
oleh A. Sivarajan
Hari ini (18 Jun 2026), kita kehilangan seorang pejuang yang tidak pernah penat berjuang untuk rakyat marhaen. Beliau ialah komrad Sugumaran Muniandy, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah dan Kedai PJS 1. Seorang bekas anak pekerja lombong timah Petaling Tin di Petaling Utama, beliau juga seorang penggiat kesatuan sekerja yang pernah bertanding untuk jawatan dalam kesatuan sekerja di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Saya mengenali beliau sejak tahun 2010, apabila isu perobohan rumah panjang PJS 1 dan projek terbengkalai pangsapuri Blok E dibawa kepada perhatian PSM. Sepanjang 16 tahun ini, Sugu sangat komited dalam perjuangan untuk rumah kos rendah PJS 1, walaupun beliau tidak mempunyai rumah di projek tersebut dan beliau hanyalah penjamin kepada ahli keluarga di situ.
Saya memang mengagumi Sugu, kerana beliau tidak takut untuk berurusan dengan mana-mana pegawai kerajaan, termasuk Menteri Besar Selangor.
Kegigihannya serta keikhlasannya untuk berjuang, akhirnya membuahkan hasil dengan terbinanya pangsapuri baharu Rima Riang di PJS 1.
Komrad Sugu, selamat jalan, suaramu tidak lagi akan berkumandang dalam mesyuarat kami, tetapi semangat perjuanganmu sentiasa diingati. Selamat berehat saudaraku.
==========
A. Sivarajan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
