oleh Gandipan Nantha Gopalan
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil maklum alasan Perdana Menteri mengenai keperluan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk pembiayaan projek rakyat seperti Hospital Manjung. PSM tidak menolak keperluan hasil cukai untuk membiayai kemudahan awam. Namun, persoalannya adalah mengapakah Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, tidak membangkitkan isu persaingan dalam penurunan kadar cukai korporat (“race to the bottom”) di peringkat ASEAN?
Pada bulan Januari 2025, PSM telah menghantar satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dengan sokongan 55 buah organisasi masyarakat sivil, mencadangkan supaya Malaysia memulakan perbincangan untuk menyelaraskan kadar cukai korporat minimum di peringkat ASEAN – dengan matlamat mencapai kadar 30% dalam tempoh sepuluh tahun. Cadangan ini merupakan satu alternatif konkrit untuk mengelak pelarian modal. Cadangan ini tidak mendapat sebarang maklum balas rasmi hingga ke hari ini.
Realitinya, negara-negara ASEAN sedang terperangkap dalam perlumbaan menurunkan kadar cukai korporat untuk menarik pelaburan asing. Malaysia kini mengenakan cukai korporat sebanyak 24%, berbanding 40% pada tahun 1988. Negara-negara jiran turut bersaing untuk menurunkan kadar cukai korporat: Thailand 20%, Indonesia 22%, dan Singapura 17%. Akibatnya, nisbah pendapatan kerajaan terhadap KDNK telah jatuh daripada 30% pada tahun 1980-an kepada hanya 15% tahun lalu. Perlumbaan menurunkan cukai ini menyebabkan negara kehilangan hasil penting, mengehadkan ruang fiskal untuk membina hospital, memperkukuh jaringan keselamatan sosial, dan menangani isu iklim.
Di samping usaha serantau ini, Malaysia juga perlu melaksanakan pembaharuan percukaian secara dalaman, termasuk:
- Memperkenalkan cukai kekayaan terhadap individu ultra-kaya yang memiliki aset melebihi RM500 juta.
- Memperkenalkan cukai karbon progresif, dengan pelepasan melebihi tahap tertentu dikenakan kadar lebih tinggi.
- Melaksanakan semula cukai harta pusaka terhadap pemindahan kekayaan besar antara generasi.
- Cukai ke atas transaksi spekulatif kewangan (Tobin Tax), untuk menyekat aktiviti pasaran yang tidak produktif.
Penyelesaian sebenar kepada masalah hasil negara bukanlah dengan mengenakan cukai tambahan ke atas pengguna atau pekerja berpendapatan rendah. Sebaliknya, kutipan cukai perlu ditumpukan kepada mereka yang memiliki keupayaan paling tinggi – syarikat gergasi dan individu terkaya di negara ini. PSM menyeru kerajaan supaya lebih berani mencabar kepentingan korporat besar dan tidak terus-menerus membebankan rakyat biasa untuk menampung hasil negara.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).