
KUALA LUMPUR – 1 MEI 2026: Jalanan ibu negara dimeriahkan dengan sepanduk-sepanduk berwarna-warni dan laungan slogan-slogan perjuangan pekerja pada hari ini apabila rakyat pelbagai lapisan mengambil bahagian dalam aksi sambutan Hari Pekerja Sedunia.
Kira-kira 1,000 orang menyertai aksi sambutan Hari Pekerja tahun ini yang bertemakan “Pekerja Bersatu – Tolak Perang, Lawan Rasuah”. Tema ini bertepatan masa dengan perjuangan pekerja di seluruh dunia untuk menentang peperangan imperialis yang meragut nyawa rakyat pekerja di negara-negara yang terkesan langsung daripada peperangan dan menyusahkan kehidupan masyarakat di merata tempat. Pekerja-pekerja juga menentang amalan rasuah yang merosakkan negara dan menjejaskan kepentingan rakyat biasa.
Peserta-peserta sambutan Hari Pekerja berhimpun di hadapan Masjid Negara pada waktu petang sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka. Wakil-wakil daripada organisasi masyarakat sivil, pertubuhan pekerja, kumpulan anak muda, Masyarakat Orang Asli dan sebagainya telah menyampaikan ucapan dalam perhimpunan yang penuh bermakna ini.

Deklarasi 1 Mei yang dikemukakan dalam aksi sambutan Hari Pekerja tahun ini mengetengahkan 12 kategori tuntutan rakyat, iaitu memperkukuhkan perpaduan masyarakat, menolak perang imperialis, menentang rasuah, menegakkan hak pekerja, mempertahankan sistem kesihatan, menjamin hak perumahan, melindungi hak pekerja migran, keterjaminan makanan, menegakkan hak asasi manusia, mengiktiraf hak tanah adat masyarakat Orang Asli, memelihara alam sekitar, dan melindungi pekerja daripada kesan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Deklarasi 1 Mei tahun ini disokong oleh 63 buah organisasi, termasuk Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Gabungan Marhaen, GEGAR, Greenpeace Malaysia, Liga Mahasiswa Malaysia, MANDIRI, Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan banyak lagi.
Aksi sambutan Hari Pekerja anjuran Jawatankuasa 1 Mei ini merupakan acara tahunan untuk mengetengahkan tuntutan-tuntutan semasa rakyat marhaen yang diadakan sejak tahun 1994. Jawatankuasa yang menganjurkan aksi sambutan Hari Pekerja pada tahun 1994 kemudiannya mengasaskan Parti Sosialis Malaysia (PSM).







































