PUTRAJAYA – 12 JUN 2026: Laungan slogan yang lantang seperti “Kita tuntut tanah adat!”, “Hidup! Hidup! Orang Asli!”, “Hidup rakyat!”, “Suara rakyat, suara keramat!” dan sebagainya kedengaran di pusat pentadbiran negara kita hari ini apabila lebih 1,000 orang berprotes di hadapan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. Peserta-peserta aksi protes yang terdiri daripada anggota-anggota masyarakat Orang Asli pelbagai suku kaum di Semenanjung Malaysia mendesak kerajaan supaya mengiktiraf hak tanah adat masyarakat Orang Asli dan menghentikan perampasan tanah adat Orang Asli di seluruh negara.

Baru-baru ini, berlakunya insiden perobohan rumah kediaman masyarakat Orang Asli suku Jakun oleh sebuah syarikat perladangan di Kampung Sungai Baru yang terletak di daerah Pekan, Pahang, pada 4 Mei 2026. Perobohan rumah tanpa notis itu bukannya insiden yang terasing, tetapi merupakan salah satu contoh ancaman yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli di seluruh Malaysia. Komuniti-komuniti Orang Asli sering menghadapi ancaman terhadap wilayah tanah adat dan kehidupan mereka apabila pihak-pihak luar memasuki kawasan mereka untuk melakukan aktiviti mengaut keuntungan seperti pembalakan, perlombongan, perladangan dan pembinaan tanpa mempedulikan kelangsungan hidup komuniti Orang Asli yang sedia ada.

Aksi protes yang dianjurkan oleh Gabungan NGO Orang Asli Semenanjung Malaysia ini telah disertai oleh komuniti-komuniti Orang Asli daripada 19 suku kaum dari pelbagai tempat. Aksi protes di Putrajaya pada hari ini juga disokong oleh organisasi masyarakat sivil seperti Greenpeace Malaysia dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA). Turut hadir bersolidariti bersama masyarakat Orang Asli ialah aktivis-aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk Sivaranjani Manickam selaku Setiausaha Agung PSM.

Sebuah memorandum telah diserahkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. Antara tuntutan yang dikemukakan oleh masyarakat Orang Asli kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ialah:

  • Mengiktiraf hak tanah adat masyarakat Orang Asli;
  • Hentikan perobohan rumah kediaman masyarakat Orang Asli;
  • Melucutkan jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Aksi protes ini merupakan demonstrasi kebangkitan kuasa masyarakat Orang Asli untuk memperjuangkan hak tanah adat dan menentang penindasan terhadap mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *