oleh Cheong Huei Ting dan Gandipan Nantha Gopalan
PSM Petaling Jaya mengecam sekeras-kerasnya tindakan menyekat akses sistem MyKhas terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen. Sekatan tanpa sebarang makluman atau penjelasan rasmi ini merupakan satu bentuk salah guna kuasa, di mana peruntukan kebajikan rakyat dijadikan sebagai alat politik untuk menundukkan suara yang berbeza pandangan.
Akses Lee Chean Chung kepada sistem MyKhas dilaporkan telah disekat sejak 29 Mei 2026, manakala Wong Chen pula menghadapi situasi yang sama sejak 22 Mei 2026. Kehilangan akses ini secara langsung melumpuhkan pengurusan peruntukan kawasan, bantuan kebajikan, dan pembangunan infrastruktur setempat. Tindakan menghukum wakil rakyat yang kritikal ini menghantar mesej berbahaya kepada masyarakat: sesiapa yang tidak akur dengan keputusan kerajaan akan menerima padahnya.
Sekiranya kerajaan Pakatan Harapan hari ini benar-benar menjulang semangat ‘Reformasi’, mereka wajib meninggalkan taktik lapuk rejim lama yang gemar menggunakan ugutan untuk menentang kritikan dan mensabotaj kerjaya politik pihak lain.
Kerajaan perlu sedar bahawa mangsa sebenar dalam permainan politik ini ialah rakyat biasa. Sekatan ini menjejaskan kelancaran Projek Mesra Rakyat (PMR) serta bantuan lain yang amat diperlukan oleh komuniti setempat untuk berdepan dengan realiti ekonomi yang mencabar hari ini. Pembinaan negara yang maju memerlukan pengagihan sumber awam dan infrastruktur yang adil, bukannya sekatan yang membebankan rakyat di peringkat akar umbi.
PSM Petaling Jaya mendesak agar kerajaan mengembalikan semula akses sistem MyKhas kepada Ahli-ahli Parlimen yang terjejas dengan serta-merta. Isu ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi soal ketelusan dan maruah demokrasi negara. Kerajaan Persekutuan perlu berhenti menggunakan dana awam sebagai senjata politik dan memberikan penjelasan yang jujur dan telus kepada seluruh rakyat Malaysia.
==========
Cheong Huei Ting ialah Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Petaling Jaya. Gandipan Nantha Gopalan ialah Pengerusi PSM Petaling Jaya.
