SKUDAI, JOHOR – 25 JUN 2026: Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 dengan meletakkan seorang calon. Amir Syafiq Ameer Soekre akan bertanding sebagai calon PSM untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N48 Skudai.

Pengumuman ini dibuat dalam satu sidang media khas yang diadakan di Bilik Gerakan PSM di Skudai pada hari ini. Turut hadir dalam sidang media ini ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Bawani KS selaku Timbalan Setiausaha Agung PSM, Nik Aziz Afiq Abdul selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Chong Yee Shan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Nur Amirah Binti Shaharum selaku Penyelaras Negeri Johor Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Rashifa AlJunied yang merupakan bakal calon MUDA untuk kerusi DUN N41 Puteri Wangsa dan Premanand yang bakal bertanding sebagai calon MUDA di kawasan DUN N51 Bukit Batu.

Amir Syafiq ialah Setiausaha PSM Johor. Beliau juga merupakan seorang aktivis buruh yang pernah mengendalikan pelbagai kes pekerja, seperti pemberhentian kerja secara tidak sah dan tuntutan bayaran upah kerja lebih masa yang tidak dibayar. Seorang graduan yang memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan perniagaan antarabangsa di Universiti Teeside di UK, Amir Syafiq mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang jualan dan pemasaran, di samping bergiat secara sukarela dalam aktivisme sosial.

Amir Syafiq berkata bahawa dia akan memfokus pada mengetengahkan isu-isu rakyat setempat yang diabaikan oleh golongan elit atasan selama ini, termasuk pengangkutan, perumahan, hak pekerja dan kesejahteraan rakyat bawahan.

PSM bertanding dalam PRN Johor kali ini dengan membentuk Blok Progresif bersama MUDA. Blok Progresif ini juga akan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan yang bakal diadakan selepas PRN Johor. MUDA akan bertanding untuk 4 kerusi DUN di Johor, iaitu N13 Simpang Jeram, N15 Maharani, N41 Puteri Wangsa dan N51 Bukit Batu. Blok Progresif yang dibentuk antara PSM dan MUDA berhasrat untuk menawarkan nafas baharu kepada politik negara kita yang tepu dengan pengapi-apian sentimen perkauman dan perebutan kuasa dalam kalangan elit politik tanpa mempedulikan nasib rakyat biasa. Blok Progresif akan mengetengahkan isu-isu asas yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat, seperti penyelesaian kepada masalah kos sara hidup yang semakin hari semakin membebankan, penciptaan pekerjaan berkualiti, perumahan mampu milik dan reformasi institusi, sepanjang kempen PRN Johor.

PRN Johor dipanggil selepas DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun 2026. Pembubaran DUN Johor dibuat kira-kira 10 bulan lebih awal daripada tamat tempohnya kerana perbalahan antara parti-parti politik arus perdana yang membentuk Kerajaan Perpaduan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun 2022. Hari penamaan calon telah ditetapkan pada 27 Jun 2026, dan hari pengundian jatuh pada 11 Julai 2026. Sebanyak 56 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam PRN Johor yang ke-16 ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *