
Jalanan bandar Dili, ibu negara Timor-Leste, dilanda gelombang protes mulai 15 September 2025, apabila ribuan orang anak muda turun beraksi untuk membantah keputusan parlimen negara itu yang hendak membeli kereta mewah baharu bagi ahli-ahli parlimen.
Baru-baru ini, Parlimen Kebangsaan Timor-Leste telah meluluskan peruntukan dana sebanyak AS$4 juta (bersamaan kira-kira RM20 juta) untuk membeli 65 buah kereta pacuan empat roda Toyota Prado bagi kegunaan ahli-ahli parlimen, dengan alasan kereta yang digunakan mereka sekarang ini sudah uzur. Tambahan pula, Parlimen Kebangsaan Timor-Leste juga meluluskan undang-undang pencen seumur hidup bagi ahli-ahli parlimen. Tindakan golongan elit politik itu mencetuskan kemarahan rakyat Timor-Leste yang sedang bergelut dalam kesusahan hidup.
Aksi protes yang diterajui oleh golongan anak muda di jalanan Dili telah menghadapi tindak balas pihak berkuasa yang menggunakan kekerasan, termasuk melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah golongan demonstran.
Gelombang protes yang terbaru di Timor-Leste ini bukan sekadar marah terhadap keputusan parlimen yang membeli kereta baharu, tetapi juga mencerminkan ketidakpuasan hati secara umum terhadap masalah korupsi dan ketidaksaksamaan sosial di negara Asia Tenggara dengan 40% penduduknya hidup di bawah garis kemiskinan itu.
Timor-Leste pernah dijajah oleh Portugal selama hampir 300 tahun sebelum diceroboh dan diduduki oleh Indonesia pada tahun 1975. Hasil daripada perjuangan yang berterusan, pendudukan tentera Indonesia ditamatkan pada tahun 1999 dan Timor-Leste mencapai kemerdekaan secara rasminya pada tahun 2002. Timor-Leste kini merupakan salah sebuah negara termiskin di rantau Asia Tenggara. Akibat daripada penjajahan untuk masa yang panjang, walaupun sudah mencapai kemerdekaan lebih dua dekad, Timor-Leste dengan ekonominya sangat bergantung pada minyak dan gas, masih dibelenggui masalah ketidaksaksamaan ekonomi yang hebat, kekurangan zat makanan dan pengangguran kronik.
Berbeza dengan generasi lebih tua yang memperjuangkan kemerdekaan dengan pendekatan seperti bergerak secara rahsia, mengedar risalah yang ditulis dengan tangan dan malah memberanikan diri untuk menghadapi ancaman fizikal, kini golongan anak muda Timor-Leste daripada Generasi Z bermobilisasi melalui media sosial, seperti yang dilakukan oleh anak muda Gen Z di Nepal dan negara jirannya Indonesia sehingga mencetuskan gelombang demonstrasi besar-besaran baru-baru ini. Apabila video dan foto tentang penindasan polis terhadap demonstran anak muda disebarkan dalam media sosial, lebih ramai lagi anak muda turun berprotes di jalanan.
Ramai anak muda tidak berpuas hati pada keadaan pendidikan awam yang mengecewakan di negara itu, dengan bilik darjah yang penuh sesak, guru yang dibayar gaji rendah dan sekolah yang kekurangan dana. Oleh sebab ekonomi yang lembab, ramai pelajar yang tamat pengajian mereka berhadapan dengan masalah peluang pekerjaan yang sangat terhad. Pengangguran dalam kalangan anak muda agak berleluasa. Ini menyebabkan ramai anak muda Timor-Leste cenderung untuk merantau ke negara lain untuk bekerja.
Golongan anak muda Timor-Leste yang turun berprotes pada hari ini menunjukkan bahawa ramai dalam kalangan mereka berharap untuk mewujudkan sebuah masa hadapan yang lebih baik untuk Timor-Leste bukan meninggalkannya. Mereka kecewa tetapi belum berputus asa dan tidak berdiam diri…
**********
[Kemas kini]
Hasil daripada gelombang aksi protes selama 3 hari berturut-turut, Parlimen Kebangsaan Timor-Leste memutuskan pada 17 September 2025 untuk membatalkan rancangan pembelian kereta baharu yang kontroversi itu.