhadap pemaju untuk penilaian EIA. Dana ini boleh diguna oleh pihak Kerajaan Negeri untuk memilih pakar EIA untuk menjalani penilaian yang lebih objektif;
        • Impak projek pembangunan terhadap sungai dan risiko banjir harus diambil berat. Penukaran guna tanah daripada hutan/pertanian kepada perumahan/kilang akan meningkatkan kadar “surface-runoff”. Selain itu, projek-projek pembangunan juga menyebabkan hakisan tanah dan seterusnya pemendapan sungai. Perkara-perkara ini harus dikaji secara mendalam dan jujur untuk menggubal strategi yang boleh mengatasi masalah-masalah ini, umpamanya – mewujudkan jadual membersihkan sungai untuk mengeluarkan pasir, pengwujudan kolam-kolam takungan air di kawasan hulu sungai, menggunakan padang permainan dan kawasan letak kereta sebagai kolam takungan air sementara, dan sebagainya.
        • Adalah diwajibkan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa untuk mengadakan Pendengaran Awam sebelum pelan pembangunan wilayah diluluskan. Peruntukan ini harus diperketatkan dengan mewajibkan pameran komen dan maklum balas rakyat di laman sesawang Majlis Perbandaran bersama respons Majlis terhadap kerisauan rakyat.
        • Kerajaan Negeri harus memperkasakan sistem pengangkutan awam yang berasaskan bas elektrik. 

        3. Peluang bekerja untuk kaum muda

        Masalah pokok bagi isu pengangguran dalam kalangan graduan adalah ekonomi negara gagal menjana kerja teknikal-profesional yang mencukupi untuk jumlah graduan yang memasuki pasaran kerja setiap tahun. Bilangan graduan baharu adalah 200,000 orang setahun, manakala hanya 50,000 jawatan teknikal-profesional yang baharu dijana setiap tahun.

        Syor-syor PSM untuk isu peluang bekerja ialah, Malaysia harus:

        • Menggalakkan pengwujudan lebih banyak kilang yang berdasarkan teknologi kita sendiri. Bas elektrik, umpamanya, harus dibina di negara kita sendiri;
        • Menambahkan jawatan dalam bidang “ekonomi penjagaan” (care economy), umpamanya lebih ramai pekerja kebajikan untuk bekerja bersama remaja di kawasan perumahan flat supaya mewujudkan program dan ativiti yang sihat untuk remaja setempat;
        • Menggalakkan pembangunan industri hijau, seperti penjanaan kuasa elektrik daripada panel suria, pengitaran semula sisa pembuangan rumah tangga, pemulihan sungai dan hutan.

        Leave a Reply

        Your email address will not be published. Required fields are marked *