oleh Gandipan Nantha Gopalan

Kerajaan Negeri Selangor terus mempertahankan keputusan menswastakan pengurusan parkir melalui projek Selangor Intelligent Parking (SIP) atas alasan meningkatkan kecekapan dan kutipan hasil. Namun, persoalan pokok yang masih gagal dijawab ialah mengapa kecekapan hanya dianggap boleh dicapai melalui penswastaan dan bukan dengan memperkukuh keupayaan pihak berkuasa tempatan sendiri.

Kerajaan negeri mendakwa bahawa pelantikan Selmax Sdn Bhd dibuat tanpa mengambil kira latar belakang pemilikan, termasuk hubungan dengan kerabat diraja. Dakwaan ini sukar diterima oleh orang awam. Laporan Malaysiakini pada 17 November 2025 mendedahkan bahawa Raja Muda Selangor mempunyai kepentingan manfaat dalam Selmax melalui syarikat pegangan. Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4) menegaskan bahawa individu sedemikian diklasifikasikan sebagai politically exposed persons di bawah piawaian antarabangsa dan wajib tertakluk kepada penelitian lebih ketat serta pendedahan awam. Sama ada kerajaan negeri mengetahui tetapi tidak mendedahkan atau tidak mengetahui kerana semakan yang lemah, kedua-duanya mencerminkan kegagalan tadbir urus yang serius.

Jika masalah utama sebelum ini ialah kekurangan penguatkuasaan dan tenaga kerja sehingga kutipan hanya sekitar 30 peratus, mengapa pilihan menambah kakitangan atau memperkukuh penguatkuasaan tidak diambil secara serius? Apakah kerajaan negeri telah benar-benar berunding dengan majlis-majlis tempatan mengenai keperluan sumber manusia, latihan atau peruntukan tambahan sebelum memutuskan bahawa penswastaan adalah satu-satunya jalan keluar? Kegagalan pentadbiran tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyerahkan fungsi awam kepada pihak swasta.

Alasan “kekangan kapasiti” juga sering diulangi, namun tidak pernah dijelaskan secara konkrit. Majlis bandaraya seperti Petaling Jaya dan Shah Alam sebelum ini mampu menjana hasil parkir yang tinggi, membuktikan bahawa keupayaan institusi itu wujud. Jika masalahnya ialah teknologi dan sistem, mengapa kerajaan negeri tidak meneroka model kerjasama antara beberapa majlis tempatan untuk melabur bersama dalam teknologi, sistem operasi dan latihan? Pendekatan ini bukan sahaja mengekalkan pemilikan awam, malah membina keupayaan jangka panjang tanpa mengorbankan hasil kepada pihak swasta.

Penswastaan parkir juga menimbulkan persoalan lebih besar tentang peranan majlis tempatan itu sendiri. Apakah makna dan peranan sebenar pihak berkuasa tempatan jika fungsi asas seperti pengurusan parkir pun tidak lagi boleh dikendalikan sendiri? Penswastaan yang berlebihan menghakis autonomi majlis tempatan dan juga melemahkan prinsip kebertanggungjawaban awam.

Kerajaan negeri dan pihak konsesi menyebut tentang komitmen pelaburan sebanyak RM200 juta sepanjang tempoh konsesi. Namun sehingga kini, tiada pendedahan telus mengenai unjuran hasil, anggaran keuntungan, tempoh pulang modal dan margin keuntungan syarikat konsesi. Tanpa pendedahan angka-angka asas ini, orang awam tidak mempunyai asas untuk menilai sama ada pembahagian hasil 50 peratus kepada syarikat swasta adalah munasabah atau sekadar menguntungkan segelintir pihak.

Lebih membimbangkan, tiada penjelasan jelas tentang pelan pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada majlis tempatan. Jika teknologi dijadikan alasan utama penswastaan, adakah kakitangan majlis akan dilatih dan diperkasa untuk mengambil alih operasi pada masa depan atau adakah kita sedang membina kebergantungan berterusan kepada operator swasta? Kecekapan sebenar sepatutnya membawa kepada pemerkasaan institusi awam.

Parkir awam ialah sebahagian daripada harta bersama rakyat. Pengalaman di dalam dan luar negara telah lama menunjukkan bahawa penswastaan tidak semestinya meningkatkan kecekapan, sebaliknya sering mengurangkan ketelusan dan menyalurkan keuntungan kepada elit. Oleh itu, penswastaan harta awam seperti parkir perlu dihentikan dan dikaji semula secara menyeluruh. Kerajaan negeri harus mendedahkan semua dokumen berkaitan, membenarkan siasatan bebas seperti melalui Selcat dan memberi keutamaan kepada pembinaan kapasiti awam. Kecekapan yang sebenar hanya dapat dicapai melalui institusi awam yang telus, bertanggungjawab dan diperkasa. Bukan melalui penswastaan yang menguntungkan segelintir pihak atas nama reformasi.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *