(foto: EqualStock IN, Pexels)

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Pada 29 Mac 2026, akhbar The Star menerbitkan sebuah rencana dengan tajuk “How to create jobs for the world’s 1.2 billion new workers” (bagaimana menjana pekerjaan untuk 1.2 bilion orang pekerja baharu). Menurut penulis rencana ini, Ajaypal Banga, yang merupakan Presiden Bank Dunia pada masa ini, dalam tempoh 15 tahun akan datang, 1.2 bilion orang anak muda dari negara-negara sedang membangun akan mencapai umur bekerja. Namun, negara-negara sedang membangun hanya dijangkakan akan mewujudkan kira-kira 400 juta pekerjaan baharu dalam tempoh masa yang sama, maka membawa kepada kadar pengangguran yang tinggi di negara-negara sedang membangun (di mana pengangguran sudah terlalu tinggi di banyak negara).

En. Banga kemudiannya merangka langkah-langkah yang patut diambil oleh negara-negara sedang membangun untuk menangani masalah ini. Mewujudkan persekitaran yang mesra perniagaan ialah teras strateginya. “Peraturan yang jelas dan regulasi yang boleh diramal mengurangkan ketidaktentuan,” tulis Banga. “Pekerjaan diwujudkan apabila usahawan dan syarikat mempunyai keyakinan untuk melabur dan mengembang. Penjanaan pekerjaan secara besar-besaran bergantung pada sektor swasta.”

Masalah dengan dasar ini ialah ia telah “dipreskripsikan” tanpa memeriksa “pesakit” – ekonomi – dengan betul. Salah satu isu utama ialah pelaburan tidak mencukupi dan seterusnya penjanaan pekerjaan di negara-negara sedang membangun juga tidak mencukupi. Isu ini harus dibedah siasat dan difahami secara menyeluruh sebelum penyelesaian dapat dicadangkan. Namun begitu, En. Banga gagal berbuat demikian.

Dalam sistem kapitalis, usahawan melabur dan mengembangkan pengeluaran apabila mereka yakin bahawa barangan yang dikeluarkan oleh mereka boleh dijual. Dalam erti kata lain, ekonomi memerlukan permintaan agregat yang semakin berkembang untuk memacu pelaburan dan penjanaan pekerjaan. Masalahnya ialah kebanyakan negara sedang membangun cuba menarik modal antarabangsa untuk melabur di negara masing-masing dengan menampilkan diri mereka sebagai hab pengeluaran berkos rendah. Dan salah satu penentu utama untuk kos pengeluaran ialah kadar gaji. Gaji minimum di Malaysia adalah kira-kira satu perlapan berbanding Eropah Barat dan Amerika Syarikat (AS), dan situasi adalah lebih teruk di negara-negara ASEAN yang lain (kecuali Singapura dan Brunei). Jika gaji sentiasa dikekalkan pada paras yang rendah, di mana datangnya permintaan yang efektif?

Satu lagi penyumbang utama kepada permintaan agregat ialah perbelanjaan kerajaan ke atas pelbagai skim pemeliharaan alam sekitar, perlindungan sosial dan program-program lain. Namun, wujudnya penurunan kadar cukai ke atas golongan terkaya 10% penduduk dan syarikat korporat besar di seluruh dunia. Di rantau ASEAN, cukai korporat telah dikurangkan daripada kira-kira 40% daripada keuntungan pada tahun 1980-an kepada kira-kira 20% daripada keuntungan pada masa ini. (Kadar cukai korporat di Malaysia ialah 24%, sementara Singapura ialah 17%). Di Malaysia, hasil kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar telah menurun daripada 30% pada tahun 1980-an kepada 15% pada masa ini. Trend yang sama dapat diperhatikan di kebanyakan negara.

Dasar pertumbuhan berterasan eksport yang didorong oleh pelaburan asing merupakan punca utama untuk kedua-dua masalah penekanan gaji pada paras rendah dan penghakisan hasil percukaian di negara-negara sedang membangun. Presiden Bank Dunia sepatutnya menangani perkara ini, kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan topik yang dibincangkannya – kegagalan ekonomi negara-negara sedang membangun dalam menjana pekerjaan yang mencukupi bagi penduduk mereka.

Keuntungan syarikat-syarikat terbesar semakin meningkat. Golongan terkaya 1% daripada penduduk dunia menjadi lebih kaya lagi. Namun, mereka menghadapi kesukaran dalam mencari peluang yang mencukupi untuk melabur dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Ini kerana pertumbuhan permintaan agregat adalah lembap di seluruh dunia. Inilah isu yang harus diteliti oleh En. Banga sebelum dia mula mempreskripsikan dasar-dasar seperti “menjadi lebih mesra perniagaan” yang, setelah dianalisis lebih mendalam, nampaknya merupakan salah satu punca utama kepada keadaan masa ini!

Desakan untuk gaji yang lebih tinggi dan cukai yang lebih adil ke atas golongan mahajaya telah dirumitkan oleh hakikat bahawa ia mungkin mendorong pelarian modal ke negara-negara yang lebih “mesra perniagaan”. Namun, langkah-langkah ini adalah berkemungkinan jika dilaksanakan secara bersama-sama dengan negara-negara lain. Sebagai contoh, Cukai Minimum Global sebanyak 15% ke atas semua syarikat multinasional melebihi saiz tertentu sudah dilaksanakan. Kita, dalam ASEAN, sangat memerlukan sebuah perjanjian untuk menghentikan perlumbaan ke bawah dalam kadar cukai korporat sesama negara-negara ASEAN yang merosakkan. Sudah pasti, ini boleh dirundingkan.

Negara-negara sedang membangun mungkin juga perlu membangunkan blok ekonomi serantau dan menggunakan tarif import untuk melindungi pengeluaran serantau serta pasaran pekerjaan serantau daripada penghakisan yang disebabkan oleh lambakan barangan yang dikeluarkan dengan lebih murah di rantau-rantau lain. (Tindakan Trump menggunakan tarif secara rawak telah membuka pintu kepada perbincangan tentang bagaimana pendekatan ini boleh digunakan secara sah oleh negara-negara lain.)

Namun begitu, meskipun jika kedua-dua langkah di atas – gaji yang lebih tinggi untuk pekerja-pekerja di negara-negara sedang membangun dan kadar cukai yang lebih tinggi ke atas syarikat-syarikat korporat besar – dilaksanakan, pengangguran masih merupakan satu masalah di negara-negara ASEAN, disebabkan oleh satu fenomena yang diramalkan oleh John Maynard Keynes 90 tahun dahulu. Dia menggelarkannya sebagai “pengangguran teknologikal”. Pertumbuhan keupayaan teknologi kita yang tidak dapat dielakkan membolehkan kita untuk mengeluarkan jumlah barangan yang sama dengan semakin kurang tenaga buruh manusia.

Oleh itu, selain daripada dua langkah yang dibincangkan di atas (gaji yang berpatutan dan cukai yang lebih adil), kita juga harus mengurangkan jam kerja seminggu, supaya pekerjaan yang tersedia dalam masyarakat dapat dikongsikan kepada semua orang yang ingin bekerja. Ini memerlukan peningkatan kadar gaji sejam supaya pekerja-pekerja memperoleh sekurang-kurangnya apa yang diperoleh mereka sebelum ini supaya mereka dapat terus menyara keluarga mereka. Pengaturan sedemikian akan memberi impak positif kepada masyarakat kerana orang ramai akan mempunyai lebih banyak masa lapang untuk diri mereka, keluarga mereka dan komuniti mereka. Kita akan menyaksikan “pemekaran” semangat manusia dalam persekitaran sedemikian.

Walau bagaimanapun, terdapat satu kelas sosial mungkin akan terasa terjejas oleh langkah-langkah yang digariskan di atas – gaji yang lebih baik, kadar cukai yang lebih tinggi ke atas golongan teratas 10% dan kadar gaji sejam yang lebih tinggi, iaitu golongan teratas 1%! Dan mungkin ini sebabnya kenapa En. Banga tidak membangkitkan mana-mana satu perkara ini, sebaliknya menunjukkan kita ke arah yang bertentangan.

Peranan sebenar Bank Dunia adalah untuk mengekalkan keadaan yang membolehkan golongan terkaya 1% daripada penduduk dunia untuk terus mengembangkan kekayaan mereka, sambil berpura-pura sangat prihatin pada kemiskinan global dan pengangguran anak muda.

Sudah tiba masanya rakyat di negara-negara sedang membangun mula berfikir untuk diri mereka sendiri bukannya terus kagum dengan Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Pertubuhan Perdagangan Dunia. Kita perlu menghidupkan semula semangat Bandung 1955, dan memikirkan bagaimana rupanya sebuah program pragmatik yang merangkumi aspirasi Bandung itu pada abad ke-21. “Sebuah dunia untuk dimenangi”, kata seorang lelaki berjanggut! Bukankah ini satu visi yang berbaloi untuk diusahakan?

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *