
oleh Cecilia Anthonysamy
Maran ialah sebuah daerah di kawasan pedalaman di bahagian tengah negeri Pahang, dengan keluasan 1,995 km persegi dan jumlah penduduk 119,900 orang pada tahun 2025.
Projek pembinaan Hospital Maran pada asalnya diluluskan dalam rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020) dengan kos RM150 juta. Projek ini diberhentikan pada tahun 2019. Ia diluluskan semula dalam Belanjawan 2023 (di bawah RMK13) dengan kos RM350 juta.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib pernah berkata bahawa Hospital Maran akan menjadi pusat sehenti bagi kajian penyakit berjangkit pertama di Pantai Timur.
Namun kini, oleh kerana krisis minyak dan pemotongan belanjawan kesihatan, Kementerian Kesihatan sekali lagi memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan Hospital Maran.
Klinik Kesihatan Maran yang didirikan pada tahun 1963, menerima purata 289 orang pesakit sehari dan menawarkan rawatan primer. Klinik ini mempunyai perkhidmatan Pakar Perubatan Keluarga. Pusat Hemodialisis Maran sekarang mula beroperasi pada 16 April 2026.
Namun, terdapat rungutan tentang klinik sesak dan kesulitan apabila pesakit tenat perlu rawatan kecemasan di luar waktu pejabat.
Rakyat daerah Maran amat memerlukan perkhidmatan rawatan di Hospital Berpakar.
Jarak perjalanan dari Maran ke hospital terdekat, iaitu Hospital Jengka, adalah sejauh 41.6 km, dan mengambil masa kira-kira 40 minit. Bagaimanapun, Hospital Jengka tidak menawarkan perkhidmatan pakar sendiri di dalam hospital. Pakar dari Hospital Temerloh hanya datang melawat Hospital Jengka secara berkala pada hari-hari tertentu.
Pada masa ini, hanya Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh dan Hospital Lipis dikategorikan sebagai hospital berpakar di Pahang.
Hospital berpakar yang terdekat dari Maran ialah Hospital Temerloh yang terletak sejauh 64 km. Pesakit terpaksa menempuh lebih kurang satu jam perjalanan ke Temerloh.
Isu Kadar Penggunaan Katil (BOR) dilaporkan, iaitu 57% Hospital Jengka dan 63% di Hospital Temerloh, tidak begitu relevan dalam pertimbangan keperluan sebuah hospital di Maran.
Masalah yang dihadapi oleh rakyat adalah hospital terletak jauh. Perlu mengambil masa 40 minit untuk pergi ke hospital tidak berpakar, sementara ia mengambil masa 60 minit untuk pergi hospital berpakar.
Ini menjejaskan kualiti rawatan lanjut yang diperlukan apabila pesakit dalam keadaan tenat atau penyakit bertambah teruk.
Populasi Malaysia dijangka mencecah 40 juta orang pada tahun 2030. Warga emas dijangka berganda sehingga mencapai 15% daripada populasi. Adalah dijangka bahawa di kawasan luar bandar seperti Maran, populasi warga emas akan meningkat. Jadi, Hospital Berpakar amat diperlukan.
Rakyat berhak mendapatkan perkhidmatan pakar di hospital berdekatan dan bukan satu jam jauh perjalanannya. Pasti ini ialah tujuan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengemukakan rancangan pembinaan Hospital Maran selama ini.
Pembinaan hospital di Maran adalah satu keperluan untuk akses rawatan yang berkualiti, dan perlu diberi keutamaan demi rakyat.
Kerajaan harus membatalkan projek mewah lain, bukannya projek yang berkepentingan untuk rakyat.
Kerajaan harus memperkenalkan cukai kekayaan dan cukai pewarisan harta untuk memastikan tanggungjawab fiskal ditanggung secara adil oleh mereka yang mempunyai keupayaan terbesar untuk menyumbang kepada negara. Selain itu, cukai keuntungan modal juga harus diperluaskan untuk merangkumi saham tersenarai, dan cukai korporat untuk syarikat gergasi perlu ditingkatkan.
Utamakan hospital awam untuk rakyat!
==========
Cecilia Anthonysamy ialah Ahli Jawatankuasa Kempen Selamatkan Kesihatan Awam, inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM).
