Berikut ialah kenyataan bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengenai Pilihan Raya Negeri Johor.
- MUDA dan PSM mengambil maklum pembubaran Dewan Negeri Johor dan menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengumumkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri Johor secepat mungkin.
2. Pengumuman awal adalah penting bagi membolehkan rakyat, parti-parti politik, petugas pilihan raya serta pihak berkepentingan membuat perancangan yang sewajarnya menjelang proses demokrasi yang bakal berlangsung.
3.Pilihan raya bukan sekadar pertandingan antara parti politik. Ia adalah proses demokrasi yang melibatkan jutaan rakyat. Oleh itu, setiap keputusan pentadbiran pilihan raya perlu dibuat dengan mengambil kira kemudahan dan penyertaan rakyat sebagai keutamaan.
4. MUDA dan PSM juga menggesa SPR untuk menetapkan tempoh berkempen yang munasabah dan tidak kurang daripada 14 hari.
5. Tempoh berkempen yang mencukupi penting bagi memastikan semua calon dan parti politik mempunyai peluang yang adil untuk bertemu pengundi, membentangkan dasar serta membolehkan rakyat membuat keputusan yang bermaklumat.
6. Tempoh berkempen yang terlalu singkat hanya akan memberi kelebihan kepada parti-parti yang mempunyai sumber dan jentera yang lebih besar, sekali gus mengehadkan ruang demokrasi yang sihat.
7. Dalam masa yang sama, MUDA dan PSM menyeru SPR untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi memudahkan rakyat Johor yang berada di luar negara melaksanakan hak mengundi mereka.
8. Ramai rakyat Johor bekerja, belajar dan menetap di luar negara, termasuk sejumlah besar rakyat Johor yang bekerja di Singapura. Mereka menyumbang kepada ekonomi negara dan negeri serta berhak mendapat akses yang lebih mudah untuk menyertai proses demokrasi.
9. Sehubungan itu, MUDA dan PSM menggesa SPR mempertimbangkan pembukaan pusat atau saluran pengundian di kedutaan dan perwakilan Malaysia di luar negara, termasuk di Singapura, bagi memudahkan rakyat Malaysia yang layak mengundi.
10. Demokrasi yang matang bukan sahaja memastikan pilihan raya dijalankan dengan bebas dan adil, tetapi juga memastikan setiap rakyat mempunyai peluang yang munasabah untuk menunaikan hak mengundi mereka.
11. MUDA dan PSM percaya bahawa kadar penyertaan pengundi yang tinggi akan memperkukuhkan legitimasi keputusan pilihan raya serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi negara.
12. Pada akhirnya, kejayaan sesuatu pilihan raya tidak diukur hanya melalui kelancaran proses pengundian, tetapi juga sejauh mana rakyat diberikan peluang yang adil dan mencukupi untuk mengambil bahagian dalam menentukan masa depan negeri dan negara
