(Berikut ialah isi kandungan memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri pada 21 Januari 2025.)

Terlebih dahulu, kami ingin mengucap tahniah kepada YAB Perdana Menteri dan juga Kerajaan Malaysia kerana Malaysia diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN untuk tahun 2025. Ini merupakan satu peluang baik untuk menyumbang kepada perkembangan ASEAN ke arah yang memanfaatkan semua penduduk rantau Asia Tenggara. Berhubung matlamat ini, kami ingin menyampaikan beberapa perkara untuk perhatian Kerajaan Malaysia dan juga ASEAN.

Memandangkan bahawa

  • Corak pembangunan yang diamalkan di ASEAN telah mengekalkan pendapatan pekerja  biasa pada tahap yang rendah, walaupun Keluaran Kasar Dalam Negeri (KDNK) telah meningkat berlipat ganda dalam 50 tahun yang lalu. Di Malaysia umpamanya, KDNK telah meningkat sebanyak 25 kali ganda dalam nilai sebenar sepanjang 5 dekad yang lalu, tetapi majoriti rakyat B80 masih dibebani hutang dan terperangkap dalam masalah ekonomi.
  • Persaingan antara negara-negara anggota ASEAN untuk pelaburan asing (FDI) telah menyebabkan pengecutan nisbah pendapatan kerajaan kepada KDNK. Di Malaysia, nisbah ini telah menurun daripada 30% pada tahun 1980-an kepada hanya 15% pada tahun yang lalu. Pengecutan ini telah menyekat keupayaan kerajaan untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial bagi melindungi rakyat kita.
  • Negara-negara anggota ASEAN masih bergantung pada strategi “pembangunan berorientasikan eksport” (export-led growth) di mana kita bergantung pada pasaran negara-negara Barat, Eropah dan Jepun untuk menjana permintaan bagi industri-industri kita. Strategi ini harus dinilai semula pada zaman ini, di mana kadar pembangunan ekonomi di negara-negara Barat telah menyusut.
  • Generasi baharu sedang menghadapi masalah dalam mendapatkan kerja yang terjamin dengan gaji yang munasabah.
  • Penyertaan Malaysia dalam perjanjian-perjanjian “perdagangan bebas” telah menyekat secara ketatnya kebolehan kerajaan untuk menguruskan ekonomi dan kewangan negara.
  • Krisis iklim sedang berlaku, tetapi Kerajaan Malaysia tidak mempunyai kelonggaran fiskal untuk menanganinya secara berkesan.

Memandangkan segala perkara seperti di atas, kami ingin mengesyorkan pendekatan-pendekatan berikut untuk dibawa kepada perbincangan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN:

1. Keperluan pembangunan pasaran dalaman bagi rantau ASEAN

Selama 5 dekad yang lalu, negara-negara anggota ASEAN telah mengikut nasihat Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), dengan cara bergantung pada pelaburan asing (FDI) untuk memacu pembangunan industri pembuatan, dan bergantung pada negara-negara kaya di Eropah dan Amerika Utara sebagai pasaran untuk barangan yang dikeluarkan oleh kilang-kilang di rantau ASEAN.

Model pembangunan ini tidak boleh diteruskan selama-lamanya kerana

  • Dunia Barat hanya mewakili kira-kira 15% daripada jumlah penduduk dunia. Adalah mustahil untuk mereka menjana permintaan kasar yang mencukupi untuk semua negara di dunia.
  • Kadar pertumbuhan KDNK di negara-negara Barat berkurangan akibat penghijrahan kilang dalam jumlah yang besar ke negara-negara di Asia, di mana kos pembuatan adalah jauh lebih rendah. Satu proses “penyahindustrian” telah berlaku di negara-negara Barat dalam tempoh 40 tahun yang lalu, dan ini telah menyebabkan kerja-kerja kilang yang bergaji tinggi digantikan oleh kerja-kerja yang tidak terjamin dalam sektor perkhidmatan dengan pendapatan yang rendah dan tidak menentu. 

Jika pasaran dalaman di rantau ASEAN (yang mempunyai kira-kira 690 juta orang penduduk) dapat dibangunkan, ia akan membawa beberapa manfaat kepada ekonomi kita, termasuk

  • Perluasan pasaran untuk barangan tempatan, termasuk barangan keluaran peniaga-peniaga kecil;
  • Peluang untuk pelaburan baharu;
  • Penjanaan kerja baharu;
  • Peningkatan dalam kutipan cukai;
  • Pengurangan dalam kebergantungan pada pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.

2. Strategi meningkatkan gaji pekerja biasa di negara-negara ASEAN

Pada masa ini, gaji pekerja biasa di negara-negara ASEAN adalah lebih kurang 1/6 (Malaysia) hingga 1/15 (Kemboja) berbanding gaji pekerja biasa di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Salah satu sebabnya adalah persaingan antara negara-negara ASEAN untuk menarik pelabur asing dengan menawarkan diri sebagai negara dengan kos pengeluaran yang rendah.

Namun, dasar gaji murah menyusahkan pekerja biasa di negara-negara kita dan menghalang pengagihan pendapatan negara secara yang lebih adil kepada golongan pekerja. Selain itu, permintaan isi rumah merupakan penyumbang terbesar kepada permintaan kasar mana-mana negara. Akan tetapi, apabila majoriti kaum pengguna merupakan pekerja bergaji rendah, bagaimana pula permintaan kasar isi rumah dapat mengembang?

Pada masa ini, negara-negara di ASEAN takut untuk meningkatkan gaji minimum kerana risiko tindakan itu akan mewujudkan “kekurangan secara perbandingan” (comparative disadvantage) dalam persaingan menarik FDI. Risiko itu boleh diatasi jika beberapa buah negara ASEAN – Malaysia, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina – dapat bersetuju untuk meningkatkan gaji minimum mereka (yang pada masa ini berbeza) 10% setiap tahun untuk lima tahun yang akan datang. Bagaimana pendekatan ini dapat dikuatkuasakan perlu dibincang secara mendalam. Syor kami adalah untuk menyertakan pendekatan ini dalam Perjanjian Perdadangan Bebas ASEAN, supaya cukai import boleh dikenakan sebagai “denda” terhadap negara yang gagal mematuhi jadual masa peningkatan gaji minimum yang telah dipersetujui.

3. Keperluan menghentikan perlumbaan ke paras terbawah bagi cukai korporat

Perbelanjaan kerajaan merupakan satu lagi penyumbang besar kepada permintaan kasar sesebuah negara. Di semua negara di  ASEAN, nisbah perbelanjaan kerajaan kepada KDNK telah berkurangan dalam tempoh 50 tahun yang lalu. Misalnya, di Malaysia, perbelanjaan kerajaan telah berkurangan daripada 35% KDNK pada tahun 1980-an kepada 20% KDNK sekarang. Sebab utamanya adalah pengurangan cukai korporat daripada 35% terhadap keuntungan syarikat pada tahun 1980-an kepada 24% terhadap keuntungan korporat tahun ini. Malaysia terpaksa mengurangkan kadar cukai korporat kerana bersaing dengan Thailand, Vietnam dan Indonesia untuk pelaburan asing. Pada masa ini, kadar cukai korporat di Thailand adalah 20%, dan di Singapura pula, 17%.   

Persaingan dalam pengurangan kadar cukai korporat yang tidak terkawal antara negara-negara ASEAN bukan sahaja membantutkan perkembangan pasaran dalaman rantau ini, ia juga menyekat kelonggaran fiskal untuk kerajaan melaksanakan program-program yang membantu rakyat biasa dan melindungi alam sekitar. Ia juga menyebabkan peningkatan hutang negara di hampir semua negara ASEAN.

Perkara ini harus diambil berat oleh kepimpinan ASEAN dan langkah-langkah spesifik perlu diambil untuk meningkatkan cukai korporat secara beransur-ansur dan serentak untuk mencapai satu tahap yang lebih tinggi – kami syorkan 30% daripada keuntungan kasar syarikat, dalam jangka masa 10 tahun. Ini bererti Malaysia dikehendaki meningkatkan kadar cukai korporat sebanyak 0.6% setiap tahun untuk 10 tahun yang akan datang, sementara Thailand harus meningkatkannya sebanyak 1% setiap tahun supaya kedua-dua buah negara dapat mencapai matlamat 30% dalam jangka masa 10 tahun.

4. Cukai Karbon yang berkesan

Sistem “had dan cukai”(cap and tax) sedang dipromosi sebagai satu cara untuk mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau. Menurut sistem ini, pelepas karbon dioksida terbesar ditetapkan had (“cap”) untuk pelepasan karbon dioksida, berdasarkan jenis industri dan skala pengeluarannya. Cukai akan dikenakan terhadap pengeluaran karbon yang melebihi had karbon yang  ditetapkan.

Vietnam telah mengenakan cukai karbon pada kadar USD 0.50 per tan karbon dioksida, dan Indonesia bercadang untuk meningkatkannya daripada kadar sekarang USD1.82 per tan kepada USD 5 per tan. Namun, kadar ini adalah jauh rendah berbanding cukai karbon yang dikenakan di Eropah. Negara Perancis sedang mengenakan cukai ini pada kadar USD 52 per tan dan Sweden pula sedang mencaj cukai USD 137 per tan karbon dioksida. Seperti yang diketahui umum, kadar cukai karbon yang terlalu rendah tidak akan mendorong sektor korporat untuk beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.

Hakikatnya adalah, negara-negara ASEAN amat bimbang bahawa cukai karbon akan meningkatkan kos tenaga, pengangkutan dan bahan seperti simen dan besi, sehingga memudaratkan daya saing negara masing-masing dalam perlumbaan menarik pelaburan asing (FDI). Kebimbangan ini hanya dapat dikawal jika cukai karbon dapat dilaksanakan dengan kadar yang sama di semua negara ASEAN. Perundingan tentang bagaimana perkara ini dapat dilaksanakan harus dimulakan.     

5. Masalah pengangguran tersembunyi dalam kalangan anak muda

Golongan anak muda antara umur 20 tahun hingga 35 tahun sedang menghadapi masalah serius dalam mencari nafkah untuk sara hidup. Peluang kerja berkurangan, sementara golongan graduan baharu tidak mendapat kerja yang setimpal dengan pendidikan/latihan mereka. Kerja yang dapat dicari pun adalah bergaji rendah, dan sebahagian besar adalah kerja kontrak tanpa keterjaminan dan perlindungan sosial.

Masalah kekurangan kerja boleh diatasi jika

a/ lebih banyak jawatan kerajaan diwujudkan dalam sektor kesihatan, sektor kebajikan dan sektor pemuliharaan sungai, hutan serta mewujudkan “ekonomi kitaran” (circular economy). Namun, ruang fislal agak sempit untuk kebanyakan negara ASEAN. Hasil kerajaan pada masa ini tidak mencukupi untuk melancarkan inisiatif-inisiatif seperti ini.

b/ sektor swasta di ASEAN berputus untuk mengeluarkan lebih banyak barangan ataupun perkhidmatan. Namun, jalan ini dikekang oleh kadar peningkatan permintaan kasar dalaman (domestic aggregate demand) yang lembab, kerana pada amnya gaji yang diterima oleh pekerja-pekerja di rantau ini adalah 1/6 hingga 1/15 gaji yang diterima untuk kerja yang sama di negara Barat.  

Masalah pengangguran anak muda harus diakui oleh kerajaan-kerajaan ASEAN dan kajian serta sesi perbincangan harus dianjurkan untuk mencari langkah-langkah yang berkesan supaya dapat mengatasi masalah ini. Jika masalah ini gagal dikendalikan secara berkesan, ia akan membawa kepada perasaan kekecewaan dan pemikiran ekstrem dalam kalangan anak muda kita.

6. Usahasama untuk mempelopori industri hijau baharu

Adalah amat penting untuk negara-negara ASEAN bekerjasama dalam membina kapasiti yang dapat mengeluarkan bas elektrik pelbagai saiz, panel suria, jentera untuk mengitar semula sisa buangan organik dan rumah tangga untuk menjana elektrik, dan sebagainya. Industri-industri ini adalah amat penting untuk usaha peralihan kepada ekonomi hijau dan mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau. Industri-industri baharu ini juga akan menjana pekerjaan untuk rakyat kita dan mengembangkan permintaan kasar dalaman di rantau ASEAN.   

7. Hak asasi untuk orang pelarian

Negara-negara ASEAN perlu memperbaiki layanan kita terhadap orang pelarian. Jika adanya beberapa buah negara yang belum sedia untuk menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, kita harus sekurang-kurangnya:

a/ Memberi hak bekerja kepada orang pelarian. Pada masa ini, mereka terpaksa bekerja secara curi-curi dan ini mendedahkan mereka kepada eksploitasi oleh majikan yang kurang bertanggungjawab. Pada masa ini, kita ada lebih kurang 2 juta orang pekerja migran yang sah di Malaysia, dan lebih kurang 160,000 orang pelarian yang diiktiraf oleh UNHCR. Kita boleh mengurangkan sedikit pengambilan pekerja migran di negara kita dengan memberi kerja kepada orang pelarian.   

b/ Sebahagian daripada bayaran yang dikutip bagi permit kerja harus digunakan untuk membayar kos rawatan orang-orang pelarian di hospital-hospital awam.

Perlaksanaan dua langkah ini akan melindungi beberapa hak asasi orang pelarian di negara kita.

8. Mewujudkan proses semak dan imbang untuk persetujuan ekstradisi peringkat ASEAN

Pada masa ini, negara-negara ASEAN telah bersetuju bahawa apabila seorang rakyat daripada negara “A” melarikan dirinya ke sebuah negara ASEAN yang lain “B”, negara “B” harus menangkap dan menghantar balik rakyat negara “A” tersebut jika diminta oleh negara “A”.

Kami tiada bantahan jika persetujuan ini hanya digunakan untuk menangkap penjenayah, tetapi memandangkan beberapa buah negara di ASEAN masih belum mencapai tahap hak asasi manusia yang cemerlang, kami berpandangan bahawa adalah sangat perlu untuk mewujudkan mekanisme bagi menapis permintaan “ektradisi” supaya dapat memastikan orang-orang yang melarikan diri oleh sebab isu-isu hak asasi manusia ataupun penindasan politik itu tidak dihantar balik begitu sahaja. Kita harus mewujudkan proses semak dan imbang, di mana orang yang berkenaan boleh menunjuk bukti bahawa dia bukan penjenayah tetapi adalah seorang aktivis hak asasi ataupun pelarian politik yang harus diberi hak suaka untuk tempoh yang lebih lama.   

9. Mengeratkan perhubungan antara rakyat umum di negara-negara ASEAN

Malangnya, walaupun kita semua sudah merdeka lebih daripada 60 tahun, kita masih lebih tahu berkaitan sistem politik dan sosial di negara-negara yang pernah menjajah kita dahulu. Ramai dalam kalangan rakyat ASEAN tidak terdedah kepada aliran sosial dan politik di negara-negara jiran.

Kerajaan-kerajaan di ASEAN harus menganjurkan pelbagai program yang membuka ruang untuk rakyat biasa semua negara di rantau ASEAN melawat satu sama lain, menghadiri program bersama dalam pelbagai bidang, menyertai program anak angkat di negara jiran, menyertai sesi retreat beberapa hari untuk membincangkan isu umum seperti cara-cara peralihan kepada ekonomi hijau dan sebagainya, dan bergaul secara terbuka.  

Persahabatan antara negara-negara ASEAN tidak harus dihadkan kepada pemimpin-pemimpin politik dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan sahaja. Kita harus memupuk dan menggalak persahabatan sesama rakyat (people-to-people).

Kami berharap Kerajaan Malaysia akan mengambil berat tentang idea-idea yang dikemukakan dalam memorandum ini. Kami bersedia untuk berjumpa dengan kerajaan supaya berbincang tentang isu-isu yang disenaraikan di atas secara lebih mendalam jika perlu.

**********

Memorandum ini diendors oleh kumpulan-kumpulan seperti berikut:

  1. Agora Society Malaysia
  2. Aliran
  3. Alliance of River Three (ART!)
  4. All Women’s Action Society (AWAM)
  5. Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis Malaysia (AKSI)
  6. Association of Women Lawyers
  7. Borneo Komrad
  8. Citizens Health Initiative
  9. Deaf Advocacy and Well-being National Organisation Malaysia (DAWN)
  10. ERA Consumer Pahang
  11. Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)
  12. Gabungan Darurat Iklim (GDI)
  13. Gabungan Marhaen
  14. Greenpeace Malaysia
  15. HAYAT
  16. Health Equity International
  17. Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM)
  18. Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)
  19. Inter-Research and Studies
  20. Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI)
  21. Jaringan Kampung-kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
  22. Justice for Sisters (JFS)
  23. Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pengawal Keselamatan Semenanjung Malaysia (KESPA)
  24. Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUHWSAS)
  25. Kuala Lumpur dan Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
  26. Kuliah Buku (KUBU)
  27. Labour Solidarity and Learning Resources Association (LLRC)
  28. LEGAL DIGNITY
  29. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)
  30. National Union of Transport Equipment & Allied Industries Workers (NUTEAIW)
  31. North South Initiative (NSI)
  32. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  33. Pemuda Sosialis PSM
  34. People Like Us Hang Out (PLUHO)
  35. Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)
  36. Persahabatan Semparuthi
  37. Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
  38. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
  39. Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM)
  40. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  41. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
  42. Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA)
  43. Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia (RRAAM)
  44. Ruang Kongsi
  45. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  46. Saya Anak Bangsa Malaysia
  47. Sisters In Islam (SIS)
  48. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  49. Sustainable Development Network Malaysia (SUSDEN)
  50. Tenaganita
  51. Third World Network
  52. UNDI18
  53. Urimai
  54. Women’s Aid Organisation (WAO)
  55. Young Lives Development Center

One thought on “Ke Arah ASEAN yang Makmur dan Inklusif

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *