
Mansurni Abadi
Kopi dengan segala daya tariknya menjadikan minuman ini dinikmati oleh orang ramai daripada golongan senior, yang berlagak senior, hinggalah junior. Bagi aku yang lahir dan membesar di persekitaran perkebunan kopi di hujung Pulau Sumatera, tepatnya di Provinsi Lampung, kopi bukan sekadar minuman malah menjadi sarana merindui kampung halaman yang sudah tiga tahun tidak ku ziarahi.
Di provinsiku, terdapat jenama kopi terkenal, iaitu Kopi Robusta dan Kopi Luwak. Kedua-duanya sangat masyhur sehingga harganya mampu mencecah RM1,000 sekotak.
Yang murah pun, setakat ingatanku, masih antara RM150 hingga RM250 per kilogram. Namun bertuahlah aku yang hidup di pusat pengeluaran kopi – aku tidak pernah membeli kopi mahal kerana kami biasanya mendapatnya secara percuma selepas musim menuai raya.
Cara penghasilan Kopi Robusta dan Kopi Luwak amat berbeza. Robusta ditanam di sekitar Pergunungan Liwa dengan teknologi sangrai (roasting) moden, manakala Kopi Luwak dihasilkan daripada tahi haiwan luwak atau musang yang memakan biji kopi pilihan.
Dari segi harga, Kopi Luwak jauh lebih mahal kerana sukar diperoleh. Pencinta kopi sejati di Indonesia bahkan bersetuju: harga tidak boleh melambung tinggi jika luwak dipaksa makan biji kopi. Yang asli mestilah daripada luwak liar yang bebas memilih biji kopi di ladang, dengan najisnya ditemui secara semula jadi di hutan. Proses pencariannya pelik, tetapi rasanya sungguh nikmat dan harganya pasti tinggi.
Robusta pula, meskipun sering dikategorikan sebagai kopi berkualiti rendah berbanding Arabika, tetap bernilai kerana menjadi bahan campuran utama (blends) bagi pelbagai jenama kopi.
Dengan keluasan perkebunan kopi yang mencecah hampir 30% tanah Lampung, komoditi ini menjadi identiti budayanya. Ke mana sahaja orang Lampung merantau, di dalam atau luar negara, hubungan mereka dengan kopi akan dikenal pasti terlebih dahulu.
Namun usaha perkebunan Robusta, Luwak, atau jenama lain di Lampung tidak seseromantik naratif pemerintah atau pengusaha. Apatah lagi dengan aliran pelaburan tidak bijak yang kian meningkat. Dahulu, sebelum pelaburan “tanpa kebijaksanaan” ini masuk, pengeluaran kopi di provinsiku masih bergantung pada etno-teknologi – proses perladangan mesra alam tanpa bahan kimia, tanpa mengeksploitasi petani, haiwan atau tanah. Teknologi tradisional suku kaum ini sangat mementingkan keseimbangan alam.
Berbeza selepas aliran pelaburan bertemu dengan rasuah di peringkat pentadbiran (tempatan, wilayah mahupun nasional). Pengeluaran kopi kini punca masalah sosial: pergaduhan sesama petani, perampasan tanah, kerosakan alam, eksploitasi haiwan, pekerja wanita dan kanak-kanak. Semua ini sering disorokkan hegemoni maklumat oligarki pemilik rantaian bekalan kopi.
Keadaan ini mengingatkanku pada zaman penjajahan Belanda di Indonesia. Memang tidak dapat dinafikan, di sebalik kenikmatan kopi tersimpan penderitaan akibat sejarah eksploitasi manusia sesama manusia, bangsa atas bangsa. Dalam sejarah nasional kami, diajarkan bahawa penjajahan bermula apabila Eropah menemui kepelbagaian komoditi pertanian termasuk kopi. Benih kopi tempatan kemudian dicampur dengan benih dari Amerika Latin untuk mencipta variasi baharu. Belanda memperluas kopi di bawah polisi Preangerstelsel dan Cultuurstelsel (sistem tanam paksa) yang memaksa rakyat menggunakan separuh tanah mereka untuk tanaman yang ditetapkan penjajah.
Pada era Tanam Paksa (1830-1870), kopi Arabika dari Yaman ditanam di Lampung. Awalnya Belanda menanamnya sekitar Batavia (Jakarta), Sukabumi, Bogor, Mandailing dan Sidikalang, kemudian meluas ke Jawa Timur, Jawa Tengah, Sumatera, Sulawesi, Timor dan Flores. Ketika itu terdapat dua jenis perkebunan: perkebunan besar (dikelola tertutup dengan pekerja ramai) dan perkebunan rakyat.
Secangkir kopi di teras penjajah
Ketika remaja, Allahyarham datuk sebelah ibu (bekas pegawai Belanda) sering menceritakan pengalamannya bekerja di ladang kopi Belanda di Pergunungan Liwa pada 1930-an. Suatu budaya yang dianggapnya tidak elok dan diceritakan dengan kemarahan ialah “Pesta Minum Kopi” – diadakan ketika Meeneer (Tuan Belanda) dan Nyonya menyambut hari jadi Ratu Belanda, perkahwinan, Krismas atau musim menuai. Bagi Allahyarham, pesta ini bukti kopi hasil keringat pribumi dinikmati tanpa mengundang mereka.
Ketika pesta, para Nyonya, Noni dan Meeneer akan membaling syiling ke luar pagar kepada petani dan anak-anak pribumi yang memerhati. Kanak-kanak itu akan memungut syiling sementara orang Belanda ketawa – seolah menjadikan mereka pengemis di tanah sendiri. Ketika itu doktrin perkauman sangat tinggi, seperti diungkap Pramoedya Ananta Toer dalam novel Cerita Dari Jakarta, “Sampai kapanpun penjajah tidak akan mau sejajar dengan yang dijajah, baik dalam penderitaan apatah lagi kesenangan”.
Ketika berkunjung ke Yogyakarta beberapa tahun lalu, ku saksikan kebenaran kata datuk: di bangunan warisan Belanda (bekas kafe) terpampang tulisan “Verboden voor honden en inlanders” (Dilarang Masuk Anjing dan Pribumi). Ketika itu kewarganegaraan di Hindia Timur Belanda terbahagi tiga: Eropah, Timur Asing (Vreemde Oosterlingen), dan Inlander (pribumi) – golongan terendah meskipun tanpa mereka ekonomi tidak akan bergerak. Padahal ramai pribumi menjadi abdi mereka – dari tentera KNIL hingga wakil rakyat Volksraad – namun tetap tidak disamakan taraf.
Allahyarham datuk berpesan, “Jangan jadi insan yang tunduk kerana perut atau takut hukuman pemerintah zalim”. Beliau membuktikannya dengan menyertai Perang Kemerdekaan Indonesia (1945-1950) meskipun pernah bekerja untuk Belanda.
Dari secangkir kopi untuk melawan eksploitasi
Jangan pula kita lupakan kebaikan yang lahir melalui tradisi kopi – khususnya usaha mencipta peradaban baru dan keadilan untuk masyarakat industri kopi. Dalam buku “Kahve” oleh Gavin Fridell (2006), aktiviti berkopi bukan sekadar duduk santai malah ruang perubahan kerana kopi merentangi idea-idea baharu. Fridell menulis:
“Formulation of fair trade are to be found in its three-fold relationship with neoliberalism. Three socio-political formulations of fair trade can be identified: (a) a systemic approach to development, (b) a social movement and (c) a participatory market-based activism.”
Maka lahirlah budaya aktivisme di warung kopi. Aku pernah merasai keindahannya ketika warung kopi menjadi ruang berfikir dan bertindak yang menjadi wadah mengurangkan eksploitasi melalui organisasi berteraskan cyber culture, morality forces dan kerjasama inklusif. Melalui Robusta (kopi kegemaranku hingga hari ini), kita boleh menikmatinya sambil membina inspirasi untuk Indonesia dan Malaysia yang lebih baik.
==========
Mansurni Abadi ialah seorang aktivis mahasiswa sosialis dari Indonesia.