oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam tindakan kerajaan yang mengharamkan dua buah buku memoir sejarah bukan fiksyen, iaitu Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.

Larangan ini adalah membingungkan, kerana buku-buku ini telah diedarkan untuk sekurang-kurangnya setengah dekad tanpa masalah. Tindakan sebegini berkemungkinan membawa kesan yang bertentangan, kerana ia hanya akan meningkatkan rasa ingin tahu orang ramai dan menggalakkan lebih ramai orang, terutamanya anak muda, untuk membaca mengenai dua orang tokoh ini.

Tambahan pula, dengan pemergian Syed Husin Ali, nampaknya sudah tiada lagi suara progresif yang kuat untuk menasihati Perdana Menteri tentang kepentingan sumbangan golongan kiri kepada sejarah Malaysia, terutamanya dalam perjuangan untuk kemerdekaan.

Banyak memoir oleh bekas pemimpin komunis termasuk Chin Peng, Suriani, Abdullah CD, Rashid Maidin, Abu Samah dan sebagainya telah diterbitkan selama ini tanpa larangan. Karya-karya ini memberikan perspektif penting mengenai perjuangan anti-penjajah dan membentuk sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada sejarah negara kita.

Perlu diingatkan kembali bahawa apabila Tunku Abdul Rahman mengisytihar kemerdekaan pada tahun 1957, beliau mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh gerakan kiri dalam mempercepatkan proses kemerdekaan. Jadi, mengapa pula pada zaman ini, di bawah apa yang digambarkan sebagai pentadbiran progresif yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim, buku-buku sebegini boleh diharamkan?

Anwar perlu diingatkan bahawa dua jalur merah dalam bendera PKR itu melambangkan prinsip-prinsip asas progresif parti itu yang sekarang ini nampaknya sudah dipinggirkan.  

Tindakan ini hanya menunjukkan bahawa kerajaan mahu kita memfokus kepada perkara-perkara lain, mengalihkan perhatian kita daripada masalah yang lebih mendesak di negara kita.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *