
GEORGE TOWN, PULAU PINANG – 20 NOVEMBER 2025: Penduduk-penduduk Bandar Sri Pinang dan kawasan kejiranan sekitarnya, bersama-sama Jawatankuasa Bertindak Protect Karpal Singh Drive (ProtectKarpal), menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya membatalkan rancangan projek penambakan laut dan kitar semula sisa tapak pelupusan di kawasan perairan yang berhadapan dengan Persiaran Karpal Singh, Jelutong, Pulau Pinang. Seruan ini dibuat dalam sebuah memorandum yang diserahkan oleh wakil penduduk Bandar Sri Pinang dan ProtectKarpal kepada wakil Ketua Menteri Pulau Pinang dan Ketua Pembangkang di hadapan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada hari ini.
Orang ramai yang berhimpun di luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada ketika wakil rakyat bersidang di dalamnya telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap projek yang dipercayai akan membawa kesan serius dan jangka panjang kepada kesihatan awam, ekosistem laut yang berkait dengan Tebing Tengah (Middle Bank), serta identiti Persiaran Karpal Singh sebagai satu ruang awam yang bermakna.
Persiaran Karpal Singh, atau Karpal Singh Drive, ialah persiaran tepi laut di Bandar Sri Pinang, Jelutong, Pulau Pinang, yang dinamakan bersempena nama mendiang Karpal Singh (1940-2014), seorang peguam dan tokoh politik yang terkenal di negara kita dan negeri Pulau Pinang. Karpal Singh yang pernah diberi gelaran “Harimau Jelutong” telah menjadi pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang merupakan parti pemerintah di negeri Pulau Pinang pada masa ini yang pertama diabadikan namanya di sebatang jalan di Pulau Pinang.
“Kami berada di sini kerana projek ini akan memusnahkan pantai dan komuniti kami sepanjang 20 hingga 30 tahun akan datang,” kata Dr. K Ganesh, jurucakap ProtectKarpal, semasa perhimpunan di hadapan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada hari ini. “Kami tidak menentang pemulihan Tapak Pelupusan Jelutong yang dilakukan secara betul dan selamat. Apa yang kami tolak ialah penggunaan keperluan pemulihan itu sebagai alasan untuk penambakan baharu dan menjadikan depan rumah kami satu zon kitar semula terbuka berskala industri yang bising dan tercemar, betul-betul di hadapan rumah kami dan sekolah anak-anak kami.”
Penduduk-penduduk di situ berhujah bahawa projek yang menggabungkan penambakan laut dengan pengorekan sisa terbuka dan kitar semula sisa tapak pelupusan lama ini akan membawa risiko yang tidak boleh diterima ke atas:
- Kesihatan awam, khususnya kanak-kanak dan warga emas, akibat habuk, bunyi bising dan kemungkinan pelepasan gas beracun daripada bahan tapak pelupusan yang diganggu;
- Ekosistem pesisir dan marin yang berkait dengan Middle Bank, yang telah dikenal pasti oleh para saintis sebagai kawasan penting bagi rumpai laut (seagrass) dan habitat ikan;
- Kualiti hidup dan keselamatan kejiranan, berikutan jangkaan peningkatan trafik berat, aktiviti pembinaan dan kesesakan jangka panjang;
- Legasi simbolik Persiaran Karpal Singh, yang dinamakan sempena mendiang Karpal Singh, sebagai ruang awam untuk rekreasi dan kehidupan komuniti.
“Persiaran Karpal Singh bukan sekadar sebidang hartanah di atas pelan,” tambah Dr. K Ganesh, yang juga seorang bapa dan penduduk lama di situ. “Di sinilah anak-anak kita bermain, keluarga bersiar-siar dan perniagaan kecil berniaga. Jika penambakan ini diteruskan, anak-anak kita akan membesar dengan menghidu bukannya angin laut, tetapi gas beracun dan debu pembinaan.”
Dalam memorandum yang ditujukan kepada Chow Kon Yeow yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang, penduduk-penduduk Bandar Sri Pinang dan ProtectKarpal menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak Pembangkang supaya:
- Menolak cadangan projek penambakan dan kitar semula sisa tapak pelupusan secara terbuka di perairan hadapan Persiaran Karpal Singh dan di koridor saluran dalam Middle Bank;
- Mengguna pakai pendekatan selamat “pemulihan tanpa penambakan” (rehabilitation without reclamation), dengan mengehadkan kerja pemulihan tapak pelupusan dalam kawasan Tapak Pelupusan Jelutong sedia ada, menggunakan langkah perlindungan alam sekitar dan kesihatan berasaskan amalan terbaik;
- Memperkukuh perlindungan Middle Bank, dengan bergerak ke arah pengiktirafan undang-undang sebagai kawasan pemuliharaan taman laut;
- Memastikan proses membuat keputusan yang telus dan berasaskan sains, termasuk pendedahan penuh kepada orang awam ke atas kajian teknikal seperti Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang disemak semula dan Penilaian Kesan Kesihatan (HIA), serta libat urus yang bermakna dengan penduduk, komuniti nelayan, sekolah dan perniagaan kecil sebelum sebarang projek pesisir utama diluluskan.
Penduduk-penduduk Bandar Sri Pinang menegaskan bahawa ini bukan isu kepartian, tetapi satu soal kepentingan awam, keadilan alam sekitar dan tanggungjawab antara generasi.
“Kami merayu kepada Kerajaan dan Pembangkang untuk berdiri bersama rakyat dalam isu ini,” kata Dr. K Ganesh. “Apa pun perbezaan politik kita, kita semua bergantung kepada udara yang bersih, kejiranan yang selamat dan alam sekitar yang dipelihara. Apabila laut sudah dipenuhi bahan buangan yang dikitar semula dan ekosistemnya rosak, bukan mudah untuk kita berpatah balik.”
ProtectKarpal dan para penduduk telah memohon maklum balas rasmi daripada pimpinan politik negeri Pulau Pinang dan berikrar untuk terus bekejasama dengan pihak berkuasa, pertubuhan masyarakat sivil dan orang ramai berhubung isu ini.
