KUALA LUMPUR: Aktivis-aktivis sosial di Malaysia yang prihatin pada keamanan dunia menggesa kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk menghentikan campur tangan terhadap Venezuela dan melepaskan Presiden Nicolás Maduro serta isterinya Cilia Flores yang diculik dalam satu pencerobohan ketenteraan AS yang haram pada 3 Januari 2026. Seruan ini dibuat dalam satu aksi protes di hadapan Kedutaan Besar AS di Kuala Lumpur pada 3 Februari 2026, iaitu genap sebulan penculikan Maduro dan Flores oleh tentera AS.

Aksi protes semalam dianjurkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama-sama organisasi-organisasi yang bersolidariti dengan Venezuela untuk menentang tindakan samseng imperialis AS yang membuli dan mencabuli kedaulatan negara-negara lain. Turut hadir bersolidariti ialah Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM), A. Sivarajan (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM), Tian Chua (Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin) dan Yadira Ledesma Hernández (Duta Kuba di Malaysia).

“Apa yang berlaku pada 3 Januari lalu ialah satu tindakan jenayah oleh kerajaan AS,” kata Dr. Jeyakumar semasa aksi protes yang bertema “Bawa Mereka Pulang!” (Bring Them Back!) di hadapan Kedutaan AS. “Jika mengikut undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diterima oleh semua negara, kamu tidak boleh masuk ke negara lain dan menculik orang dari situ! Sesiapa pun tidak boleh diculik begitu, tetapi sekarang ini kerajaan AS menculik presiden sebuah negara lain dan membunuh orang di situ. Apabila ia berbuat demikian, ia menjadi ‘undang-undang rimba’! Ini tidak boleh diterima langsung!”

Serangan yang dilakukan oleh AS terhadap Venezuela telah mewujudkan duluan berbahaya yang mengancam keamanan dan kestabilan dunia. Presiden Donald Trump dari AS cuba mengamalkan Doktrin Monroe dalam bentuk yang paling ekstrem dengan mengisytihar secara terus terang bahawa AS berniat untuk menguasai sumber-sumber di seluruh Hemisfera Barat. Kerajaan AS sanggup melanggar undang-undang antarabangsa untuk membuli negara-negara yang tidak sehaluan dengan kepentingannya.

PSM dan wakil masyarakat sivil yang hadir juga menyerahkan sebuah memorandum bersama dengan tuntutan-tuntutan berikut:

  • Membebaskan segera Presiden Nicolás Maduro dan Wanita Pertama Cilia Flores dari Venezuela;
  • Kerajaan AS harus menarik balik semua ancaman ketenteraan terhadap Venezuela dan membayar ganti rugi kepada kehilangan nyawa serta kemusnahan yang timbul daripada serangan keganasan pada 3 Januari 2026.
  • Kerajaan AS harus menghentikan ancaman campur tangan ketenteraan dan pengambilalihan tanah berdaulat, seperti Venezuela, Greenland, Kuba dan Iran.
  • Kerajaan AS harus mematuhi undang-undang antarabangsa untuk mengekalkan keamanan dunia, menghormati hak berdaulat negara-negara lain untuk mengambil hala tuju pembangunan ekonomi mereka sendiri secara bebas.

Kenyataan bersama yang menentang tindakan samseng imperialis AS ini telah disokong oleh 21 buah organisasi, termasuk PSM, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Gabungan Marhaen, Venezuela Solidarity Group Malaysia, MANDIRI, Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI), GEGAR (Gerakan Gabungan Anti-Imperialis), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), BERSIH dan sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *