oleh Gandipan Nantha Gopalan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) ingin mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil alih Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) secara sepenuhnya sehingga pembinaan hospital baharu di Petaling Jaya disempurnakan.

Pada 24 Februari 2025 di Dewan Undangan Negeri Selangor, Exco Kesihatan Selangor YB Jamaliah Jamaluddin mengumumkan perbincangan dengan KKM untuk membina hospital baharu di Petaling Jaya bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Shah Alam. Namun, sehingga hari ini, tiada maklumat lanjut tentang lokasi, peruntukan tanah, atau jangka masa projek. Kemungkinan besar proses ini mengambil masa yang lama disebabkan kepadatan daerah Petaling dan ia mungkin sukar untuk mencari tanah seluas 17 ekar untuk membina sebuah hospital awam.

Pada masa yang sama, perbincangan mengenai hospital baharu di Petaling Jaya bermaksud kerajaan sendiri menerima hakikat bahawa memang mempunyai keperluan untuk membina hospital baharu di Daerah Petaling. Disebabkan kekangan-kekangan yang dihadapi oleh kerajaan, adalah wajar untuk KKM mengambil alih operasi PPUM dan memberikan perkhidmatannya dengan kadar bayaran yang sama seperti hospital-hospital awam yang lain.

Sekurang-kurangnya, KKM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) haruslah duduk dan berbincang supaya mencari jalan penyelesaian untuk isu ini. Kerajaan tidak harus memberi ruang kepada PPUM untuk menaikkan caj perkhidmatannya. Walaupun PPUM mempertahankan keputusan menaikkan caj, realitinya amat pahit untuk rakyat biasa di sekitar Petaling Jaya. Ia sangat tidak adil untuk rakyat biasa untuk menerima peningkatan caj hospital yang mendadak sehingga 70%.

PSM menyeru semua penduduk Petaling Jaya untuk bersuara dan mendesak kerajaan untuk memenuhi hak asas kesihatan mereka. Setiap hari tanpa hospital awam adalah satu penganiayaan untuk penduduk Petaling Jaya.

==========

Gandipan Nantha Gopalan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *