oleh Gandipan Nantha Gopalan
Kenyataan balas Menteri Kesihatan terhadap pendirian PSM mengenai pengecualian cukai kepada hospital swasta jelas mengelak daripada isu pokok yang dibangkitkan dan sebaliknya cuba mengalih perbincangan kepada perkara lain.
PSM tidak pernah menafikan bahawa adanya pesakit B40 yang menerima rawatan di hospital swasta. Itu bukan isu. Isu sebenar ialah mengapa akses kesihatan rakyat diletakkan di bawah belas ihsan korporat, sedangkan hospital-hospital ini mencatat keuntungan yang tinggi setiap tahun.
Memberi pengecualian cukai atas nama “kebajikan” bermaksud kerajaan melepaskan hasil awam, melemahkan keupayaan membiayai hospital kerajaan dan melindungi margin keuntungan sektor swasta. Ini bukan reformasi kesihatan.
Setakat ini, Menteri Kesihatan langsung tidak menjawab dua cadangan dasar yang jelas dan konkrit yang dikemukakan oleh PSM:
- Adakah kerajaan bersedia untuk mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas keuntungan hospital swasta dan menyalurkannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?
- Adakah kerajaan bersedia untuk mewajibkan rawatan percuma atau bersubsidi kepada golongan B40 sebagai syarat lesen operasi hospital swasta, bukan sekadar melalui tabung kebajikan sukarela?
Pendekatan “beri insentif cukai kepada yang kaya supaya mereka berbuat baik” adalah idea lapuk, tidak progresif dan telah terbukti gagal mengurangkan ketidaksamaan.
PSM tidak mempolitikkan kesihatan
Dasar kesihatan memang bersifat politik kerana ia menentukan siapa yang membayar, siapa yang untung, dan siapa yang tercicir.
Oleh itu, PSM menuntut jawapan jelas daripada Menteri Kesihatan: Adakah kerajaan sanggup mengawal dan memaksa sektor hospital swasta untuk memikul tanggungjawab sosial sebenar atau akan terus memberi pelepasan cukai dan berharap kapitalis bertindak dengan ihsan?
Rakyat berhak mendapat jawapan yang jujur, bukan putar belit.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
