oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Pihak kami, iaitu PSM, MUDA dan beberapa buah kumpulan lagi, berpendapat bahawa usaha mereformasikan institusi-institusi negara tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan selepas tahun 2018 kerana Pakatan Harapan tidak mengambil masa terlebih dahulu untuk menyediakan pelan tindakan yang menyeluruh. Kita semua, pada masa itu, menganggap perubahan adalah begitu senang, dan jika kita dapat menumbangkan kerajaan yang korup, semua masalah termasuk rasuah, akan diselesaikan secara mudah.

Tetapi hakikatnya adalah sangat berbeza. Jika tiada pelan yang menyeluruh sebelum mengambil alih Kementerian-kementerian kerajaan, pihak baharu akan dipengaruhi (hijack) oleh “momentum” sistem yang wujud sebelum peralihan kuasa, dan sistem lama akan berjaya mengkekalkan dirinya. Ini yang telah berlaku dengan Pakatan Harapan dan mereka sekarang adalah tersangkut dalam sistem yang hampir sama dengan sistem yang dipimpin oleh Barisan Nasional sebelum tahun 2018.

Oleh kerana ini, kami, pihak yang berhasrat untuk membina sebuah gabungan progresif baharu supaya memberi pilihan yang bermakna kepada pengundi Malaysia, bercadang untuk mengadakan satu siri perbincangan mengenai beberapa isu pokok di negara kita supaya menggubal satu pelan tindakan yang menyeluruh untuk membantu kita dalam membersihkan dan merakyatkan pentadbiran negara.

Antara tajuk yang akan difokus dalam usaha ini adalah termasuk:

  • Strategi mengatasi rasuah dan ketirisan wang rakyat;
  • Menangani darurat iklim;
  • Penjanaan peluang pekerjaan untuk semua;
  • Memupuk keharmonian antara kumpulan-kumpulan etnik;
  • Pengendalian hutang negara demi meningkatkan hasil kerajaan. 

Senarai ini akan bertambah dan mungkin berubah bergantung pada maklum balas daripada pihak-pihak yang mengambil bahagian dalam siri diskusi ini.

Proses perbincangan ini telah bermula pada 13 Jun 2026, dengan sesi perbincangan meja bulat mengenai strategi mengatasi rasuah dan ketirisan wang rakyat, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dengan penglibatan 41 orang daripada Parti MUDA, PSM, Parti Orang Asli dan PRM, serta beberapa buah NGO. Sesi ini bermula dengan pembentangan dua orang dengan kepakaran dalam bidang ini, En. Pushpan Murugiah, bekas CEO C4, dan Cik Ngeow Chow Ying daripada Projek SAMA. Mereka membentangkan kesan rasuah dan ketirisan wang rakyat terhadap masyarakat dan ekonomi negara. Setelah itu, sesi perbincangan meja bulat telah berlangsung dan para hadirin menyumbang pandangan/syor-syor mereka.

Nota-nota berkaitan perbincangan ini akan dikirim kepada semua peserta supaya mereka dapat berbincang dengan kumpulan mereka masing-masing.

Kami akan menetapkan tarikh sesi perbincangan meja bulat selanjutnya selepas Pilihan Raya Negeri di Johor dan Negeri Sembilan selesai.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *