oleh K. Kunasekaran

Pada 19 Mac 2026,  Parti Sosialis Malaysia (PSM) Parlimen Batu Gajah membuat aduan rasmi di Biro Pengaduan Awam (BPA) untuk mendesak siasatan dijalankan terhadap tindakan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). PSM Batu Gajah menyatakan bahawa terdapat syak wasangka yang munasabah mengenai ketidaktelusan, penyalahgunaan kuasa, dan pelanggaran kewajipan statutori dalam pelaksanaan projek pembahagi jalan (divider) di Lorong 11, Taman Pertama, Ipoh, Perak.

Aduan rasmi ini diterima oleh Ahmad Nawawi Bin Abdul Majid, pegawai yang bertugas di pejabat BPA Perak.

Perkara-perkara yang dikemukakan dalam aduan ini ialah:

  1. Aktiviti Pasar Malam Jumaat yang telah lama diadakan kini tidak lagi boleh dijalankan di lokasi asal. Penjaja veteran yang telah berniaga selama 40 tahun kini dibiarkan tanpa tapak penempatan semula yang berfungsi, sekali gus mengancam sumber rezeki utama keluarga mereka.
  2. Aktiviti penjaja kecil ini memainkan peranan penting kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan sosial dan budaya komuniti Taman Pertama yang telah berakar umbi lebih 40 tahun. Mereka menyumbang kepada ekonomi tempatan dengan menyediakan akses barangan harian dan makanan segar pada harga mampu milik serta berpatutan, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,
  3. Surat rasmi daripada Datuk Bandar bertarikh 2 Disember 2025 menjanjikan penempatan semula di Dataran Niaga Taman Pertama. Tapak yang dijanjikan kini terbengkalai dan tidak boleh digunakan kerana ia masih kawasan gerai sedia ada.
  4. Penduduk dan pemilik kedai mempersoalkan keperluan projek ini kerana lorong yang sebelum ini kondusif kini menyukarkan pergerakan awam tanpa sebarang justifikasi yang munasabah.
  5. Projek dijalankan tanpa sebarang papan tanda maklumat (kos, kontraktor dan tempoh siap) dan tanpa proses libat urus bersama penduduk serta pemilik kedai.

Lorong 11 telah lama menjadi nadi ekonomi penduduk setempat. Selain penjaja harian yang telah berniaga antara 5 hingga 40 tahun, kawasan ini juga menempatkan Pasar Malam pada setiap hari Jumaat yang telah beroperasi sejak sekian lama.

Pihak MBI kerap mengeluarkan saman kepada para penjaja atas alasan tiada lesen perniagaan, walaupun permohonan lesen telah dibuat tetapi ditolak. Walau bagaimanapun, kawasan ini telah sekian lama berfungsi sebagai tapak pasar malam pada setiap hari Jumaat bagi penduduk setempat. 

Berkaitan perkara ini, pihak PSM menulis surat kepada Exco Kerajaan Negeri Perak dan Datuk Bandar pada 4 September 2025. Surat tersebut dipanjangkan kepada Datuk Bandar oleh Exco Kerajaan untuk maklum balas.

Dalam surat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Ruj: Bil. (9) dlm. MBI.K3/3/52/2025 yang bertarikh 2 Disember 2025, Datuk Bandar telah menyatakan bahawa proses penempatan semula penjaja ke lokasi yang lebih sesuai, iaitu di Dataran Niaga Taman Pertama, sedang dalam peringkat tindakan oleh pihak Majlis. Kenyataan ini menunjukkan pengiktirafan rasmi terhadap keperluan menjaga kebajikan serta kelangsungan mata pencarian penjaja kecil.  

Pada 5 Januari 2026, pihak media The Star telah mengadakan lawatan ke tapak perniagaan ini serta menemu bual para penjaja di Lorong 11 bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan mereka. Laporan yang ditulis oleh Manjit Kaur tersebut kemudiannya disiarkan  dalam akhbar The Star pada 16 Januari 2026 dengan tajuk First Garden hawkers struggling with fines”. 

Laporan tersebut mendedahkan bahawa kira-kira 40 orang penjaja tidak berlesen beroperasi di Lorong Taman 10 dan Lorong Taman 11, dengan majoriti mereka telah berniaga selama bertahun-tahun dan bergantung kepada tapak tersebut sebagai sumber pendapatan utama. Tindakan penguatkuasaan oleh MBI, termasuk pengeluaran kompaun berulang kali serta penyitaan barangan seperti mesin timbang dan payung, telah menjejaskan pendapatan dan kehidupan harian mereka.

Selain itu, penjaja turut menyatakan hasrat agar pihak MBI mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen atau menyediakan tapak alternatif yang sesuai tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan mereka. Laporan ini juga menekankan bahawa pasar tersebut memainkan peranan penting dalam menyediakan barangan keperluan harian pada harga mampu milik kepada penduduk setempat serta menyumbang kepada ekonomi tempatan.

Isu ini turut mendapat perhatian PSM yang menyeru agar pihak berkuasa tempatan melindungi kebajikan penjaja kecil dan mengiktiraf sumbangan mereka kepada ekonomi serta warisan sosial komuniti setempat.

Kegagalan dalam pelaksanaan janji dan ketidaktelusan pentadbiran

Pada 3 Februari 2026, pihak PSM telah menyerahkan sepucuk surat kepada Datuk Bandar Ipoh untuk membangkitkan 6 soalan teknikal, termasuk isu berkaitan Kajian Impak Trafik (Traffic Impact Assessment –  TIA).  Walau   bagaimanapun,   soalan-soalan  tersebut  gagal dijawab oleh pihak Datuk Bandar dalam tempoh 14 hari sebagaimana yang sewajarnya. Soalan-soalan itu adalah seperti berikut:-

  1. Penduduk dan penjaja-penjaja menyoal kewajaran dan keperluan pembinaan bulatan yang telah dibina sebelum ini, serta meminta penjelasan mengenai justifikasi kejuruteraan projek tersebut.
  2. Adakah sebarang kajian trafik atau analisis impak telah dijalankan sebelum projek ini dimulakan? Jika ya, sila lampirkan laporan kajian tersebut.
  3. Apakah alasan mengapa tapak alternatif yang dijanjikan sejak bulan Disember 2025 masih terbengkalai, tidak diuruskan dan tidak boleh diduduki?
  4. Adakah pandangan penjaja, peniaga kecil dan penduduk tempatan telah diambil kira sebelum pelaksanaan projek ini? Jika tidak, mengapa mereka tidak dirujuk?
  5. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak Majlis untuk memastikan projek ini tidak menindas penjaja-penjaja veteran yang telah berniaga antara 5 hingga 40 tahun?
  6. Apakah langkah-langkah konkrit yang akan diambil oleh pihak Majlis untuk melibatkan penduduk, penjaja dan peniaga dalam proses perancangan infrastruktur, serta memastikan projek seperti pembinaan bulatan dan pembahagi jalan tidak menjejaskan kepentingan ekonomi dan sosial komuniti setempat?

Tanpa memberikan sebarang jawapan terhadap soalan-soalan yang melibatkan kepentingan penjaja dan penduduk setempat, pihak Datuk Bandar Ipoh telah gagal memberi maklum balas dan secara unilateral meneruskan pembinaan pembahagi jalan di Lorong 11, tanpa menyediakan tapak alternatif seperti yang telah dijanjikan.

Siasatan PSM Batu Gajah mendapati bahawa lokasi yang dicadangkan itu adalah dataran gerai makanan sedia ada yang sedang beroperasi. Sehingga kini, tiada sebarang usaha fizikal dilakukan untuk menyediakan petak niaga baharu, malah kawasan tersebut terbengkalai dan bersemak. MBI telah gagal menyediakan tempat sepertimana yang dijanjikan dalam surat rasmi tersebut.

Projek pembinaan pembahagi jalan dijalankan tanpa sebarang papan tanda maklumat projek (nilai kontrak, nama kontraktor dan tempoh siap). Ini menimbulkan syak wasangka mengenai integriti proses perolehan dan pelantikan kontraktor. Projek pembinaan pembahagi jalan ini telah dimulakan secara tergesa-gesa, mengakibatkan kehilangan kawasan parkir di kedua-dua belah jalan tanpa menyediakan sebarang tempat atau kemudahan untuk penjaja-penjaja terlebih dahulu.

Pelanggaran Seksyen 101 Akta Kerajaan Tempatan 1976

Berdasarkan Seksyen 101(d) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hendaklah menjalankan kerja yang memberi faedah am kepada penduduk kawasan. Walau bagaimanapun, pembinaan struktur pembahagi jalan di Lorong 11 jelas tidak memberikan faedah kepada orang awam, malah telah menghapuskan kemudahan parkir, menjejaskan penjaja sedia ada serta memudaratkan aktiviti ekonomi setempat.

Selanjutnya, di bawah Seksyen 101(v), pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab untuk memastikan kesenangan awam terpelihara. Tindakan meneruskan projek tanpa mengambil kira kesan terhadap akses, kemudahan parkir dan kelangsungan perniagaan jelas bertentangan dengan prinsip kesenangan awam tersebut.

Di samping itu, Seksyen 101(e) memperuntukkan kuasa untuk menyusun atur dan membina kawasan mengikut skim yang teratur. Namun, pelaksanaan projek ini tanpa penyediaan tapak alternatif yang berfungsi serta tanpa penyelesaian menyeluruh menunjukkan kegagalan dalam perancangan yang sewajarnya.

Sehubungan itu, tindakan ini juga tidak boleh dianggap sebagai satu langkah yang “berfaedah” atau “memudahkan” fungsi pihak berkuasa tempatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 101(hh) Akta Kerajaan Tempatan 1976, dan dengan itu adalah bercanggah dengan maksud dan semangat peruntukan undang-undang tersebut.

Dengan kata lain, projek pembahagi jalan di Lorong 11:

  1. Tidak memberi faedah awam [101(d)], kerana menghapuskan petak parkir, menyulitkan akses penjaja, dan menjejaskan aktiviti ekonomi setempat serta kehadiran orang awam.
  2. Mengganggu kesenangan awam [101(v)], kerana menimbulkan kesukaran akses dan mengurangkan kemudahan awam.
  3. Gagal melaksanakan perancangan menyeluruh [101(e)], tanpa Penilaian Impak Trafik (TIA) atau libat urus komuniti.
  4. Tidak berfaedah atau bersampingan dengan tugas PBT [101(hh)], menjadikan projek ini ultra vires.

Tambahan pula, prinsip daripada kes Yong Shui Tian v. Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan [2025] CLJ (JT17), Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa PBT bertanggungjawab ke atas kawasan awam dan ruang yang boleh diakses awam, serta wajib menilai risiko dan memastikan keselamatan awam, walaupun tanah itu persendirian. Kegagalan melakukan penilaian menyeluruh atau mengabaikan impak projek terhadap keselamatan dan kemudahan awam adalah “melanggar kewajipan statutori” (breach of statutory duty) dan boleh dipersoalkan secara sah.

Kehilangan hasil kerajaan daripada petak parkir

Pembinaan pembahagi jalan telah dibuat tepat di atas petak parkir berbayar yang sah, iaitu satu sumber hasil kerajaan yang berterusan kepada pihak berkuasa tempatan. Tindakan ini secara langsung telah menghapuskan sumber pendapatan awam tanpa sebarang justifikasi yang munasabah.

Sehubungan itu, PSM Batu Gajah memohon agar BPA menyiasat mengapa MBI secara sengaja melupuskan aset hasil kerajaan demi pelaksanaan sebuah projek yang tidak telus, tidak dirancang secara menyeluruh, dan tidak memberi manfaat kepada orang awam. Tindakan ini menimbulkan unsur salah laku penjawat awam (misfeasance in public office), khususnya apabila kuasa digunakan bukan untuk kepentingan awam tetapi dengan kesan yang memudaratkan.

Tindakan ini juga tidak boleh dianggap sebagai satu langkah yang “berfaedah” atau “memudahkan” fungsi pihak berkuasa tempatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 101(hh) Akta Kerajaan Tempatan 1976, dan dengan itu adalah bercanggah dengan maksud dan semangat peruntukan undang-undang tersebut.

Prinsip daripada kes Yong Shui Tian v. Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan [2025] CLJ (JT17), telah menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan mempunyai tanggungjawab terhadap kawasan yang boleh diakses oleh orang awam, termasuk ruang terbuka dan laluan awam, serta wajib memastikan keselamatan, kemudahan dan kepentingan awam sentiasa terpelihara. Mahkamah turut menegaskan bahawa kegagalan melaksanakan kewajipan di bawah Seksyen 101 merupakan satu pelanggaran kewajipan statutori, tanpa perlu dibuktikan unsur kecuaian. Dalam konteks ini, tindakan MBI jelas menunjukkan kegagalan tersebut.

Kegagalan perwakilan oleh Ahli Majlis (Seksyen 10 Akta Kerajaan Tempatan 1976)

Seksyen 10(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 memperuntukkan bahawa pihak berkuasa tempatan hendaklah terdiri daripada Datuk Bandar atau Yang Dipertua serta Ahli-Ahli Majlis yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri. Selanjutnya, Seksyen 10(2) memperuntukkan bahawa Ahli-Ahli Majlis tersebut hendaklah dilantik daripada kalangan individu yang kebanyakannya bermastautin dalam kawasan pihak berkuasa tempatan tersebut, serta mempunyai pengalaman, kebolehan, dan keupayaan untuk mewakili kepentingan komuniti setempat.

Dalam konteks ini, kegagalan untuk mengadakan sebarang libat urus, rundingan, atau mendapatkan pandangan daripada penduduk, pemilik kedai, dan penjaja sebelum pelaksanaan projek pembahagi jalan menunjukkan bahawa fungsi perwakilan oleh Ahli Majlis telah gagal dilaksanakan sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang.

Ketiadaan suara komuniti dalam proses membuat keputusan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan dan mata pencarian mereka membuktikan bahawa Ahli Majlis tidak menjalankan tanggungjawab mereka untuk mewakili kepentingan penduduk setempat.

Kegagalan ini bukan sahaja bercanggah dengan kehendak Seksyen 10(2), malah mengukuhkan lagi dapatan bahawa pelaksanaan projek ini dibuat tanpa mengambil  kira  kepentingan  awam,  seterusnya  menyokong  hujah bahawa tindakan tersebut adalah tidak munasabah, tidak telus, dan bercanggah dengan prinsip tadbir urus yang baik.

BPA harus siasat kepincangan

Sehubungan dengan itu, PSM Parlimen Batu Gajah mendesak agar BPA menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh terhadap perkara-perkara berikut:

  1. Audit garis masa dan kos projek: Menyiasat bila projek pembinaan pembahagi jalan diluluskan, tarikh mula/tamat, serta kos keseluruhan bagi memastikan tiada penggelembungan harga.
  2. Ketidaktelusan papan tanda: Mengenal pasti mengapa tiada papan tanda projek dipamerkan untuk menyembunyikan identiti kontraktor atau butiran kontrak daripada umum.
  3. Percanggahan maklumat rasmi: Menyiasat mengapa surat Datuk Bandar bertarikh 2 Disember 2025 langsung tidak menyentuh makluman projek pembahagi jalan, sedangkan kerja fizikal bermula sejurus selepas itu.
  4. Ketiadaan penyertaan awam: Menyiasat mengapa tiada sebarang penglibatan atau peluang menyampaikan pandangan diberikan kepada pemilik kedai di kawasan tersebut sebelum projek dilaksanakan.
  5. Integriti projek Dataran Niaga: Menyiasat status kewangan dan punca kegagalan penyiapan tapak Dataran Niaga yang dicadangkan.

PSM Parlimen Batu Gajah membawa perkara ini kepada pengetahuan pihak BPA  atas dasar tanggungjawab sosial dan integriti awam. Melalui lawatan tapak dan sesi dialog PSM bersama komuniti setempat, ramai penduduk dan pemilik kedai di kawasan ini telah menyatakan rungutan serta ketidakpuasan hati yang mendalam terhadap kewajaran projek pembinaan pembahagi jalan ini.

Penduduk menegaskan bahawa kawasan kedai dan taman perumahan ini selama ini telah memberikan kesenangan dan keselesaan kepada mereka tanpa sebarang masalah trafik yang serius. Namun, pelaksanaan projek ini telah mengakibatkan:

  1. Kekurangan Petak Parkir: Menyukarkan penduduk untuk berurusan dan mematikan aktiviti ekonomi setempat.
  2. Kehilangan Pendapatan: Penjaja veteran dan peniaga kecil kini berdepan dengan risiko kehilangan mata pencarian yang telah dibina selama puluhan tahun.

Kegagalan pihak MBI untuk merunding dan mendapatkan pandangan daripada komuniti setempat, serta tindakan meneruskan projek yang jelas merugikan rakyat, menguatkan syak wasangka bahawa terdapat kepentingan lain yang telah mendahului kepentingan awam. Berdasarkan prinsip undang-undang yang dihuraikan serta disokong oleh Kes Yong Shui Tian, tindakan ini boleh dianggap sebagai pelanggaran kewajipan statutori dan juga ultra vires terhadap peruntukan Seksyen 101 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Justeru, PSM Parlimen Batu Gajah memohon campur tangan BPA untuk menyiasat segala ketidaktelusan ini demi memastikan keadilan dan kepentingan rakyat di Lorong 11, Taman Pertama terpelihara.

==========

K. Kunasekaran ialah Penyelaras PSM Parlimen Batu Gajah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *