SHAH ALAM, SELANGOR – 24 NOVEMBER 2025: Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan, yang diserang oleh pihak pemaju lima hari berturut-turut (dari 10 hingga 14 November 2025) dengan perobohan rumah tanpa pelaksanaan janji rumah ganti, membawa masalah mereka kepada perhatian Dewan Undangan Negeri yang sedang bersidang pada hari ini. Mereka menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya menunaikan janjinya untuk menyelesaikan masalah perumahan yang dihadapi oleh golongan peneroka bandar di kawasan Kampung Jalan Papan, Pandamaran, Klang, Selangor.

Walaupun pihak Kerajaan Negeri Selangor menyatakan bahawa pihak pemaju hanya akan merobohkan rumah yang tidak berpenghuni, sebanyak 29 buah rumah yang masih berpenghuni telah dirobohkan dalam tempoh 5 hari, dari 10 hingga 14 November 2025. Selain itu, seramai 23 orang individu, termasuk penduduk di situ dan aktivis yang bersolidariti bersama penduduk, telah ditahan semasa operasi perobohan rumah di Kampung Jalan Papan. Kerajaan Negeri Selangor hanya sekadar berpeluk tubuh pada ketika rumah diroboh dan rakyat ditangkap.

“Tindakan ini bercanggah dengan dasar Kerajaan Negeri Selangor, sama ada semasa pentadbiran YAB Amirudin Shari mahupun semasa YB Azmin Ali menjadi Menteri Besar Selangor, di mana pengusiran hanya akan dilakukan selepas disediakan perumahan alternatif,” begitu tulisnya memorandum oleh Persatuan Penduduk Jalan Papan Pandamaran yang ditujukan kepada Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor dan Mohamed Azmin Ali selaku Ketua Pembangkang Negeri Selangor yang juga merupakan mantan Menteri Besar Selangor.

“Kami mewakili kepentingan 83 keluarga peneroka asal dari Kampung Jalan Papan. Daripada jumlah ini, sebanyak 29 buah rumah yang didiami telah dirobohkan secara paksa tanpa mengendahkan janji bertulis yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor,” kata Persatuan Penduduk Jalan Papan Pandamaran dalam memorandumnya. “Kami juga ingin menegaskan bahawa kami tidak ada sebarang masalah jika perumahan diberikan juga kepada peneroka asal Kampung Jalan Papan yang tidak lagi duduk di kampung sekarang kerana nama mereka ada dalam bancian yang direstui oleh Kerajaan Negeri Selangor.”

Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan dalam memorandum yang ditujukan kepada Menteri Besar Selangor dan Ketua Pembangkang Selangor termasuk:

  • Semua rundingan selepas ini diadakan secara terus dengan jawatankuasa penduduk atau wakilnya, atau peguam yang dilantik oleh penduduk;
  • Kerajaan Negeri Selangor kembali kepada persetujuan yang dicapai dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 28 Februari 2018, di mana Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk membina rumah teres bersaiz 20’ x 70’ dengan harga tawaran RM99,000 serta jenis-jenis perumahan lain untuk mereka yang bukan peneroka asal;
  • Kerajaan Negeri Selangor harus mendesak syarikat Melati Ehsan untuk membayar ganti rugi kepada 29 buah rumah yang telah dirobohkan secara paksa dan jelas melanggari persetujuan yang dicapai bersama dengan Menteri Besar pada 21 Oktober 2025;
  • Kerajaan Negeri Selangor harus membekukan semua projek syarikat Melati Ehsan dan anak syarikatnya di negeri Selangor sehingga isu Kampung Jalan Papan diselesaikan sepenuhnya;
  • Sekiranya pihak syarikat TPPT dan Melati Ehsan enggan menyerahkan tanah yang mencukupi, Kerajaan Negeri Selangor harus mencari jalan penyelesaian, termasuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah bagi tujuan merampas tanah untuk projek berkepentingan awam.

“Kami amat dukacita kerana walaupun Kerajaan Negeri pada tahun 1995 telah memperuntukkan 95 ekar, namun pada hari ini hanya 7 ekar dikembalikan, sedangkan TPPT masih merupakan pemilik tanah berkenaan,” kata Persatuan Penduduk Jalan Papan Pandamaran dalam memorandumnya.

Penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan yang masih tinggal di situ menyatakan bahawa mereka bersedia untuk berbincang tentang penempatan sementara yang munasabah, sementara sebarang penarikan kes mereka di mahkamah hanya akan dibuat setelah perjanjian dimeterai dengan penglibatan peguam yang mewakili penduduk.

Turut hadir bersolidariti bersama penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan semasa penyerahan memorandum dalam hujan pada hari ini ialah S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan M. Sivaranjani, Setiausaha Agung PSM.

Selepas operasi perobohan rumah pada 10-14 November 2025, penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan masih teguh memperjuangkan hak perumahan mereka. Bersama-sama dengan aktivis-aktivis PSM dan masyarakat sivil yang prihatin, penduduk-penduduk Kampung Jalan Papan telah mengadakan aksi protes di hadapan ibu pejabat Melati Ehsan di Kuala Lumpur pada 21 November 2025. Satu lagi aksi protes diadakan di luar sebuah galeri jualan syarikat Melati Ehsan di Shah Alam pada 22 November 2025.

One thought on “Penduduk Kampung Jalan Papan desak Kerajaan Negeri Selangor tunaikan janji rumah alternatif dan bayar ganti rugi perobohan rumah berpenghuni

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *