oleh Bawani KS

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Perak memandang serius kejadian bumbung bocor di Hospital Kampar sehingga jururawat terpaksa menggunakan payung untuk melindungi pesakit di dalam wad.

Kejadian yang berlaku pada 24 Mei 2026 ini amat merunsingkan dan menunjukkan kelemahan serius dalam pengurusan sistem kesihatan awam negara.

Hospital ialah tempat untuk rakyat mendapatkan rawatan dan perlindungan kesihatan, bukannya tempat yang membahayakan keselamatan pesakit serta petugas kesihatan.

Lebih membimbangkan, menurut laporan media, kebocoran serius turut berlaku di Unit Kecemasan dan Trauma sehingga menjejaskan operasi rawatan di beberapa lokasi hospital dan ini bukan isu kecil atau terpencil.

Insiden tersebut mencerminkan keadaan sebenar sistem kesihatan awam negara yang semakin uzur dan gagal diberikan perhatian sewajarnya walaupun kerajaan sering melaungkan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat.

Persoalannya, bagaimana pengurusan infrastruktur hospital boleh menjadi begitu lemah sehingga bumbung hospital bocor dengan teruk?

Adakah kerja penyelenggaraan dilakukan secara berkala? Adakah peruntukan penyelenggaraan tidak mencukupi atau berlaku kelemahan dalam pengurusan dan pemantauan?

Wayang politik?

PSM Perak juga ingin mempersoalkan status rancangan pembinaan hospital baharu Kampar di Changkat Baru yang pernah diumumkan oleh EXCO Perak A Sivanesan, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak. Pada tahun 2023, EXCO Perak tersebut menyatakan bahawa kawasan seluas 11.72 hektar di Changkat Baru telah dikenal pasti sebagai tapak baharu pembinaan hospital baharu di Kampar untuk menggantikan hospital sedia ada.

Sudah hampir tiga tahun berlalu sejak pengumuman dibuat, namun sehingga hari ini tiada perkembangan jelas, tiada garis masa pelaksanaan dan tiada maklumat telus diberikan kepada rakyat Kampar.

Adakah pengumuman tersebut sekadar wayang politik untuk meraih sokongan rakyat?

Penduduk Kampar berhak mendapat penjelasan yang jujur dan telus daripada Kerajaan Negeri Perak serta Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai status sebenar projek tersebut.

Realiti sistem kesihatan awam

Kerajaan MADANI yang memimpin hari ini kononnya membawa reformasi dan pembaharuan, tetapi realitinya sistem kesihatan awam masih berada dalam keadaan lemah.

Hospital mengalami masalah infrastruktur, kekurangan kakitangan, tekanan kerja melampau dan kemudahan yang tidak mencukupi.

Jururawat dan petugas kesihatan terpaksa bekerja dalam keadaan yang tidak selamat dan tidak bermaruah.

PSM mendesak agar:

  1. Siasatan menyeluruh dilakukan terhadap kelemahan pengurusan dan penyelenggaraan Hospital Kampar.
  2. Kerajaan segera mengumumkan status sebenar projek hospital baharu Kampar di Changkat Baru berserta garis masa yang jelas.
  3. Peruntukan tambahan diberikan untuk membaik pulih hospital-hospital awam yang uzur di seluruh negara.
  4. KKM menghentikan budaya pengumuman politik tanpa pelaksanaan yang nyata.

Rakyat membayar cukai untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti. Kerajaan tidak boleh terus gagal dalam tanggungjawab asas ini.

==========

Bawani KS ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi PSM Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *