SABAK BERNAM, SELANGOR – 12 FEBRUARI 2025: Dua orang penternak lembu telah ditahan polis pada hari ini apabila pihak berkuasa dan pihak pengurusan ladang menjalankan operasi menangkap dan merampas lembu-lembu yang dipelihara mereka di dalam kawasan Ladang Sabak Bernam yang dimiliki oleh syarikat SD Guthrie Berhad.
Dua orang penternak yang berkenaan, Muraly Manohar dan Vickneswaran Manohar, ditahan polis di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas alasan menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya. Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk ditahan di situ.
![](https://i0.wp.com/sosialis.net/wp-content/uploads/2025/02/20250212-penternak.jpg?resize=1024%2C560&ssl=1)
“Kejadian ini amat tidak dingini kerana lebih kurang 10 orang penternak lembu di Ladang Sabak Bernam sedang berurusan dengan Kementerian Pertanian dan syarikat SD Guthrie mengenai aktiviti penternakan di dalam ladang-ladang milik SD Guthrie,” kata Gandi CF, Penyelaras Jawatankuasa Penternak Marhaen Nasional. “Gabungan Penternak Marhaen Nasional telah menghantar satu memorandum kepada Menteri Besar Selangor pada 22 Januari 2025 berikutan notis yang dikeluarkan di Ladang Sabak Bernam serta di ladang-ladang lain di Selangor. Notis tersebut adalah berikutan satu insiden kemalangan melibatkan lembu di jalan raya.”
“Dalam perbincangan tersebut, pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui pegawai khas Menteri Besar Selangor memaklumkan bahawa pihak Kerajaan Negeri akan mengaturkan satu mesyuarat bersama antara pihak Kerajaan Negeri Selangor, pihak syarikat SD Guthrie, pihak penternak dan Gabungan Penternak Marhaen Nasional dalam masa yang terdekat untuk mencari satu jalan penyelesaian secara kolektif,” ulas Gandi. “Tindakan hari ini adalah merupakan satu tindakan intimidasi dan bercanggah dengan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat serta Kerajaan Negeri. Syarikat SD Guthrie berhad sebagai sebuah badan korporat besar seharusnya menghormati usaha perundingan ini.”
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga harus menghormati usaha rundingan ini dan tidak mencampur tangan tanpa notis mahkamah,” tambah Gandi. “Selain itu, pihak berkuasa tidak mempunyai kuasa untuk menangkap haiwan ternakan tanpa perintah mahkamah di kawasan tanah swasta walaupun tuan tanah meminta atau membuat aduan. Tindakan menahan dua orang penternak atas pertuduhan menceroboh juga adalah berniat jahat kerana mereka sudah lama menternak di situ dan sedang melakukan perbincangan dengan pihak tuan tanah dan kerajaan.”
Pada 31 Disember 2024, syarikat SD Guthrie, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mengeluaskan notis kepada penternak-penternak yang di dalam ladang-ladang miliknya di negeri Selanngor, untuk mengarahkan penternak-penternak berkenaan memindah keluar haiwan ternakan dari kawasan ladang sebelum 31 Januari 2025. Penternak-penternak mengadakan satu protes di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 22 Januari 2025 untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap tindakan pengusiran itu dan meminta perbincangan demi menyelesaikan isu itu secara berpatutan. Penternak-penternak berpandangan bahawa tindakan yang dilakukan oleh syarikat SD Guthrie dengan sokongan daripada pihak berkuasa itu merupakan satu intimidasi dan ancaman kepada penternak-penternak yang sudah mengusahakan aktiviti penternakan bergenerasi-generasi lamanya di kawasan ladang. Lebih-lebih lagi, ia bercanggah dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menambahkan pengeluaran makanan tempatan dan meningkatkan keterjaminan makanan di negara kita.
Sehingga jam 6.30 petang, dua orang penternak itu masih ditahan polis di IPD Sabak Bernam. Jawatankuasa Penternak Marhaen Nasional menggesa pihak polis untuk membebaskan segera dua orang penternak yang ditahan itu. Jawatankuasa Penternak Marhaen Nasional juga menyeru pada pihak syarikat SD Guthrie dan Kerajaan Negeri Selangor untuk meneruskan perbincangan dengan penternak-penternak berkenaan supaya menyelesaikan isu ini dengan secara berpatutan.
==========
(Kemas kini 13 Februari 2025) Kedua-dua orang penternak lembu yang ditahan polis itu dibebaskan dengan jamin polis pada jam 5.30 petang, 13 Februari 2025.