
KUALA LUMPUR – 25 FEBRUARI 2026: Satu aksi protes diadakan di hadapan ibu pejabat syarikat insurans AmMetLife Insurance pada hari ini untuk mengetengahkan masalah sepasang suami isteri yang dinafikan bayaran insurans MRTA (Mortgage Reducing Term Assurance) atas sebab isu teknikal.
Komagan a/l Devadas dan isterinya ialah peminjam perumahan dengan AmBank untuk rumahnya yang terletak di Sungai Siput (U), Perak. Komagan ialah seorang pesakit kronik jantung dan buah pinggang. Dia sedang menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di Sungai Siput. Komagan telah diisytihar bahawa tidak mampu lagi untuk bekerja dan sedang menerima pencen ilat daripada PERKESO. Dia telah memaklumkan pihak bank tentang kehilangan keupayaannya ini. Namun, Komagan tidak diberitahu tentang kewujudan insurans MRTA yang boleh melindunginya daripada beban hutang pinjaman perumahan apabila berlakunya kehilangan upaya kekal, walaupun dia layak menerima pengecualian sehingga 50% daripada pembayaran balik pinjaman perumahan ini. Ini menyebabkan rumahnya hampir dilelong oleh pihak bank.
Selepas mendapat nasihat daripada Pusat Khidmat Rakyat PSM di Sungai Siput, Komagan mengemukakan permohonan tuntutan insurans MRTA daripada pihak bank. Komagan telah menyerahkan semua dokumen yang berkaitan, termasuk laporan perubatan daripada doktor yang sedang merawat penyakit kroniknya, kepada pihak AmBank Sungai Siput pada 14 Mac 2025 untuk diproses. Dia juga dipanggil kemudian untuk menyerahkan beberapa dokumen tambahan berkaitan rawatan dialisisnya.
Namun begitu, permohonan Komagan untuk insurans MRTA itu ditolak atas sebab dia tidak memberitahu perkara berkaitan kesihatannya kepada pihak bank ketika memohon MRTA. Menurut Komagan, dia tidak pernah ditanya soalan yang dikatakan diperlukan oleh pihak bank. Tambahan pula, dia juga tidak fasih dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu tanpa sokongan pihak ketiga, maka dia tidak tahu bagaimana pihak bank merakamkan jawapannya. Komagan tidak diberi sebarang salinan borang yang diisi oleh pihak bank. Oleh itu, dia meminta salinan borang soalan untuk MRTA yang dimaksudkan oleh pihak bank.
Turut hadir bersolidariti bersama Komagan semasa protes hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM yang juga merupakan mantan Ahli Parlimen Sungai Siput), R. Karthiges (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM) dan Chong Yee Shan (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM).
Komagan bersama aktivis yang hadir pada hari ini telah berjumpa dengan pegawai daripada AmMetLife Insurance untuk membincangkan masalahnya. Apabila pihak PSM meminta satu salinan borang permohonan MRTA yang mengandungi soalan-soalan yang dikatakan tidak dijawab oleh Komagan, pihak syarikat insurans menjawab bahawa mereka perlu mendapatkan nasihat daripada peguam mereka.
Walau bagaimanapun, pegawai syarikat insurans berkata bahawa pihaknya akan melakukan siasatan terhadap perkara ini dalam tempoh masa dua minggu. Komagan bersetuju untuk menunggu dua minggu supaya mendapat maklum balas tentang aduannya.
