(Berikut ialah kertas kerja yang dibentangkan dalam Persidangan Sosialisme 2024 pada 1 Disember 2024.)
oleh Cheong Huei Ting
Sebagai anak muda, pernahkah anda fikir tentang harapan anda untuk masa depan Malaysia?
Setiap hari, kita dapat lihat berita tentang rasisme, korupsi, krisis iklim, dan juga penindasan Zionis di Palestin — ia membuatkan kita berasa kecewa kerana tidak berdaya untuk mengubah apa-apa.
Adakah anak-anak muda mempunyai peluang untuk mengubah keadaan ini dan memimpin negara ke arah yang betul?
Dalam pembentangan ini, saya ingin menyampaikan 5 hasrat dan perubahan berlandaskan prinsip-prinsip sosialisme yang kami sebagai pemuda daripada golongan kiri ingin capai pada masa depan Malaysia.
5 hajat untuk masa depan Malaysia sebagai golongan Pemuda Sosialis
1. Menaik taraf perkhidmatan awam seperti perumahan, kesihatan dan pendidikan untuk semua
Penswastaan perkhidmatan awam semakin berleluasa di bawah Kerajaan MADANI. Pada bulan Oktober 2024, Menteri Kesihatan memperkenalkan program Rakan KKM yang melibatkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar. Kami menentang inisiatif penswastaan ini!
Kini, hospital awam kekurangan dana dan terlalu sesak sehingga menyebabkan kualiti rawatan merosot. Selain itu, pelancongan perubatan di Malaysia berkembang pesat dan pengaliran keluar pakar (brain drain) dalam kalangan kakitangan perubatan daripada sistem kesihatan awam amat serius. Pekerja migran dan individu tanpa kerakyatan juga dikenakan caj perubatan yang berlipat ganda lebih daripada rakyat tempatan, sehingga menyebabkan rawatan ditangguh dan penyakit berjangkit semakin serius.
Perkhidmatan kesihatan awam tidak boleh dijadikan komoditi untuk mengaut untung. Semua orang perlukan akses perkhidmatan kesihatan. Namun, banyak ahli politik daripada golongan elit masih percaya bahawa perkhidmatan kesihatan patut disediakan oleh institusi swasta untuk memaksimumkan penggunaan sumber dan menjimatkan wang kerajaan.
Apa yang patut dilakukan?
- Meningkatkan peruntukan kepada kesihatan awam untuk menaik taraf klinik dan hospital di kawasan luar bandar.
- Kekalkan pakar dalam sektor penjagaan kesihatan awam melalui pekerjaan tetap, struktur gaji yang setimpal (fair compensation), dan geran kepada penyelidik.
- Kadar rawatan pekerja migran dan pelarian perlu sama seperti rakyat Malaysia.
Selain itu, sistem pendidikan awam di Malaysia juga memerlukan perubahan drastik. Walapun sistem pendidikan nampak seperti sistem “meritokrasi”, pelajar yang miskin kekurangan peluang kerana faktor luaran seperti kaum, latar belakang sosioekonomi, dan aliran maklumat yang menghalang mereka untuk mencapai kejayaan dalam pembelajaran.
Untuk mengurangkan jurang ini:
- Pendidikan percuma harus bermula dari pendidikan awal sehingga pendidikan tertiari,
- Kerajaan harus membiayai hutang PTPTN bagi golongan B40 dan juga menghapuskan PTPTN.
- Mewujudkan sistem pendidikan negara yang lebih holistik yang bukan hanya mengutamakan pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga memupuk pandangan dunia yang inklusif serta nilai-nilai progresif.
2. Tunjukkan solidariti yang benar kepada golongan yang tertindas
Sepanjang pentadbiran Kerajaan MADANI, komuniti seperti golongan LGBTQ dan pelarian (tanpa mengira warga Rohingya ataupun Palestin) sering dijadikan kambing hitam akibat kenyataan oleh ahli politik dan rakyat yang tidak bertanggungjawab. Kita perlukan perubahan yang pragmatik untuk membendung kebencian terhadap golongan yang tertindas.
Apakah yang kita boleh buat?
- Meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 supaya pelarian-pelarian di Malaysia mendapat peluang untuk membina kehidupan mereka.
- Kita tidak boleh bersolidariti secara selektif dalam menjamin hak dan keselamatan semua pelarian – termasuk hak pendidikan, peluang bekerja, dan lain-lain lagi. Ini akan mengurangkan risiko mereka terdedah kepada sindiket pemerdagangan manusia atau eksploitasi pekerja supaya mereka tidak terdesak untuk melakukan aktiviti jenayah.
- Kita perlu memperbetulkan tanggapan salah terhadap golongan komuniti LGBTQ. Orientasi jantina bukan pilihan individu dan mereka tidak boleh “kembali” kepada orientasi heteroseksual konvensional. Namun, kita juga perlu sedar tentang pertentangan yang bakal dihadapi dan memastikan pendekatan kita itu adalah sesuai.
- Mewujudkan persekitaran yang selamat untuk mereka dan menghentikan segala pembulian, penindasan, penangkapan, dan pemulihan paksaan.
- Hentikan perbuatan menakut-takutkan orang ramai (“fearmongering”) dengan membuat perkara yang tidak bermakna seperti merampas jam bewarna pelangi demi meraih sokongan golongan konservatif!
3. Menjaga kebajikan pekerja dan jangan mempertuhankan ideologi neoliberal dalam dasar kerajaan
Pada tahun 2018, pekerja sambilan biasanya dibayar RM7 – RM9 sejam secara purata. Kini tahun 2024, walaupun harga barang telah naik beberapa kali ganda, banyak pekerja sambilan masih menerima kadar gaji RM8 – RM10 sejam.
Paras gaji graduan amat rendah dan majikan sering menggunakan kadar gaji minimum (RM1,500 sebulan) sebagai gaji pemula (starting salary) dan bukan gaji setimpal dengan kualifikasi mereka. Tambahan pula, dengan sewa tinggi dan sistem pengangkutan awam yang lemah, anak muda terpaksa mengambil pinjaman bank ataupun menggunakan kad kredit untuk menanggung kos hidup. Bagaimana anak muda boleh hidup dengan gaji yang begitu rendah?
Pada tahun 2021, PSM pernah mengemukakan Skim Jaminan Kerja sebagai salah satu teras utama pelan tindakan “Pemulihan Nasional: Haluan Baru untuk Malaysia” pada 2021. Skim ini menyatakan bahawa kerajaan berperanan sebagai majikan dan bertanggungjawab untuk menyediakan pekerjaan dengan gaji tetap apabila pihak swasta gagal menyediakan kerja. Inisiatif dalam skim ini termasuk mencipta peluang pekerjaan dalam industri hijau, kesihatan, pemuliharaan warisan, pengasuhan dan pendidikan serta sosialisasikan kerja rumah.
Kita juga kurang kesatuan pekerja untuk melindungi hak pekerja, dan kuasa berunding dengan majikan juga kurang; ramai pekerja tidak sedar tentang hak mereka – kita per memperkasakan pekerja dan meminda Akta Kesatuan Sekerja.
4. Memerangi naratif dan sentimen isu kaum, agama dan bahasa dengan retorik progresif
Isu perkauman memang biasa dibangkitkan di Malaysia. Walaupun ia didengar sebagai omong kosong di sosial media, ia merupakan refleksi ketakutan dan kebimbangan komuniti yang berlainan terhadap kehilangan identiti dan budaya di bawah kuasa hegemoni kapitalisme. Oleh itu, kita perlu kuat menentang retorik perkauman dengan tujuan menyedari rakyat bahawa kaum lain bukan musuh; musuh kita ialah sistem kapitalisme dan politik berhaluan kanan.
Apakah yang boleh dilakukan oleh pemimpin negara?
- Membantah dan menentang retorik naratif kumpulan berideologi kanan tentang isu-isu seperti kefasihan Bahasa Melayu, sekolah vernakular, papan tanda kedai dan sebagainya yang menghakis fabrik sosial.
- Mengadakan perbincangan terbuka dan progresif tentang isu 3R, dan bukannya hanya mengabaikannya ataupun selektif dalam mengkritiknya.
- Memperkenalkan undang-undang anti-diskriminasi di tempat kerja dan dalam pasaran sewa berdasarkan kaum, ketidakupayaan, agama dan lain-lain lagi. Undang-undang ini diperlukan untuk meringankan beban kewangan dan mental, serta mengurangkan jurang sosioekonomi antara kaum.
5. Serius dalam menyelesaikan krisis iklim – kita hanya mahu solusi sebenar!
Apakah contoh solusi iklim yang palsu?
Solusi teknokrat yang dikemukakan oleh Kerajaan MADANI seperti “penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon” (CCUS) dan pasaran karbon hanya dicipta untuk memberi peluang kepada syarikat besar menjadikan alam sekitar sebagai barang atau komoditi yang boleh dijual dan dibeli di pasaran (commodification of nature).
Sebagai contoh, pemimpin di Sabah menandatangani perjanjian “pemuliharaan alam sekitar” dengan beberapa buah syarikat asing yang membeli kredit karbon untuk mengimbangi pelepasan karbon mereka. Perjanjian itu “menjual” 2 juta hektar hutan untuk tujuan pemuliharaan dan perlindungan tanpa pengetahuan dan penyertaan komuniti tempatan. Syarikat boleh terus melepaskan karbon dan menyebabkan orang asli kehilangan tanah adat mereka.
Kita hanya mahu solusi iklim yang sebenar:
- Pertama, jangan menggunakan solusi teknokrat untuk menyelesaikan masalah iklim. Solusi sebegini tidak boleh mengurangkan carbon, ia hanya menguntungkan syarikat asing ataupun dan syarikat kenderaan elektrik.
- Kedua, solusi iklim perlu mengambil pendekatan “dari bawah ke atas” (bottom up) untuk melaksanakan peralihan tenaga yang adil (just transition) dan menegakkan keadilan iklim, seperti menghormati tanah adat orang asli, pemerkasaan komuniti dan pendidikan alam sekitar. Ketiga, kami juga harap lebih ramai orang sedar tentang konsep “nyahtumbuh” (degrowth). Ia adalah sistem ekonomi yang lebih inklusif yang berlandaskan kesejahteraan manusia. Antara prinsip-prinsip degrowth ialah:
- – Mengabaikan sistem ekonomi yang berlandaskan pertumbuhan KDNK;
- – Memperlahankan atau menyingkirkan aktiviti ekonomi yang tidak perlu;
- – Pendekkan masa bekerja;
- – Mengurangkan jurang sosioekonomi;
- – Memperbanyakkan barangan awam sejagat.
==========
Cheong Huei Ting ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM.