KUALA LUMPUR – 18 JUN 2026: Seorang peminjam wang yang masih dituntut bayaran walaupun sudah habis membayar pinjaman, ditangkap oleh polis semasa dia bersama keluarganya berprotes di hadapan ibu pejabat Public Bank pada hari ini.

Tilainathan a/l Munisamy ialah seorang pemilik kedai percetakan di Sungai Petani, Kedah. Menurut Tilainathan, dia telah mendapat kelulusan daripada pihak Public Bank untuk menstruktur semula pinjamannya pada bulan November 2020, dengan wang sejumlah RM256,000 perlu dibayar untuk mendapatkan geran bagi kedainya.

Tilainathan telah menyelesaikan semua bayaran yang dipersetujui dengan bank itu pada bulan Disember 2024. Namun, apabila Tilainathan hadir ke cawangan Public Bank di Sungai Petani untuk meminta penyerahan geran kedainya, dia dimaklumkan bahawa masih terdapat bayaran yang perlu dijelaskan sebelum geran itu dapat dilepaskan. Tilainathan cuba meminta penjelasan daripada pihak bank mengenai bayaran yang didakwa masih tertunggak itu, namun pihak bank gagal memberikan penerangan yang jelas dan hanya mengatakan bahawa bayaran itu berkaitan dengan insurans, tetapi tidak menyatakan jumlah atau tempoh yang terlibat. Pada 21 Mei 2025, pihak bank memaklumkan Tilainathan bahawa terdapat bayaran insurans yang perlu diselesaikan. Sejak itu, Tilainathan telah pergi berjumpa dengan pihak bank di Sungai Petani beberapa kali untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu. Namun, setiap kali berjumpa dengan pihak bank, Tilainathan hanya diberitahu bahawa masih terdapat bayaran yang perlu dibuat tanpa penjelasan yang jelas dan konsisten.

Oleh sebab tidak dapat lagi menanggung tekanan yang berterusan daripada pihak bank, Tilainathan sendiri pergi ke ibu pejabat Public Bank di Kuala Lumpur untuk mengetengahkan masalahnya. Namun, pegawai bank di ibu pejabat Public Bank enggan mengendalikan aduan daripada Tilainathan, dan memberitahu bahawa dia perlu berurusan dengan cawangan bank di Sungai Petani, sedangkan Tilainathan telah berbuat demikian beberapa kali sepanjang tempoh setahun yang lalu.

Memandangkan ibu pejabat Public Bank langsung tidak mempedulikan aduan Tilainathan, dia datang sekali lagi bersama keluarganya pada hari ini untuk berpiket di hadapan ibu pejabat Public Bank. Turut hadir bersolidariti bersamanya ialah M. Sarasvathy, mantan Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan juga beberapa orang aktivis PSM.

Namun, permintaan Tilainathan untuk bertemu dengan pegawai atasan Public Bank untuk membincangkan masalahnya langsung tidak dipedulikan, sebaliknya dia ditangkap oleh polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. M. Sarasvathy telah ikut bersama Tilainathan ke IPD Dang Wangi.

“Tilainathan ialah seorang peminjam wang dan pelanggan bank yang hanya mahu berjumpa dengan pihak pengurusan atasan bank untuk menyelesaikan masalahnya, tetapi pihak bank bersikap angkuh dan mengerahkan lebih 20 orang polis bantuan untuk menghalangnya,” kata M. Sarasvathy. “Tindakan ini bagaikan Ah Long. Bank mempunyai tanggungjawabnya untuk melindungi hak rakyat, bukannya membuli rakyat biasa.”

“Seorang pelanggan mempunyai masalah dan meminta penyelesaian. Pihak bank tidak patut mencuci tangan daripada masalah ini begitu sahaja,” ulas Sarasvathy. “Pihak Public Bank harus menghentikan intimidasi sebegini.”

**********

(Kemas kini 19 Jun 2026, jam 1.05 am: Tilainathan telah dibebaskan selepas ditahan oleh polis selama 8 jam.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *