
oleh Gandipan Nantha Gopalan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) Petaling Jaya mengecam sekeras-kerasnya sikap membuli pihak atasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ketidakpedulian pihak pengurusan Universiti Malaya (UM) berhubung dakwaan pendedahan radiasi berbahaya di Unit Perubatan Nuklear.
Laporan mengenai kluster penyakit kronik, termasuk tiga (3) kes kanser tahap 4 dan empat (4) kes penyakit tiroid adalah tanda amaran merah terhadap kegagalan sistem keselamatan di tempat kerja.
PSM Petaling Jaya telah menerima maklumat bahawa kakitangan yang cuba membangkitkan isu keselamatan ini bukan sahaja berhadapan dengan penafian, malah telah ditengking secara kasar oleh Ketua Jabatan dan Pegawai Perlindungan Sinaran (RPO) sewaktu sesi perbincangan.
Ia sangat tidak profesional apabila seorang ketua jabatan menggunakan kedudukannya untuk membuli dan menindas pekerja yang hanya mahu memastikan keselamatan tempat kerja mereka terjamin. Tindakan menengking pekerja yang sedang sakit dan ketakutan adalah satu bentuk pencabulan maruah yang tidak boleh dimaafkan.
Selain itu, pekerja dan PSM juga mempunyai keraguan terhadap integriti siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Kawalan Radiasi Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kami mempersoalkan sama ada siasatan tersebut benar-benar telus atau sekadar prosedur “cuci tangan” bagi melindungi imej sesama agensi kerajaan. Apabila kluster penyakit sudah jelas wujud tetapi siasatan seolah-olah tidak membawa kepada sebarang tindakan drastik, maka wajarlah integriti pihak pengawal selia ini dipersoalkan.
Bukan sahaja pekerja, malah badan pelajar termasuk Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) telah pun membangkitkan isu ini secara rasmi. Namun, sehingga kini, tiada sebarang maklum balas yang telus. Pihak universiti nampaknya lebih gemar memelihara “imej korporat” daripada memelihara nyawa warga kampusnya sendiri.
Kami mendesak tindakan tegas dan segera daripada pihak kerajaan kerana institusi ini nampaknya gagal untuk menyiasat diri mereka sendiri secara jujur:
- Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu mencampur tangan serta-merta bagi menyiasat tentang mengapa aduan pekerja dinafikan oleh Ketua Jabatan. Tubuhkan pasukan penyiasat yang tidak melibatkan Bahagian Kawalan Radiasi Perubatan KKM atau pegawai UM.
- Ketua Jabatan dan RPO yang didakwa membuli dan menengking pekerja mesti disiasat oleh kementerian yang bertanggungjawab.
PSM akan terus berdiri teguh bersama pekerja dan mahasiswa sehingga keadilan ditegakkan. Nyawa pekerja tidak boleh dikompromikan demi menutup kelemahan pengurusan.
===========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Pengerusi PSM Petaling Jaya.
