oleh S. Arutchelvan

Saya mengetahui tentang perkataan liwat kerana ia dipopularkan oleh Mahathir. Saya juga mengenali perkataan dilema kerana ia juga dipopularkan oleh Mahathir dalam tulisan awalnya yang kontroversi – Dilema Melayu. Hari ini saya dalam serba dilema tentang posisi apa yang patut diambil dalam isu video seks terkini Haziq-Azmin?

Patutkah saya tidak berkata apa-apa kerana ia adalah politik kotor? Patutkah saya mengutuk pihak yang menjadi mangsa dengan bercakap ini adalah konspirasi jahat kerana menjatuhkan seorang pemimpin yang baik? Patutkah saya berbicara tentang hak orang tahanan – hak-hak kuasa polis? Bahawa semua orang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah (Innocent till proven Guilty).

Jangan lupa saya mempunyai locus standi untuk bercakap tentang isu ini kerana pernah ditahan dan didakwa atas Akta Hasutan kerana memanggil keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Anwar Ibrahim sebagai konspirasi politik semasa Anwar dipenjarakan atas tuduhan liwat dalam kes liwat 2.0.

Namun, semasa kami berjuang pada masa dulu apabila Mahathir cuba menjatuhkan Anwar Ibrahim, semasa Anwar dibelasah dalam lokap oleh bekas Ketua Polis Negara, semasa Anwar ditahan di bawah ISA, semasa penyokong Anwar diserang dengan gas pemedih mata, meriam air dan rotan polis. Pada masa itu, nampak sangat apa yang kami perjuangkan untuk membebaskan Anwar dan reformasi pada masa itu adalah sesuatu tindakan yang betul dan tidak rasa was-was. Ramai peguam dan aktivis hak asasi manusia juga turun padang untuk membela agenda reformasi, termasuk orang terkenal sekarang seperti Latheefa, Tian Chua, Chegu Bard, Shaari Sungip, Lokman, Ezam dan lain-lain lagi. Pada masa itu, kami berpendirian bahawa semua institusi negara sudah dirosakkan oleh Perdana Menteri pada masa itu, termasuk Jabatan Peguam Negara, sistem kehakiman, Polis dan sebagainya.

Hari ini, 20 tahun selepas Reformasi, saya berada dalam dilema dan kekeliruan yang jauh lebih parah daripada masa dahulu. Pakatan Harapan yang menjadi Kerajaan sekarang ini berpecah kepada pelbagai puak dan kumpulan dengan agenda masing-masing di mana setiap kenyataan harus dilihat dari sudut kumpulan atau kem mana satu yang cakap? Kita tidak boleh bercakap dengan jelas seperti dulu – isu salahguna kuasa dan konspirasi politik.

Puak berpecah-belah dalam PKR, dengan puak Azmin lawan puak Rafizi. Mahathir lawan Anwar, PAS lawan AMANAH dan sebagainya. PAS sokong Azmin maka kumpululan AMANAH membisu? Mahathir bercakap ia adalah video palsu, maka semua orang yang diberi jawatan oleh Mahathir juga kena membisu. Maka, apabila seorang berhujah, maka konsep kebenaran itu tenggelam dalam arus bawahan – dia itu kem siapa?

Selain daripada isu ini, adanya persoalan lain seperti hubungan sejenis secara sukarela atau paksaan, isu peribadi dan sebagainya di mana isu-isu ini juga bertembung dengan persoalan hak asasi manusia dan bertembung dengan persepsi agama. Maka ini adalah lagi satu isu yang jauh lebih besar – Polis Moral?

Apakah posisi yang bakal diambil oleh Majlis Peguam Negara, SUHAKAM dan organisasi hak asasi manusia seperti SUARAM, ALIRAN dan Amnesty International. Siapakah mangsa dan hak siapa yang telah dicabuli?

Dua Institusi yang paling utama untuk mengambil keputusan dalam isu ini adalah SPRM dan PDRM. Kedua-dua ini adalah lantikan politik oleh Tun Mahathir tanpa merujuk kepada Kabinet dan Parlimen. Adakah kedua-dua institusi ini akan membuat siasatan secara bebas atau adakah mereka akan mengambil pendirian yang sama seperti Perdana Menteri yang sudahpun berhujah bahawa video ini adalah palsu.

Tahun 1998 saya tidak berada dalam dilema, tetapi 2019 ini saya dalam dilema!

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *