oleh Nik Aziz Afiq

Parti Sosialis Malaysia (PSM) merakamkan rasa kesal atas kenyataan demi kenyataan oleh Dr Na’im Mokhtar selaku Menteri Hal Ehwal Agama yang sering kali meresahkan dan mengusik keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Terkini, beliau menyatakan bahawa sebuah garis panduan bagi umat Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam akan dikeluarkan sebagai respon kepada soalan Ahmad Saad Yahaya, Ahli Parlimen Pokok Sena.

Kita tidak dapat memahami apa keperluan atau manfaat kepada masyarakat Malaysia bahkan tindakan ini menjurus kepada memecah-belahkan masyarakat dan cuba mempamerkan imej agama yang rigid, kasar dan ekstrem.

Antara peraturan pelik dan luar biasa yang diumumkan walaupun belum selesai perbincangan adalah “premis yang digunakan tidak memaparkan simbol keagamaan bukan Islam” atas alasan sensitiviti menyinggung perasaan umat Islam. Adakah umat Islam sebegitu lemah di bawah era Madani ini sampai perlu sensitif dengan lambang agama orang lain? Jika majlis perkahwinan atau kematian itu dibuat di pusat ibadat agama lain, apakah selepas ini kuil, tokong dan gereja perlu menurunkan atau menutup lambang mereka demi mengikuti garis panduan ini apabila ada majlis yang dihadiri orang Islam? Ini Islam versi mana yang Menteri Hal Ehwal Agama cuba bawa?

Menteri Agama tidak perlu mengambil tindakan reaksioner untuk menjadikan Kerajaan Madani lebih “Islam” berbanding PAS. Gunakan pendekatan proaktif dengan gaya pembawaan Islam yang santun lagi mendekati bukannya menjauhkan.

Kita hidup berbilang bangsa sudah sekian lama. Masyarakat yang hidup bercampur sudah terdedah dan maklum untuk menjaga kehormatan masing-masing. Orang Islam yang menghadiri undangan sebagai tetamu di pusat ibadah orang bukan Islam sudah pun maklum apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Para ketua agama setiap pusat ibadah bukan Islam juga sudah pun maklum apa yang tetamu Muslim boleh dan tidak boleh buat.

Mengenakan birokrasi untuk sesuatu yang tidak ada keperluan semata-mata mahu menunjukkan wajah lebih Islamik secara kosmetik adalah tindakan yang lemah dan memalukan.

Sewajarnya Menteri Agama berusaha untuk membawa umat ke arah kasih sayang antara kaum dan agama di saat masyarakat dibelenggu masalah saling prejudis antara satu sama lain, meletakkan label-label penghinaan dan berakar hingga generasi kanak-kanak mempunyai kebencian berasaskan kaum dan berbeza agama.

Tidakkah Menteri Agama seharusnya runsing melihat isu penderaan dalam keluarga Islam, isu selebriti agama terlibat dalam salah laku seksual, isu penyalahgunaan dadah anak-anak remaja kita yang semakin teruk di mana-mana? Bukankah ini semua ada sangkut paut dengan agama? Atau adakah memang wujud menteri agama sekadar untuk merespon tembakan pembangkang lalu berbalas tembak siapa lebih lebai?

==========

Nik Aziz Afiq ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *